Benarkah Herbalife Menjalankan Perniagaan Skim Piramid?

MLM (Multi-Level Marketing) merupakan sesuatu yang ‘hot’ di negara kita. Hampir setiap bulan ada saja kedengaran perniagaan baru yang berlandaskan MLM ini.

Banyak syarikat terkenal dunia turut menggunakan kaedah MLM di dalam operasi mereka. Salah sebuah syarikat yang paling terkenal di Amerika Syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan MLM adalah Herbalife.

Syarikat yang menjual barangan nutrisi ini banyak menimbulkan kontroversi sehinggakan berlaku beberapa peristiwa besar sepanjang Herbalife beroperasi.

Asal-Usul Herbalife

Herbalife diasaskan oleh Mark R. Hughes pada tahun 1980, yang merupakan seorang jurujual yang terkenal ketika berada di sekolah menengah.

Sebelum menubuhkan Herbalife, beliau merupakan seorang jurujual produk kesihatan untuk syarikat Seyforth dan menjadi top seller untuk syarikat tersebut. Pada tahun 1979, syarikat itu telah muflis dan menyebabkan beliau bangkit mengasaskan syarikatnya sendiri.

Disebabkan zaman kehidupan remajanya yang begitu teruk, beliau bertekad untuk mengubah kehidupanya dengan lebih baik. Permulaan Herbalife sangat baik kerana dalam masa yang singkat, syarikat ini berjaya menjadi terkenal di dalam pasaran kesihatan.

Dengan pengalaman yang dimiliki oleh Mark R. Hughes, ia menjadikan syarikat ini lebih mudah untuk berkembang. Pada tahun 1986, syarikat ini secara rasminya telah disenaraikan di pasaran saham Amerika Syarikat.

Mengapa Herbalife Dituduh Menjalankan Skim Piramid?

Pada ketika ini, syarikat ini mula mendapat perhatian pihak berkuasa kerana model perniagaan yang mereka jalankan.

Pada tahun 1985, saman pertama dikeluarkan oleh pihak makahamah California kerana dituduh mengelirukan orang ramai mengenai produk mereka.

Syarikat ini mendakwa produk mereka sebagai produk kesihatan sedangkan produk kesihatan memerlukan kelulusan daripada U.S. Food and Drug Administration (FDA) untuk dijual kepada umum.

Kredit Gambar: Bay Street Ex

Strategi perniagaan mereka sangat unik berbanding dengan pesaing yang lain. Mereka menggunakan sistem MLM untuk menjual produk mereka kepada orang ramai.

Syarikat ini tidak meletakan produk mereka di kedai atau farmasi sebaliknya bergantung kepada pengedar mereka.

Pengedar mereka bertanggungjawab dalam mencari pengedar baru dan keuntungan yang diperolehi oleh pengedar baru turut dimasukkan ke dalam poket pengedar lama. Ini menyebabkan mereka dituduh sebagai syarikat yang menjalankan sistem skim piramid.

Pada era 1990-an, ia merupakan zaman perkembangan syarikat ini. Mark menggunakan televisyen untuk menjalankan pengiklanan produk mereka dan menganjurkan seminar secara besar-besaran bagi mencari pengedar.

Pada tahun 2000, Mark telah meninggal dunia akibat overdose ubat tidur. Walaupun selepas kematian pengasasnya, syarikat ini masih lagi menjalankan model perniagaan yang penuh kontroversi.

Antara kontrovesi yang paling besar yang melibatkan syarikat ini adalah ketika berlakunya pertembungan dua orang ketua hedge fund di Wall Street.

Perang mulut di antara Bill Ackman dan Carl Icahn merupakan perang terbesar yang berlaku di Wall Street pada dekad yang lepas disebabkan oleh isu Herbalife ini.

Baca: Carl Icahn vs Bill Ackman, Peristiwa Perang Mulut Paling Popular Di Wall Street Sedekad Yang Lalu

Walaupun berdepan dengan pelbagai kontroversi yang melanda syarikat tersebut, pada tahun 2016 pihak The Federal Trade Commission ( FTC) bersetuju  mengatakan bahawa Herbalife ini bukanlah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan skim piramid.

Walaupun begitu, syarikat ini terpaksa membayar denda sebanyak USD200 juta kepada pihak FTC disebabkan iklan yang mengelirukan kepada pengguna.

Walaupun disaman oleh pihak FTC, jualan tahunan produk Herballife tidak sedikit pun terjejas.

Masa Depan Herbalife

Walaupun syarikat ini dilanda kontroversi, ia masih mampu bertahan dan kini beroperasi di 94 buah negara serta mempunyai 4.5 juta pengedar.

Kini timbul pula perintah daripada Makahmah Miami untuk menyemak kembali kes kontroversi yang melibatkan syarikat ini di negeri tersebut.

Perniagaan yang dilakukan oleh Herballife nampak seolah-olah akan terus diperhatikan oleh pihak berkuasa di sana.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA