Amazon Beli Studio MGM Untuk Besarkan Pengaruh Mereka

Persaingan di antara syarikat perkhidmatan penstriman kini semakin sengit disebabkan banyak pawangan terpaksa memberhentikan operasi mereka akibat krisis yang melanda.

Sepanjang sedekad lalu, kita hanya melihat Netflix sahaja yang fokus sepenuhnya terhadap perkhidmatan penstriman ini. Tetapi hari ini kita lihat banyak gergasi syarikat teknologi yang sebelum ini kurang mengambil berat terhadap industri ini, mula memberi fokus yang mendalam kepada perkhidmatan ini.

Amazon yang merupakan gergasi e-commerce kini semakin serius dalam memantapkan lagi perkhidmatan penstriman ini untuk ahli Amazon Prime.

Sebelum ini pun kita dapat lihat bagaimana Disney memberi fokus yang luar biasa terhadap perkhidmatan penstriman mereka yang kini telah memberi pulangan yang berganda.

BACA: Bagaimana Disney Plus Berkembang Dengan Pesat Dalam Tempoh Yang Singkat?

Kini Amazon mengikuti jejak langkah Disney di mana mereka dalam proses akhir untuk mendapatkan syarikat perfileman yang MGM Studio ini.

Kredit Gambar: Imgur

Walaupun secara asasnya Amazon merupakan syarikat e-commerce yang terbesar di Amerika Syarikat dan bukan syarikat perfileman, mereka mengambil berat terhadap perkhidmatan penstriman ini disebabkan mereka menawarkan pakej tersebut kepada ahli Amazon Prime.

Sekiaranya seseorang yang melanggan Amazon
Prime ini, mereka dapat melihat kandungan filem yang ada di dalam Prime Video secara percuma.

Disebabkan untuk menjaga ahli Prime, Amazon kini berusaha untuk menambah nilai Prime Video dengan memperbanyakkan kandungan online yang ada.

Sejarah Ringkas Metro-Goldwyn-Mayer

Amazon melihat potensi Metro-Goldwyn-Mayer yang merupakan syarikat terkenal dalam menghasilkan filem berkualiti tinggi serta mempunyai lebih daripada 4000 filem yang berada di bawah hak cipta syarikat.

Metro-Goldwyn-Mayer diasaskan pada tahun 1924 di mana pada ketika itu, industri perfileman Hollywood baru sahaja meningkat naik. Metro-Goldwyn-Mayer ini telah diasaskan oleh Marcus Loew dan juga Louis B. Mayer.

Kemuncak kehebatan Metro-Goldwyn-Mayer ini adalah di antara dekad 1930-an sehingga dekad 1960-an. Sepanjang tempoh ini, mereka sering memenangi pelbagai anugerah Oscar yang dihasilkan melalui studio mereka.

Pada dekad 1960-an, studio ini mendapat persaingan hebat dari pengeluar filem yang lain dan Metro-Goldwyn-Mayer ini sering bertukar hak pemilikan.

Amazon Bakal Memiliki Hak Cipta Filem Terkenal

Kredit Gambar: From The Grape Vine

Pemilik terakhir studio Metro-Goldwyn-Mayer ini adalah hedge fund Anchorage Capital Group, Highland Capital Management, dan Solus Alternative Asset Management. yang sedang dalam proses menjual studio tersebut kepada Amazon.

Secara umumnya, banyak filem yang berada di bawah hak cipta studio ini. Di antara filem yang terkenal yang berada di bawah bumbung Metro-Goldwyn-Mayer adalah James Bond dan Rocky. Kedua-dua siri filem ini telah membawa pulangan yang cukup besar kepada studio Metro-Goldwyn-Mayer dengan mencecah berbilion dolar.

Dengan pengambilalihan studio ini, Amazon akan mengukuhkan kedudukan mereka sebagai salah sebuah syarikat penstriman yang bakal menggugat Netflix dan Disney.

Sebelum ini, Amazon telah membeli hak penyiaran televisyen francais The Lord of the Rings yang bernilai USD250 juta. Amazon sememangnya serius dalam memperbanyakkan kandungan di dalam koleksi Prime Video.

This image has an empty alt attribute; its file name is Amazon-Beli-Studio-MGM-Untuk-Besarkan-Pengaruh-Mereka4-700x396.jpg
Kredit Gambar: Know Techie

Pada tahun ini sahaja, banyak siri original yang mereka buat bagi menambah minat pengguna untuk setia dengan Amazon Prime.

Untuk menjadi pelanggan, mereka perlu membayar yuran langganan sebanyak USD119 setahun untuk menjadi prime members. Jika dilihat daripada sudut perniagaan, ahli Amazon Prime memperolehi sesuatu yang cukup luar biasa berbanding apa yang mereka bayar.

Mereka bukan sahaja membayar untuk menonton perkhidmatan penstriman secara percuma malah mereka mempunyai banyak kelebihan yang terdapat pada Amazon Prime seperti penghantaran barangan dalam tempoh sehari secara percuma.

Begitulah perniagaan yang menjadikan Amazon gergasi dalam peruncintan online. Amazon yang memberikan nilai yang sangat tinggi, maka ahli Amazon Prime tidak merungut apabila Amazon menaikkan yuran langganan mereka disebabkan perkhidmatan yang ditawarkan cukup memuaskan.

Amazon dipercayai membayar sebanyak USD8.4 bilion untuk memiliki MGM ini.

Sumber Rujukan: Fortune

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.