Ambank Guna CTOS eKYC Untuk Lancarkan Pembukaan Akaun Mudah Alih Cara Pantas

AmBank telah melancarkan ciri yang dinaiktaraf bagi aplikasi perbankan dalam taliannya, iaitu AmOnline, yang membolehkan pelanggan membuka akaun bank dengan pantas daripada peranti mudah alih, menggunakan  penyelesaian CTOS eKYC (Electronic Know-Your-​Customer) untuk menerima pelanggan. Dalam masa yang singkat, pelanggan boleh membuka dan mengendalikan akaun bank, mendaftar untuk perbankan dalam talian dan mengakses pelbagai perkhidmatan perbankan daripada aplikasi itu.

Datuk Iswaraan Suppiah, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, AmBank Group berkata, “Aplikasi mudah alih AmOnline membolehkan pelanggan menguruskan pembayaran, menyimpan, melabur, meminjam, menginsurans dan mengakses pelbagai perkhidmatan kewangan seperti misalnya, memohon kad kredit baharu dan menyekat penggunaan kad yang hilang dengan begitu mudah. Pandemik yang berlaku masa ini menyerlahkan betapa setiap keperluan perbankan boleh dilaksanakan secara dalam talian dan tanpa sentuhan. Kini, pelanggan baharu pun boleh mengorak langkah memulakan urusan perbankan mereka dengan AmBank, hanya dengan memuat turun aplikasi berkenaan tanpa perlu datang ke cawangan bank.”

Pelaksanaan opsyen mudah alih ini adalah hasil daripada CTOS eKYC – iaitu sistem penentusahan identiti digital yang membantu perniagaan menentusahkan identiti pelanggan dari jarak jauh. Opsyen ini menawarkan penyelesaian yang boleh disesuaikan menurut keperluan, boleh diakses berbagai-bagai perniagaan, menggunakan platform mudah alih atau platform berasaskan web. Aplikasi AmOnline menawarkan panduan in-app langkah demi langkah untuk melakukan eKYC kendiri dengan mengimbas MyKad dan mengambil swafoto (selfie) untuk pengecaman wajah dengan teknologi CTOS.  Pengalaman pelanggan ini telah diuji kebolehgunaannya secara meluas untuk memastikan prosesnya licin dan lancar.

CTOS eKYC telah menarik minat daripada sektor kewangan tradisional kerana beberapa bank serta juga perniagaan yang bukan bercorak perbankan telah menyempurnakan integrasi penyelesaian sejak pelancarannya tahun lalu.

“Penerimagunaan CTOS eKYC dalam persekitaran perbankan secara berterusan untuk mewujudkan pengalaman pelanggan yang mulus akan memperkukuh lagi peranan utamanya dalam bidang Fintech (teknologi kewangan),” jelas Eric Chin, Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems Sdn Bhd. “CTOS komited untuk menerajui proses pendigitan sektor kewangan Malaysia dan CTOS eKYC adalah satu antara banyak perkhidmatan fintech yang kami sediakan untuk memacu Malaysia ke arah era digital baharu, dan kini terdapat lebih 20 syarikat menggunakan CTOS eKYC.”

TENTANG CTOS DIGITAL SDN BHD
(Dahulunya dikenali sebagai CTOS Holdings Sdn Bhd)

CTOS Digital adalah sebuah entiti pemegangan pelaburan yang melabur dalam aset digital dan biro kredit di Asia Tenggara. Pada masa ini tiga kawasan liputan utamanya ialah Malaysia, Filipina dan Thailand.

CTOS Data Systems Sdn Bhd (100% milik penuh CTOS Digital) ialah agensi pelaporan kredit terkemuka di Malaysia, yang menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan inovatif yang dibangunkan di Malaysia sepanjang 30 tahun sejarahnya. Syarikat menyediakan maklumat kredit dan penyelesaian analitis untuk perniagaan dan pengguna terutamanya di Malaysia pada setiap peringkat kitaran gaya hidup pelanggan. CTOS menyediakan penyelesaian digital kepada lebih 100 bank dan badan korporat terkemuka Malaysia dan hampir 16,000 perusahaan kecil dan sederhana (“PKS”) meliputi hampir semua industri, termasuk perkhidmatan kewangan, telekomunikasi, peruncitan, automotif, utiliti, pembrokeran, pengangkutan, pembuatan, penjagaan kesihatan dan insurans.

CTOS Digital juga ketika ini memegang kepentingan majoriti dalam CIBI Information Inc (CIBI), iaitu  organisasi pelaporan kredit yang pertama dan paling mantap di Filipina. Untuk maklumat lanjut, layari www.ctoscredit.com.my

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI