Hong Leong Bank Memperluas Inisiatif Literasi Kewangan ‘HLB DuitSmart’ kepada Komuniti Orang Kurang Upaya Penglihatan

Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (“HLB” atau “Bank”) hari ini mengumumkan pelancaran inisiatif literasi kewangan inklusif untuk komuniti orang kurang upaya (“OKU”) penglihatan, dari platform literasi kewangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘HLB DuitSmart’. Ini menggambarkan komitmen berterusan HLB untuk memperkasa dan mempromosi keterangkuman ekonomi dan literasi kewangan bagi semua komuniti di Malaysia.

Bagi menghasilkan kandungan literasi kewangan dalam format audio untuk Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Mandarin, Bank bekerjasama rapat dengan beberapa persatuan bagi orang buta di Malaysia. Persatuan-persatuan ini akan menukar kandungan tersebut kepada Braille, meningkatkan peluang akses kepada komuniti kurang upaya penglihatan yang mahir membaca Braille untuk memanfaatkan bahan berkenaan.

Domenic Fuda, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB berkongsi bahawa literasi kewangan adalah langkah penting pertama dalam mencapai kestabilan kewangan, yang sepatutnya merupakan perkara biasa dan dapat diakses oleh semua. “Literasi kewangan adalah kemahiran hidup asas yang penting bagi setiap individu. Tetapi sesetengah komuniti, seperti komuniti OKU penglihatan sering menghadapi cabaran akses kerana kekurangan sumber dalam Braille serta disebabkan kedudukan sosio-ekonomi mereka. Inisiatif ini bertujuan untuk mengatasi cabaran tersebut dengan menyediakan bahan yang dapat digunakan bagi memperkasa komuniti berkenaan dengan pengetahuan kewangan,” tambahnya.

Individu kurang upaya penglihatan sering menghadapi lebih banyak cabaran dalam mengharungi dunia yang tidak memenuhi keperluan mereka. Ini disertai pula dengan kekurangan akses kepada kandungan literasi kewangan membuatkan mereka lebih terjejas, mengurangkan kemungkinan mereka mendapat akses pembiayaan berbanding individu berkeupayaan biasa. Di Malaysia, dianggarkan kurang dari 10% warga kurang upaya penglihatan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, menimbulkan cabaran yang besar dalam memberi bantuan pendidikan bersesuaian. Sementara hanya sekitar 30% dari komuniti tersebut berpengetahuan membaca Braille. Cabaran yang mendasari isu literasi ini menjadikan akses kepada literasi kewangan satu bebanan yang lebih besar.

Zalman Zainal, Ketua Pegawai Pemasaran & Komunikasi HLB menekankan pentingnya mempunyai kemampuan untuk membuat keputusan kewangan yang tepat bermula dengan memahami elemen asas pengetahuan kewangan.

“Kami bekerjasama rapat dengan persatuan-persatuan bagi orang buta untuk memastikan bahawa sumber yang ditawarkan oleh Hong Leong Bank melibatkan dan mendidik anggota komuniti mereka secara aktif. Dalam usaha kami untuk terus menyokong literasi kewangan di kalangan rakyat Malaysia, kami ingin memastikan akses literasi kewangan merangkumi semua pihak, termasuk komuniti OKU penglihatan yang mempunyai akses agak terhad.

“Inisiatif Bank akan bermula dengan 30 artikel literasi kewangan dalam format audio meliputi bidang Memahami Jargon Kewangan Biasa, Pelaburan dan Simpanan, Pembiayaan, Penipuan, Perancangan Dana Kecemasan dan Hak Anggota KWSP. Fail audio ini dirakam oleh kakitangan kami yang menjadi sukarelawan untuk projek khas ini.”

Tambahan kepada cabaran mengakses pendidikan kewangan, komuniti OKU penglihatan di Malaysia juga menghadapi kesulitan mengakses pembiayaan. Pada bulan Jun 2020, HLB mengambil langkah untuk merapatkan jurang ini dengan memperkenalkan ATM pertama di negara ini untuk komuniti OKU penglihatan di cawangan Brickfields dan Pulau Tikus. ATM bercakap ini menawarkan sokongan audio dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, dengan perisian dan perkakas sokongan boleh suai seperti bicu fon kepala. HLB terus memperjuangkan penggunaan penyelesaian teknologi untuk meningkatkan akses kewangan yang inklusif, disokong oleh komitmen utamanya untuk memastikan literasi kewangan untuk semua.

Moses Choo, Perunding Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta, Malaysia berkata, “Kami bersyukur mengetahui bahawa Hong Leong Bank mengambil langkah pertama untuk menjadikan pendidikan perbankan dan kewangan lebih mudah diakses dan merangkumi komuniti OKU penglihatan. Inisiatif ini benar-benar merupakan langkah maju dalam menangani cabaran yang kami hadapi dengan perkhidmatan kewangan serta memahaminya dengan lebih baik. Justeru, kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak bank dan bersedia memberi maklum balas, mewujudkan peluang yang sama untuk komuniti kami memanfaatkan produk, perkhidmatan dan penyelesaian yang ditawarkan oleh industri perbankan.”

‘HLB DuitSmart’ yang dilancarkan pada bulan September 2019 bertujuan untuk menjadikan maklumat dan pengetahuan kewangan lebih mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia, dan juga membolehkan rakyat Malaysia diperkasakan dari segi kewangan. Inisiatif-inisiatif di platform CSR ini dilaksanakan melalui tiga elemen. Iaitu mewujudkan Kesedaran untuk meningkatkan pengetahuan kewangan dan Membantu menggunakan sumber yang tepat bagi membolehkan rakyat Malaysia Bertindak dengan sewajarnya berkenaan perihal kewangan.

Untuk mendapat akses ke fail audio literasi kewangan, sila layari laman web HLB DuitSmart di www.hlb.com.my/duitsmart.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI