Principal Islamic Raih Anugerah Pengurus Islamik Terbaik Tahunan

Principal Islamic Asset Management (“Principal Islamic”) telah meraih anugerah Pengurus Islamik Terbaik untuk tahun kedua berturut-turut pada Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A 2021. Anugerah ini mengiktiraf pencapaian dan perkhidmatan yang ditawarkan Principal Islamic, yang telah menunjukkan pertumbuhan yang stabil sepanjang waktu yang tidak menentu.

Dato’ Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin

Kami telah menetapkan strategi 5-tahun untuk perniagaan patuh-Syariah bagi menyempurnakan aspirasi kami untuk menerajui agenda pelaburan Islam dalam pengurusan aset, mengembangkan produk tawaran dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan kami. Anugerah ini sememangnya menyumbang kepada momentum pertumbuhan perniagaan kami.

Dato’ Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin, Ketua Pegawai Eksekutif Principal Islamic

Dengan kelebihan pelbagai kelas aset dan kepercayaan pelabur terutamanya di ASEAN dan Timur Tengah, Principal Islamic berusaha untuk memimpin sebagai penyedia penyelesaian pelaburan Islamik pilihan yang memenuhi keperluan dan objektif pelabur global.

Walaupun 2020 merupakan tahun yang sukar, kami berupaya mengekalkan pencapaian yang baik bagi pelaburan para pelanggan kami. Kami menghargai pengiktirafan ini, dan berterima kasih terutamanya kepada para pelabur kami yang memberi maklum balas tentang prestasi dan perkhidmatan kami sepanjang tahun lalu. Kami akan terus menawarkan produk dan solusi yang dapat memberikan pulangan yang baik kepada para pelabur kami. Kami yakin dapat memperkenalkan lebih banyak strategi-strategi patuh-Syariah dalam  memenuhi permintaan bagi dana-dana yang inovatif, sesuai untuk pelbagai risiko dan pulangan yang lebih baik. 

Dato’ Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin, Ketua Pegawai Eksekutif Principal Islamic

Memanfaatkan kerjasama dengan Principal Global Investors (“PGI”), Principal Islamic akan memacu strategi-strategi patuh-Syariahnya, termasuk dana yang fokus kepada Environmental, Social and Governance (ESG) dalam beberapa bulan yang akan datang. Dengan pemahaman yang mendalam dalam pematuhan Syariah dan ESG, Principal Islamic komited dalam menintegrasikan prinsip-prinsip ESG dan patuh-Syariah.

Integrasi ini melengkapkan pelaburan patuh-Syariah kerana kedua-duanya mempunyai banyak persamaan dari segi sosial antaranya mengelakkan pelaburan di dalam industri pembuatan senjata, alkohol, perjudian dan tembakau.

Principal merupakan salah satu pengurus aset Islam terkemuka di dunia. Setakat Jun 2021, Principal menguruskan sejumlah RM96.7 bilion di Asia Tenggara, yang mana RM30.69 bilion adalah dana patuh-Syariah.

Untuk maklumat lanjut mengenai Principal Islamic, layari www.principalislamic.com atau ikuti kami di LinkedIn di PrincipalIslamicAssetManagement.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.