DHL Express Melabur RM200 Juta Untuk Membina Pintu Laluan Pengisihan Jenis Automatik Penuh Di KLIA

DHL Express, iaitu penyedia perkhidmatan ekspres antarabangsa terkemuka di dunia, mengumumkan pelaburan sebanyak RM200 juta untuk membina pintu laluan pengisihan jenis automatik penuh pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pelan ini melambangkan pelaburan terbesar di Malaysia setakat ini dan selari dengan rancangan pengembangan syarikat bagi memenuhi permintaan sektor logistik di Malaysia yang bertumbuh pesat.

Hari ini, syarikat berkenaan telah mengadakan majlis pecah tanah bagi merasmikan pembinaan pintu laluan tersebut yang dijangka siap menjelang suku pertama 2023. Perasmian majlis tersebut disempurnakan bersama Yang Berbahagia Datuk Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia, serta Julian Neo, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei.

Yang Berbahagia Datuk Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia berkata, “Kami berbesar hati melihat DHL Express memanfaatkan lokasi strategik Malaysia dan ketersambungan yang baik menerusi pelan pembinaan Kuala Lumpur Gateway, yang bertepatan dengan usaha kami untuk menaik taraf Malaysia sebagai hab pengangkutan dan logistik di rantau ini menjelang 2025. Pelaburan DHL Express turut membuktikan keyakinan terhadap Malaysia serta potensinya sebagai pintu laluan logistik pilihan di Asia Tenggara.”

Ken Lee, Ketua Pegawai Eksekutif, DHL Express Asia Pasifik berkata, “Usaha pengembangan ini menyerlahkan kepentingan Malaysia dalam rangkaian Asia Pasifik DHL Express dan keyakinan berterusan kami terhadap negara ini. Kuala Lumpur Gateway baharu akan mengukuhkan keupayaan logistik kami bagi menyokong pertumbuhan perdagangan di Asia Tenggara, disebabkan kedudukan strategiknya di sepanjang laluan perdagangan utama antara Malaysia dan negara-negara seperti Singapura, Taiwan, Hong Kong dan China.”

Pintu laluan seluas 13,422 meter persegi ini yang terletak di Terminal Kargo Udara KLIA 1 (KACT1), bukan sahaja akan mengembangkan saiz kelengkapan DHL Express sedia ada di Kuala Lumpur sebanyak tiga kali ganda, bahkan meningkatkan kapasiti pemprosesan penghantaran sebanyak lebih 400%. Kemudahan ini akan dilengkapi dengan sistem pengisihan automatik yang boleh mengendalikan 10,000 bungkusan sejam, 24 jam sehari, berbanding dengan 2,400 bungkusan sejam buat masa ini. Ia akan menjadi kemudahan pengisihan automatik kedua dalam rangkaian Asia Tenggara DHL Express selepas Singapura.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bahkan sebelum pandemik, DHL Express telah menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah import dan eksport di Malaysia. Pintu laluan pengisihan automatik penuh akan membolehkan kami menampung pertumbuhan jumlah penghantaran dan bungkusan yang dipacu lonjakan e-dagang rentas sempadan, sekali gus membantu kami terus memenuhi peningkatan permintaan pengguna Malaysia terhadap perkhidmatan logistik yang cekap. Ia berperanan penting dalam menyokong iltizam berterusan kami untuk memposisikan Malaysia sebagai antara penggiat logistik utama di rantau ini, serta mengukuhkan lagi hubungan Malaysia dengan rangkaian logistik global,” kata Julian Neo, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei.

Kuala Lumpur Gateway baharu DHL akan menampilkan teknologi canggih dan direka untuk kecekapan pemprosesan penghantaran yang optimum, termasuk sistem pendimensian dan penimbangan berkelajuan tinggi. Selari dengan komitmen DHL Express terhadap sekuriti penghantaran pelanggan, pintu laluan ini akan dilengkapi dengan lebih 250 televisyen litar tertutup dan sistem saringan sinar-X berkelajuan tinggi. Sistem solar puncak 500 kilowatt dan sistem pencahayaan yang cekap tenaga juga akan dipasang padanya, selaras dengan komitmen syarikat ke arah sasaran pelepasan sifar menjelang 2050.

Pintu laluan baharu ini akan dilengkapi dengan dua pesawat khusus yang terbang 5 kali seminggu ke dan dari Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, dan 4 kali seminggu ke dan dari Singapura. Pada masa ini, DHL Express memiliki enam pintu laluan antarabangsa di Malaysia, iaitu di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching, Subang, dan Kuala Lumpur.

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI