PMB Investment Lancar Dana Global Pertama

PMB Investment Berhad (PMB Investment) melancarkan dana global pertamanya, PMB Shariah Global Equity Fund (PMBSGEF) hari ini yang memfokus kepada ekuiti global untuk memberi akses mudah kepada pelabur untuk melabur di portfolio pelaburan patuh syariah di pasaran global.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Puan Mahani Ibrahim, “Dana PMBSGEF menawarkan pertumbuhan modal dalam jangka masa sederhana hingga panjang dengan melabur dalam portfolio pelbagai sekuriti patuh Syariah yang tersenarai di pasaran global. Ianya juga sesuai untuk pelabur yang mempunyai tahap toleransi risiko sederhana dan tinggi dalam pelaburan unit amanah”.

Majlis Pelancaran atas talian ini dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar.
YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, “Pelancaran dana ini adalah satu lagi kejayaan PMB Investment dalam menunaikan amanatnya kepada semua rakyat Malaysia dengan memberikan akses mudah ke pasaran unit amanah di peringkat global dengan pelaburan permulaan yang berpatutan walaupun keadaan ekonomi suram”.

Pelaburan permulaan adalah RM1,000 bagi pelabur individu dan RM10,000 bagi pelabur korporat manakala pelaburan tambahan masing-masing sebanyak RM100 dan RM1,000. Dana ini dijual dengan harga RM0.50 seunit dan pelabur boleh menghubungi Konsultan Unit Amanah PMB Investment ataupun pejabat jualan negeri di seluruh Malaysia.

Tambah Mahani Ibrahim, fokus pelaburan adalah pada ekuiti global dengan peruntukan aset hingga 99.5 peratus yang mana dana ini menggunakan strategi pelaburan dalam syarikat berprospek tinggi dan patuh syariah di 15 negara termasuk Amerika Syarikat, Arab Saudi, China, Jepun dan beberapa negara lagi.

“PMB Investment bekerjasama dengan Nasdaq Dorsey Wright (NDW), sebuah syarikat penasihat kepada Wall Street dan pelaburan dunia untuk menguruskan PMBSGEF dengan menggunakan metadologi dan strategi pelaburan mereka,” tambah Mahani Ibrahim lagi.

“PMBSGEF ini akan menjadi peluang menarik bagi pelabur Malaysia yang ingin mempelbagaikan pendapatan mereka melalui platform pelaburan berlandaskan syariah di peringkat global sejajar dengan kesan pemulihan ekonomi dunia selepas memberian vaksin Covid 19”, tambah Mahani.

PMB Investment Berhad (PMB Investment) merupakan anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad, syarikat pelopor dalam pengurusan unit amanah dan pengurusan portfolio. PMB Investment menguruskan 18 dana termasuk PMB Shariah Global Equity Fund, dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas aset utama iaitu ekuiti, sukuk dan pasaran modal.

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.