Adakah Ahli KWSP Yang Beragama Islam Diwajibkan Mengeluarkan Zakat Ke Atas Pengeluaran i-Sinar?

Pastinya ramai yang memohon untuk mengeluarkan duit KWSP melalui i-Sinar. i-Sinar merupakan kemudahan untuk Ahli KWSP yang terjejas dalam tempoh krisis COVID-19 bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Tapi dalam kita mengeluarkan i-Sinar dari KWSP ini, adakah kita diwajibkan untuk membayar zakat?

Sebelum kita mulakan bicara, kena fahamkan dulu wang dalam KWSP dan zakat KWSP.

Wang KWSP ialah wang daripada pendapatan seseorang hasil daripada pekerjaannya yang disimpan di dalam akaun simpanan pekerja kerana tertakluk di bawah akta KWSP. KWSP dikenakan zakat kerana konsepnya sama seperti wang simpanan, cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya seperti akaun simpanan biasa.

Wang ini hanya boleh dikeluarkan sebahagiannya oleh pencarum apabila ia mencapai umur tertentu dalam tempoh perkhidmatannya atau mengambil keseluruhannya apabila ia telah mencapai umur pencen atau bersara. Selain daripada pengeluaran berdasarkan faktor umur, ianya juga boleh dikeluarkan setelah memenuhi syarat –syarat dibawah pelbagai Skim Pengeluaran KWSP.

Jom kita tengok pula fatwa berkenaan Zakat KWSP ini.

FATWA DI BAWAH SEKSYEN 47, Menurut seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [En. 1/2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan menyediakan fatwa yang dinyatakan dalam jadual dan disiarkan menurut subseksyen 48(6) Enakmen itu.

Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun.

Kredit: Zakat Selangor

Adakah Ahli KWSP yang beragama Islam diwajibkan mengeluarkan zakat ke atas Pengeluaran i-Sinar?

Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) berpandangan ahli KWSP beragama Islam yang membuat pengeluaran kemudahan i-Sinar bagi tujuan perbelanjaan keperluan asas (hajah asliyah) seperti tempat tinggal, makan dan minum, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan atau membayar hutang, tidak diwajibkan membayar zakat ke atas pengeluaran yang dibuat.

Namun begitu, ahli KWSP beragama Islam dinasihatkan untuk menunaikan kewajipan membayar zakat ke atas semua pengeluaran simpanan KWSP (termasuk i-Sinar) yang telah sempurna milik sekiranya tidak digunakan bagi tujuan perbelanjaan keperluan asas diri sendiri serta tanggungan ataupun membayar hutang dan mencapai nisab.

Memandangkan pandemik COVID-19 ini telah menyebabkan ketidaktentuan ekonomi dan tahap kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh ahli boleh berubah dari masa ke masa, JKPS berpandangan adalah wajar untuk ahli KWSP menunggu sehingga haul sebelum membayar zakat.

Ahli juga dinasihatkan untuk merujuk pihak berkuasa zakat negeri berhubung pembayaran zakat simpanan KWSP.

Nota:

  1. Simpanan sempurna milik merujuk kepada simpanan yang boleh dikeluarkan dan digunakan tanpa sekatan.
  2. Nisab merujuk kepada paras minimum sesuatu harta yang diwajibkan zakat yang bersamaan dengan nilai semasa 85 gram emas.
  3. Haul merujuk kepada haul zakat bagi ahli yang beragama Islam.

Contoh pengiraan zakat simpanan KWSP adalah seperti berikut:

Contoh 1: Ahli kehilangan pekerjaan sejak bermula pandemik COVID-19 yang menjejaskan perbelanjaan keperluan asas dan hutang sebanyak RM36,000.

Kredit: KWSP

Contoh 2: Ahli mengalami pengurangan pendapatan yang menjejaskan perbelanjaan keperluan asas sebanyak RM1,000 sebulan (RM12,000 setahun).

Kredit: KWSP

Nota:

* Contoh: Haul zakat dari bulan Ramadhan 1441H (April 2020) – Sya’ban 1442H (Mac 2021).

** Nisab Wilayah Persekutuan tahun 2021: RM20,299 (ahli perlu merujuk kadar nisab yang ditentukan oleh pihak berkuasa zakat di negeri masing-masing).

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.