Mungkin kita biasa dengar istilah common share dan preference share dalam dunia pelaburan saham. Namun, terdapat satu lagi jenis yang tidak begitu dikenali di Malaysia iaitu bearer share.
Apa Itu Bearer Share?
Bearer share mempunyai ciri-ciri yang sama seperti common share di mana pemegang saham adalah merupakan pemilik syarikat.
Namun, apa yang membezakan di antara kedua-duanya adalah nama pemilik bearer share tidak akan direkodkan walaupun ada berlakunya pemindahan hak milik.
Saham jenis ini masih menggunakan dokumen fizikal sebagai bukti pemilikan saham tersebut. Sesiapa sahaja yang memegang dokumen saham adalah pemilik syarikat tersebut dan bakal menerima bayaran dividen daripada syarikat.
Penggunaan bearer share sudah kurang digunakan akibat kos tinggi yang perlu ditanggung untuk memastikan pembentukan syarikat tersebut dilakukan dengan teliti dan tidak akan mendedahkan identiti pemilik saham.
Walaubagaimanapun, ciri-ciri privasi yang diberikan kepada pemilik saham ini tetap menarik minat bagi mereka yang mementingkannya. Tidak terkecuali bagi mereka yang terlibat dalam aktiviti jenayah atau pun penggubahan wang haram.
Sekiranya segala aset mereka disita ketika siasatan, mereka masih boleh menggunakan aset syarikat tersebut kerana tiada bukti yang dapat mengaitkan mereka dengan syarikat, selain daripada dokumen fizikal.

Di antara contoh yang mungkin ramai telah ketahui adalah Jho Low yang dikaitkan dengan 1MDB telah menggunakan bearer share syarikat bagi melindungi nama pemilik sebenar syarikat tersebut.
Beliau telah menubuhkan syarikat di kawasan Tax Haven dan menjadikan syarikat itu kelihatan seperti sebuah syarikat dana pelaburan yang dimiliki oleh kerajaan di salah sebuah negara di Timur Tengah.
Syarikat-syarikat tersebut digelar ‘bearer share company’ dan Jho Low adalah pemilik sebenar yang mengawal segala aktiviti syarikat berkenaan.
Bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku, dibawah perenggan 73 Companies Act 2016; Malaysia menyatakan bahawa penggunaan bearer share adalah tidak dibenarkan sama sekali di negara ini.
Syarikat yang menggunakannya harus membatalkan penggunaan bearer share dan mendaftarkan nama pemilik syarikat dalam tempoh 12 bulan setelah akta tersebut dikeluarkan.
Selain di Malaysia, banyak negara lain yang telah menghalang pendaftaran syarikat yang menggunakan bearer share atas alasan bagi mengurangkan risiko penggubahan wang haram dan pembiayaan pengganas.











