SC Kenakan Celaan Ke Atas China Automobile Parts Holdings Limited (CAP), Bekas Pengarah Dan Pegawai Semasa

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan kenyataan umum menurut
seksyen 354 (3)(f)(ii) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) untuk
menyatakan pandangannya bahawa pengekalan jawatan Wang YuYun sebagai Pengerusi
Eksekutif dan Pengarah Eksekutif, Chen Xunze oleh China Automobile Parts Holdings
Limited (CAP), boleh memudaratkan kepentingan awam.

SC telah mengenakan celaan terhadap CAP serta bekas para pengarah dan ketua pegawai
kewangan semasanya atas pelbagai pelanggaran undang-undang sekuriti.

Tawaran Awam Awal CAP menyatakan bahawa CAP telah mengemukakan kepada SC dan
mengeluarkan prospektus bertarikh 11 Januari 2013 yang mengandungi penyata
kewangan anak syarikat milik penuh QuanZhou FenSun Automobile Parts Co., Ltd.
(FenSun), yang palsu atau mengelirukan, kerana mengandungi penyata baki bank
FenSun yang terlebih nyata. CAP telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia
Securities Berhad (Bursa Malaysia) pada 30 Januari 2013.

Antara tahun 2013 hingga 2018, CAP juga telah mengemukakan penyata kewangan palsu
atau mengelirukan kepada Bursa Malaysia disebabkan oleh penyata baki bank Fensun
yang terlebih nyata. Selanjutnya, CAP telah gagal untuk menzahirkan litigasi yang
berkaitan dengan kemungkiran pinjaman bank oleh FenSun dan tidak mengiktiraf liabiliti
tertunggak pinjaman bank FenSun dalam penyata kewangannya.

Di samping itu, SC mengenakan celaan terhadap bekas Pengarah Urusan CAP Li Guo
Qing; bekas Naib Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Ong Juan Tee dan Wang YuYun
atas kesalahan berikut:

  • Menyebabkan pengemukaan dan membenarkan penerbitan prospektus CAP yang mengandungi penyata kewangan yang palsu atau mengelirukan; dan
  • Dengan sengaja mengizinkan pengemukaan penyata kewangan palsu atau mengelirukan kepada Bursa Malaysia.

SC juga mengenakan celaan terhadap Chen Xunze dan dua bekas Ketua Pegawai
Kewangan CAP, Lai Fong Ling dan Chai Wai Teck kerana dengan sengaja membenarkan
pengemukaan penyata kewangan palsu atau mengelirukan kepada Bursa Malaysia.
Semua individu yang telah melanggar undang-undang tersebut tidak mengemukakan
rayuan terhadap tindakan SC dalam tempoh yang ditentukan menurut CMSA.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan,
ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi
pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk
menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal
selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat
lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di
@SecComMy untuk perkembangan terkini

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.