Pasaran Modal Malaysia Capai Rekod RM4.3 Trilion Pada 2025

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerbitkan Laporan Tahunan 2025 (AR2025), Laporan Tahunan Lembaga Pemantauan Audit 2025 dan Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2025 (CMSR).

Pada tahun 2025, pasaran modal Malaysia berkembang sebanyak 3.2% kepada rekod RM4.3 trilion berbanding RM4.2 trilion pada tahun 2024, disokong oleh terbitan bon korporat yang lebih tinggi dan peningkatan aliran masuk pengurusan dana.

AR2025 menyatakan bahawa prestasi keseluruhan tahun 2025 dicapai dikala ketidaktentuan pasaran global dan rintangan yang meningkat. Secara global, pasaran modal lebih lemah pada tahun 2025 disebabkan oleh pergeseran perdagangan global dan ketegangan geopolitik.

Nilai dagangan purata harian dalam pasaran ekuiti Malaysia adalah RM2.76 bilion pada tahun 2025, menurun 19.7% daripada RM3.44 bilion pada tahun 2024, disebabkan oleh sentimen pelabur yang berhati-hati.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata pasaran modal Malaysia masih menunjukkan daya tahannya meskipun persekitaran yang tidak menentu.

“Keputusan bagi tahun 2025 mencerminkan kekuatan asas pasaran modal Malaysia. Dengan mengimbangi perkembangan pasaran sambil melindungi integriti pasaran, SC terus menyediakan persekitaran yang stabil dan inovatif untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.

Dato’ Faiz berkata SC mengambil maklum mengenai pergolakan pasaran dikala ketidakpastian global, geopolitik dan gangguan teknologi.

“Walau bagaimanapun, dengan pelaksanaan Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 yang berpandangan ke hadapan, SC optimis bahawa pasaran modal Malaysia akan terus berada di landasan yang betul dalam melaksanakan pembaharuan, meningkatkan daya saing dan keterangkuman pasaran, memperkukuh rangka kerja tadbir urus dan meningkatkan perlindungan pelabur,” katanya.

Sorotan Utama daripada Laporan Tahunan SC 2025:

  • Pasaran Modal Islam (ICM) kekal kukuh, berkembang sebanyak 4.31% untuk mencapai RM2.7 trilion pada tahun 2025.
  • Aset di bawah pengurusan (AUM) bagi industri pengurusan dana meningkat sebanyak 6.9% kepada paras tertinggi RM1.14 trilion, berdasarkan pulangan yang lebih baik untuk sekuriti pendapatan tetap dan penilaian yang lebih tinggi.
  • Jumlah dana yang diperoleh melalui pasaran modal melonjak 35.4% kepada RM187.7 bilion.
  • Sebanyak 60 IPO telah disenaraikan pada tahun 2025, mengatasi jumlah 55 yang direkodkan tahun sebelumnya.
  • Jumlah dana yang dikhaskan dalam industri modal teroka dan ekuiti persendirian meningkat sebanyak 21.66% kepada RM30.05 bilion.
  • Saluran pembiayaan alternatif terus memudahkan pembiayaan kepada PMKS dan MTC, dengan RM5.7 bilion yang diperoleh pada tahun 2025.

Pada tahun 2025, cadangan nilai serantau Malaysia diperkukuh melalui:

  • Pengiktirafan Malaysia oleh Yayasan IFRS sebagai salah satu bidang kuasa ASEAN pertama yang menerima pakai Piawaian ISSB dengan peralihan terhad menurut Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF).
  • Pengenalan rangka kerja insentif Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) telah menjana pertambahan minat dalam kalangan pejabat keluarga serantau. Sehingga hari ini, sembilan kelulusan bersyarat telah diberikan, mewakili hampir RM670 juta dalam AUM indikatif.

SC juga memperkukuhkan komitmennya terhadap perlindungan pelabur dan pencegahan yang boleh dipercayai.

  • Malaysia mencapai status “Susulan Berkala” di bawah penilaian Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), iaitu penarafan tertinggi.
  • SC memulakan sebanyak 96 pertuduhan jenayah terhadap 16 individu pada tahun 2025 atas pelbagai pelanggaran undang-undang sekuriti dan seterusnya memperoleh sembilan sabitan dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda jenayah berjumlah RM13.1 juta yang dikenakan oleh mahkamah. SC juga memperoleh sejumlah RM11.14 juta daripada pembayaran balik dan penalti sivil melalui usaha penguatkuasaan sivilnya.
  • Dalam menegakkan mandat perlindungan pelabur, SC berjaya mengembalikan sejumlah RM1.98 juta kepada 239 pelabur pada tahun 2025, dengan RM8.63 juta lagi diperuntukkan untuk 993 individu yang terjejas.
  • Selain tindakan jenayah dan sivil, SC terus mengambil tindakan penguatkuasaan pentadbiran yang tepat pada masanya, dengan 99 sekatan pentadbiran dikenakan, yang terdiri daripada penalti kewangan berjumlah RM8.28 juta.

Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2025

Laporan Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal (CMSR), yang menggariskan penilaian risiko komprehensif mengenai pelbagai komponen pasaran modal Malaysia, menyatakan bahawa walaupun pasaran domestik terus terjejas oleh gabungan faktor risiko, ia dapat beroperasi dengan adil dan teratur tanpa sebarang kebimbangan kestabilan sistemik dikenalpasti.

Pemerhatian utama daripada laporan tersebut termasuk:

  • Pada tahun 2025, keadaan pasaran modal domestik kekal teratur, dengan perantara pasaran mempunyai modal yang positif, dan tiada risiko sistemik dikenalpasti.
  • Pasaran ekuiti dan derivatif berfungsi dengan teratur, dengan mekanisme pengurusan risiko memastikan kestabilan sistemik. Tiada kemungkiran bon korporat direkodkan, dan pendapatan syarikat awam tersenarai (PLC) yang stabil menggariskan keupayaan mereka untuk menahan rintangan ekonomi.
  • Nisbah kecukupan modal perantara melebihi keperluan kawal selia secara mampan. Ujian tekanan mengesahkan bahawa dana pelaburan mampu mengharungi kejutan penebusan tanpa bergantung pada penimbal kecairan. Risiko limpahan kekal terhad walaupun di bawah senario ekstrem, yang menganggarkan penurunan yang agak sederhana dalam indeks penanda aras.

Laporan Tahunan Lembaga Pemantauan Audit 2025

Terdapat sejumlah 41 firma audit dan 397 juruaudit individu yang kini berdaftar dan diiktiraf oleh Lembaga Pemantauan Audit (AOB).

Pada tahun 2025, AOB telah memeriksa sejumlah 41 penglibatan audit yang dijalankan oleh 40 juruaudit individu daripada 14 firma audit.

Sorotan Laporan Tahunan AOB 2025 termasuk:

  • Jangkauan oleh AOB meliputi sebanyak 724 Jawatankuasa Audit (AC) melalui ‘Perbualan dengan Jawatankuasa Audit’ dan kerjasama lain, menekankan peranan penting AC yang kukuh, bebas dan berpengetahuan dalam meningkatkan kualiti audit.
  • AOB memainkan peranan penting dalam memajukan perbincangan audit dan etika global dengan memudahcara mesyuarat meja bulat Lembaga Piawaian Etika Antarabangsa untuk Akauntan (IESBA) dan Lembaga Piawaian Pengauditan dan Jaminan Antarabangsa (IAASB) di Rantau Asia Pasifik masing-masing mengenai budaya firma dan tadbir urus serta pengurusan kualiti teknologi. Ini telah membolehkan perspektif dan maklum balas serantau terutamanya dari Malaysia diberikan kepada penetap piawaian global.
  • AOB, dengan kerjasama Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), terus memperkukuh pembinaan kapasiti untuk juruaudit berdaftar, menunjukkan komitmennya untuk melengkapkan juruaudit dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menegakkan piawaian profesional yang tinggi dalam pelaporan kewangan.
  • AOB telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap dua firma audit dan enam juruaudit individu kerana melanggar piawaian pengauditan. Tindakan tersebut termasuk larangan dan penalti kewangan berjumlah RM423,750. Di samping itu, AOB buat pertama kalinya telah menggantung sebuah firma audit dan dua rakan kongsinya atas isu kualiti audit yang serius dan kegagalan untuk menunjukkan peningkatan dalam kualiti audit daripada penemuan pemeriksaan sebelumnya.

Keutamaan Strategik SC pada 2026

Pencapaian utama pada 2026 akan didorong oleh Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP) SC di bawah tema kerancakan, keterangkuman, kemampanan dan peluang serantau.

Setakat ini, SC telah melancarkan:

  1. Program MY Value Up untuk meningkatkan penciptaan nilai jangka panjang PLC Malaysia bagi mengubah mereka menjadi cadangan pelaburan yang menarik di peringkat global.
  2. Rangka kerja baharu untuk nota hutang persendirian bagi meluaskan pilihan pembiayaan pasaran modal berasaskan hutang untuk PMKS.
  • Rangka kerja ETF yang diperluas untuk membolehkan penawaran ETF Aset Digital dan kejelasan kawal selia bagi memudahkan perkhidmatan pembrokeran untuk Aset Digital.

Melangkah ke hadapan, inisiatif baharu SC termasuk:

  1. Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2026 yang disemak semula 
  2. Cadangan nilai Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE 
  3. Rangka kerja Pasaran LEAP 
  4. Rangka kerja Pertukaran Aset Digital (DAX)  
  5. Memudah cara tokenisasi sekuriti  

Untuk melihat dan memuat turun laporan ini, sila lawati:

  1. Laporan Tahunan SC 2025 – https://www.sc.com.my/annual-report-2025  
  2. Laporan Tahunan AOB 2025 – https://www.sc.com.my/annual-report-2025/audit-oversight  
  3. Kajian Kestabilan Pasaran Modal 2025 – https://www.sc.com.my/resources/cmsr
Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.