LHDNM Permudahkan Urusan Permohonan & Pembayaran Duti Setem Melalui STAMPS

Permohonan dan pembayaran duti setem kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) kini boleh dibuat menggunakan Sistem Taksiran dan Pembayaran Duti Setem atau Stamp Assessment And Payment System (STAMPS).

Ianya merupakan kaedah secara dalam talian diperkenalkan pada tahun 2012 dan telah melalui beberapa fasa penambahbaikan bagi memperluaskan penggunaannya kepada lebih ramai pengguna. Pada peringkat awal pengenalan STAMPS, penggunanya hanya terdiri daripada syarikat, firma guaman, perbankan, agensi dan perniagaan yang berdaftar.

Mulai 1 Julai 2021, STAMPS telah diperluaskan penggunaannya kepada individu atau orang awam. 

Daftar Sebagai Pengguna STAMPS

STAMPS sebagai kaedah utama penyeteman di LHDNM kini boleh diakses oleh pengguna berdaftar sama ada sebagai ejen atau individu pada bila-bila masa asalkan  mempunyai akses kepada internet. Pendaftaran sebagai pengguna STAMPS boleh dibuat secara dalam talian di https://stamps.hasil.gov.my/stamps/.

Pendaftaran adalah percuma dan pengguna boleh terus membuat permohonan penyeteman melalui STAMPS sebaik sahaja permohonan pendaftaran ID pengguna diluluskan oleh LHDNM. Pastikan ID pengguna didaftarkan dengan betul sama ada sebagai Ejen STAMPS (Ejen) atau Individu STAMPS (Individu). 

Bagaimana Pengguna Ejen Memanfaatkan Penggunaan STAMPS?

Ejen terbahagi kepada empat kategori utama dimana setiap pemilik ID Ejen boleh melaksanakan semua jenis permohonan penyeteman seperti jadual di bawah:

Bagi pengguna Ejen, penyeteman melalui STAMPS melibatkan proses secara dalam talian sepenuhnya bermula dari peringkat permohonan sehingga pembayaran duti. Ejen memilih jenis penyeteman mengikut kategori dokumen atau perjanjian dengan mengisi maklumat ke dalam Borang Permohonan Penyeteman Surat Cara yang disediakan dan memuat naik dokumen atau perjanjian yang hendak disetemkan sebelum menghantar permohonan untuk diproses oleh Pejabat Setem LHDNM yang dipilih. 

Notis Taksiran akan dikeluarkan selepas taksiran dan endosmen dibuat oleh pegawai LHDNM. 

Proses permohonan taksiran duti setem secara dalam talian bagi pengguna Ejen

Bayaran 

Ejen boleh membuat bayaran duti berdasarkan amaun duti setem yang telah dinyatakan dalam Notis Taksiran secara perbankan elektronik melalui kaedah Bill Payment  untuk pengguna CIMB BizChannel dan Public Bank atau kaedah FPX (Financial Process Exchange).

Ejen boleh mencetak Sijil Setem setelah bayaran berjaya dibuat untuk dikepilkan bersama dokumen atau perjanjian asal  sebagai bukti pembayaran duti setem. Ejen dinasihatkan untuk menyemak status permohonan pada paparan utama STAMPS bagi mengetahui tindakan yang telah diambil oleh LHDNM atau yang perlu dilaksanakan oleh ejen. 

Pengguna Individu Masih Perlu Hadir Ke Kaunter LHDNM

Bagi pengguna Individu pula, maklumat dokumen atau perjanjian yang ingin disetemkan perlu diisi pada Borang Permohonan Penyeteman Individu STAMPS sebelum hadir ke kaunter duti setem LHDNM untuk proses taksiran dan bayaran duti setem. Jenis dokumen atau perjanjian yang boleh dimohon melalui STAMPS Individu adalah seperti berikut:

JENIS PENYETEMANKETERANGAN
SekuritiSewa/ PajakanPenyeteman AmSelain Pindah Milik Tanah, Saham, PerniagaanIndividu membuat kemasukkan maklumat perjanjian ke dalam STAMPS sebelum hadir ke kaunter.

Borang Permohonan Penyeteman Individu yang telah lengkap diisi akan disimpan di dalam STAMPS sebagai deraf dan pengguna boleh hadir ke mana-mana kaunter duti setem LHDNM dengan membuat temujanji terlebih dahulu di https://janjitemu.hasil.gov.my/ dengan membawa bersama dokumen atau perjanjian asal untuk tujuan taksiran dan bayaran duti setem. 

Maklumat yang telah dilengkapkan menerusi STAMPS sebelum hadir ke kaunter duti setem akan mempercepat dan melancarkan proses penyeteman dokumen atau perjanjian untuk individu. Bayaran duti setem boleh dibuat di kaunter sama ada menggunakan tunai atau deraf bank atas nama Pemungut Duti Setem.

Sijil Setem akan dikeluarkan setelah bayaran diterima oleh pegawai LHDNM.  

Pengguna Individu masih perlu hadir ke kaunter duti setem setelah mengisi maklumat di STAMPS.

Sijil Setem perlu dikepilkan bersama dokumen atau perjanjian asal sebagai bukti pembayaran duti setem telah dibuat.

Pemalsuan Sijil Setem

LHDNM tidak berkompromi dengan isu pemalsuan Sijil Setem dan scammer yang cuba memperdaya orang ramai dengan mengemukakan Sijil Setem palsu. Sijil Setem mengandungi ciri-ciri keselamatan tersendiri dan semakan ketulenan boleh dilakukan di Portal STAMPS menerusi pautan https://stamps.hasil.gov.my/stamps/ dengan memasukkan nombor adjudikasi dan nombor Sijil Setem di ruangan pengesahan ketulenan.

Selain itu, semakan ketulenan juga boleh dibuat ke atas kod QR yang terdapat dalam Sijil Setem melalui imbasan kod telefon pintar daripada Aplikasi Semakan Ketulenan Sijil yang boleh dimuat turun di peranti Android atau IOS. Jika tiada data dipaparkan semasa semakan dibuat, Sijil Setem tersebut berkemungkinan bukan sijil yang dikeluarkan oleh LHDNM disebabkan tiada rekod yang disimpan di Pangkalan Data STAMPS.

STAMPS Menjamin Urusan Penyeteman Tidak Terjejas Di Musim Pandemik

Selain memudahkan urusan dan mengurangkan pertemuan secara bersemuka antara orang ramai dan petugas kaunter duti setem sewaktu pandemik COVID-19 ini, perkhidmatan dalam talian STAMPS memastikan pemprosesan permohonan penyeteman tidak terjejas kerana Ejen mempunyai kemudahan membuat permohonan dan bayaran duti setem secara dalam talian sepenuhnya.

Penggunaan STAMPS sebagai sistem tunggal untuk permohonan dan bayaran duti setem adalah langkah ke hadapan LHDNM bagi merealisasikan hasrat kerajaan ke arah pendigitalan Malaysia. Di masa hadapan, LHDNM berhasrat untuk meneroka proses penyeteman secara digital sepenuhnya bagi memenuhi hasrat Kerajaan dan permintaan pengguna yang sedang beralih kepada transaksi digital dalam semua urusan perniagaan.

Nota: Artikel ini disumbangkan oleh Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia, Jabatan Khidmat Korporat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama