7 Tips Untuk Elak Boros Berbelanja

Bila jalan-jalan mata terpandang itu ini, terasa macam semua pun kita nak beli. Kadang-kadang tak perlu keluar rumah pun, tapi aplikasi membeli-belah di dalam telefon pintar pun kita boleh tergoda untuk membeli tanpa kita sedari.

Memang agak sukar untuk kita mengelakkan diri daripada berbelanja. Ada juga golongan yang menjadi ketagih untuk berbelanja tak kira masa.

Untuk pengetahuan anda, penyakit boros ini takkan hilang dengan sendirinya selagi kita tidak mampu mengawal diri.

Jom kami kongsikan 7 tips untuk elak daripada boros berbelanja.

1. Pinjam Barang Yang Diperlukan

Sekiranya anda memerlukan sesuatu barang dalam masa yang singkat, anda boleh meminjamnya daripada kawan atau jiran. Tidak semestinya anda perlu membeli.

Sekiranya anda membeli, pasti akan membeli barang-barang yang lain pula nanti. Sedangkan barang yang diperlukan itu hanya ingin digunakan sekali dan tidak terlalu penting.

2. Berbelanja Mengikut Senarai Yang Dibuat

Sekiranya anda membeli-belah barangan yang diperlukan untuk rumah atau diri sendiri, pastikan anda berbelanja mengikut senarai yang telah dibuat. Jadi, anda akan mengelakkan diri dari terlebih berbelanja atau boros.

Jika boleh, bawa jumlah wang yang diperuntukkan untuk barang yang ada dalam senarai sahaja. Kesannya, anda hanya membeli apa yang perlu dan tidak membazir dengan perkara yang tidak penting.

3. Dapatkan Barangan Secara Percuma

Sebenarnya terdapat pemberian barangan percuma yang boleh didapati di dalam internet yang boleh anda dapatkan. Maka anda tak perlu boros berbelanja pun, anda sudah dapat merasa benda percuma.

Di antara contoh barang percuma yang boleh didapatkan dari internet adalah seperti sampel produk kecantikan, t-shirt, sample susu dan sebagainya.

4. Tunggu Sekurang-kurangnya Sehari Sebelum Membuat Pembelian

Apabila anda mempunyai keinginan untuk berbelanja, pastikan anda menunggu sekurang-kurangnya sehari sebelum membeli. Dalam tempoh tersebut, anda boleh fikir dengan lebih tenang sama ada barangan tersebut sememangnya diperlukan ataupun tidak.

Kadang kala, dengan menunggu terlebih dahulu, anda mungkin akan mengubah fikiran untuk tidak membelinya. Atau membuat perbandingan dan mencari alternatif lain yang lebih murah.

Tips ini sangat berkesan terutamanya untuk mereka yang suka membeli secara online dan semua benda pun nak Add to Cart.

5. Makan Masakan Dari Rumah

Makan masakan dari rumah juga dapat mengelakkan diri daripada boros berbelanja. Dengan memasak, ia akan mengurangkan kekerapan anda mengunjungi kedai makan dan menghabiskan wang untuk membeli makanan di luar.

Sekiranya bekerja di luar, anda boleh sediakan bekal dari rumah untuk lebih jimat.

6.  Buat Sendiri

Bagi mengelakkan berbelanja dengan boros, anda boleh sibukkan diri dengan melakukan hal-hal lain. Jika keluar rumah menyebabkan anda berbelanja dengan boros, lebihkan banyak masa di rumah.

Banyak aktiviti yang boleh dibuat seperti mengemas, basuh baju, bercucuk tanam dan sebagainya. Tak perlu upah orang lain jika anda buat semua dengan sendirinya.

Bukan sahaja boleh elak daripada boros berbelanja tetapi menyihatkan badan.

7.  Elakkan Kad Kredit

Sekiranya anda ingin buang sikap boros berbelanja, maka elakkan penggunaan kad kredit sekiranya tak mampu nak kawal diri. Dengan cara ini, anda tidak akan boros berbelanja kerana kewangan anda akan menjadi terhad disebabkan penggunaan wang tunai.

Baca 7 Perkara Penting Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Swipe Kad Kredit

Tanpa wang tunai, anda tidak dapat membeli barang. Justeru, anda juga cenderung untuk berjimat cermat.

Kesimpulannya, tips-tips elak boros berbelanja ini sememangnya memerlukan sedikit masa dan dedikasi untuk mengubah sikap suka berbelanja anda selama ini.

Sumber Rujukan: My Money Coach

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.