Maybank Investment Bank & UOB Malaysia Menaja Jamin Bersama Kemudahan Islam Berjumlah RM2 Bilion Bagi Pengambilalihan Malayan Cement Berhad

Maybank Investment Bank dan UOB Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan mereka sebagai penaja jamin dan bookrunner,  secara bersama, untuk kemudahan Islam bernilai RM2.0 bilion yang disediakan kepada Malayan Cement Berhad (MCB).

Kemudahan ini akan digunakan untuk membiayai pengambilalihan 10 syarikat dalam sektor simen dan konkrit siap campur di Malaysia oleh MCB dari syarikat induk, YTL Cement Berhad (YTL Cement). Kemudahan pembiayaan  berjangka bersindiket Islam ini adalah berdasarkan prinsip Syariah Komoditi Murabahah

MCB akan menggunakan kemudahan Islam ini untuk membiayai pertimbangan tunai bagi pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti 10 syarikat dan anak syarikat masing-masing  (syarikat yang diambilalih) dari YTL Cement untuk jumlah pertimbangan yang dianggarkan pada RM5.2 bilion. 

Encik Fad’l Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Investment Bank, berkata, “Kami  ingin mengucapkan terima kasih kepada MCB atas kepercayaan yang diberikan kepada  Maybank untuk mengambil bahagian dalam transaksi mercu tanda ini sebagai Pengatur Utama Dimandatkan, ‘Bookrunner’ dan Penaja Jamin untuk penyelesaian pembiayaan Islam serta Penasihat Utama Tunggal untuk pelaksanaan pengambilalihan dan juga Penasihat  Syariah untuk kemudahan Islam. Kami berharap untuk bekerjasama lebih lanjut dengan MCB  apabila syarikat meneruskan perjalanan transformatif sebagai salah satu daripada perintis industri dalam bahan binaan tempatan. 

Puan Ng Wei Wei, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia berkata, “Kami berbesar hati menyokong keperluan pembiayaan MCB bagi transaksi yang amat penting ini. Sebagai Pengatur Utama Dimandatkan, ‘Bookrunner’ dan Penaja Jamin untuk transaksi ini, kami menggunakan keupayaan pembiayaan Islam kami dalam membantu MCB memenuhi aspirasi  perkembangannya. Perjanjian ini juga dimeterai berikutan penerimaan anugerah Sukuk  Baharu Terbaik (Korporat) dan Sekuritisasi Terbaik di Malaysia di Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A pada Ogos 2021, satu lagi bukti komitmen kami dalam memenuhi  keperluan kewangan pelanggan kami.”

Dato’ Sri Michael Yeoh Sock Siong, Pengarah Urusan YTL Cement and MCB berkata, “Usaha  pengambilalihan oleh MCB ini akan membolehkan kami memperkemas dan meningkatkan kecekapan operasi dalam memanfaatkan sumber, kepakaran dan pengalaman masing masing. Penggabungan ini akan membantu kami mencapai skala ekonomi, meningkatkan  kehadiran pasaran, mengurangkan fungsi pendua, dan akhirnya memberikan penyelesaian  yang lancar kepada pelanggan kami. Kami merasa sukacita atas suatu pencapaian utama  yang akan membawa kami maju selangkah kehadapan dalam merealisasikan rancangan  pertumbuhan bagi MCB. Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Maybank Investment  Bank dan UOB Malaysia atas kerjasama mereka ketika kami menempuhi fasa baru dalam  perjalanan korporat kami.” 

MCB (dahulu dikenali sebagai Lafarge Malaysia Berhad) disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia. Kegiatan utama MCB adalah sebagai syarikat pegangan pelaburan. Melalui  anak syarikatnya, MCB terlibat dalam pengeluaran, pembuatan dan perdagangan simen, klinker, konkrit siap campur dan bahan binaan lain serta produk berkaitan.

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.