Muzakarah Nusantara Ke-15 Tampilkan Resolusi Bahawa Pemerkasaan Kewangan Campuran Islam Adalah Perlu Untuk Membina Ekonomi Dan Membantu Golongan Terkesan Dengan Pandemik Covid-19

Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) telah menganjurkan Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-15 (MUZAKARAH2021)pada 7 hingga 8 Julai 2021 lepas dengan tema “Industri Kewangan Islam Pasca Pandemik: Impak, Cabaran dan Hala Tuju”.

Persidangan secara maya tersebut berjaya menarik kehadiran lebih kurang 300 pengamal industri kewangan Islam dan pakar Syariah tempatan dan antarabangsa. Pemilihan tema adalah bertepatan dengan krisis ekonomi global masakini yang berlaku ekoran daripada pandemik COVID-19 yang masih berlarutan.

MUZAKARAH2021 juga telah mengupas secara mendalam isu-isu yang dihadapi oleh industri kewangan Islam dalam menghadapi pandemik dan bagaimana persoalan fiqh yang timbul dapat ditangani oleh pelbagai pihak terutamanya penggubal polisi. Penekanan utama diberikan kepada impak pandemik COVID-19 ke atas institusi kewangan Islam, di samping cabaran-cabaran yang dihadapi serta menggariskan hala tuju industri ini di masa hadapan.

Dilancarkan oleh ahli Lembaga Pengarah Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Tan Sri Azman Mokhtar. Majlis perasmian tersebut juga menyaksikan ucapan alu-aluan daripada Prof. Dr. Akram Laldin, Pengarah Eksekutif ISRA dan Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia. Di dalam ucapan perasmiannya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, “Kita sedang menghadapi bukan satu, tetapi tiga krisis di dalam satu di mana dunia, termasuk rantau Nusantara, mengalami bencana ribut taufan yang sempurna (atau “a perfect storm”) di dalam tiga jangkamasa; iaitu jangkamasa pendek, pertengahan dan jangkamasa panjang. 
Krisis dan jangkamasa cabaran adalah bertindih dan berkait, jadi penyelesaiannya juga perlu mengambil kira penyelesaian yang menyeluruh, syumul dan bernas, berlandaskan pandangan yang benar-benar inklusif, progresif dan berihsan”.

Tambah beliau lagi, “Bertepatan dengan krisis tiga penjuru akibat pandemik Covid-19 ini, persidangan MUZAKARAH2021 selaku wadah utama bagi para cendekiawan dan pengamal industri di rantau Nusantara membahaskan isu-isu Syariah dalam kewangan Islam dan membincangkan strategi serta kaedah yang paling sesuai dalam mendepani krisis krisis global ini adalah amat dialukan.  Selain itu, ia juga dapat menghasilkan impak positif kepada ekonomi dan kemaslahatan masyarakat secara amnya dalam memenuhi maqasid Syariah”.

Mewakili Bank Negara Malaysia, Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid selaku Penolong Gabenor berkata, “Usaha pemulihan ekonomi memerlukan sokongan pelbagai pihak. Selain jentera kerajaan dan sektor-sektor asas, pelbagai lapisan masyarakat harus bersepakat dalam usaha ini. Tidak kurang juga para ilmuan yang boleh memainkan peranan penting berdasarkan kepakaran masing-masing. Krisis ini telah memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara serantau. Pelbagai pakej rangsangan telah diperkenalkan oleh pihak berautoriti bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh individu dan perniagaan. Dalam menyokong usaha ini, institusi kewangan Islam dan ilmuan Syariah mempunyai peranan penting untuk menerapkan prinsip ihsan dan adil dalam penawaran program bantuan yang responsif terhadap keadaan semasa dan cabaran yang dihadapi oleh pelanggan”.

Di antara topik-topik yang telah dibincangkan pada MUZAKARAH2021 adalah:

  • Industri Perbankan Islam: Isu-Isu dalam Implementasi Moratorium
  • Pasca Moratorium: Cabaran dan Halatuju
  • Industri Takaful: Pindaan Klausa Dana Tabarru’
  • Crowdfunding: Sumber Kewangan Alternatif Ketika Pandemik
  • Penggunaan Dana Zakat bagi Pembiayaan Asnaf yang Terkesan dengan Pandemik

Prof. Dr. Akram Laldin, Pengarah Eksekutif ISRA turut menjelaskan “Hasil dari MUZAKARAH2021, pihak kami telah menggariskan beberapa resolusi dan cadangan. Di antaranya adalah, bagi membina semula kekuatan ekonomi dan membantu golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19, perlu ada kolaborasi yang kukuh di antara pihak kerajaan, institusi kewangan Islam, institusi zakat dan wakaf, dan rakan pelaksana bagi mewujudkan kewangan campuran Islam. Perlaksanaan perantaraan berasaskan nilai dan pelaburan berasaskan impak sosial perlu dipertingkatkan. Kajian lanjut juga perlu dijalankan berhubung parameter implementasi mikro kredit berasaskan qard hasan bagi dana zakat semasa dan pasca pandemik, dan pengstrukturan semula model-model kewangan campuran Islam yang sesuai dilaksanakan oleh institusi kewangan Islam.

Bagi pihak ISRA, saya mengucapkan terima kasih kepada Bank Negara Malaysia, Institusi Sokongan, INCEIF dan Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahli Komuniti, Malaysia World’s Islamic Finance Marketplace, Rakan aplikasi, I-FIKR, ISRA Consulting yang merupakan Syarikat Perundingan kepada ISRA dan juga pihak ASAS yang sentiasa memberi sokongan padu kepada acara MUZAKARAH”.

Tentang ISRA

Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) dilancarkan pada tahun 2008 oleh Bank Negara Malaysia dalam usaha untuk menyelaraskan keperluan akademik dan industri untuk penyelidikan bidang Syariah dan kewangan Islam. Dengan lebih daripada 200 pembentangan persidangan dan lebih dari 100 makalah penyelidikan diterbitkan, bersama dengan bahan-bahan terbitan yang diedarkan ke lebih dari 40 negara di seluruh dunia, ISRA telah terpilih sebagai “Best Islamic Research Firm” oleh IFN Service Providers Poll sebanyak tujuh kali. ISRA adalah sebuah akademi berprestij yang bertujuan untuk menjadi pusat penyelidikan Syariah terkemuka di dunia dalam Kewangan Islam.

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI