Program Khas Peremitan Pendapatan Yang Disimpan Di Luar Negara

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) — Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan pembatalan pengecualian cukai ke atas pendapatan daripada punca luar negara sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan melalui Bajet 2022, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menawarkan Program Khas Peremitan Pendapatan (PKPP) kepada pemastautin di Malaysia yang mempunyai pendapatan yang disimpan di luar negara.

Program ini akan dilaksanakan berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang berikut:

(a) Tempoh pelaksanaan PKPP adalah mulai 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2022 (tempoh PKPP);

(b) Kadar cukai 3% kasar ke atas pendapatan yang dibawa masuk dalam tempoh tersebut sepertimana yang dicadangkan di bawah Rang Undang-Undang Kewangan 2021;

(c) Tiada semakan audit, siasatan atau penalti terhadap pendapatan yang dibawa masuk dalam tempoh PKPP, semua pendapatan yang dibawa masuk akan diterima secara suci hati oleh pihak HASiL;

(d) Pendapatan hendaklah dibawa masuk / diremit dalam tempoh PKPP;

(e) Pembayar cukai perlu membuat pengisytiharan untuk menyertai PKPP selewat-lewatnya 30 hari selepas tamat tempoh PKPP;

(f) Bayaran cukai hendaklah dibuat mengikut aturan pembayaran biasa yang telah ditetapkan bagi tahun taksiran 2022 atau 2023, yang mana berkenaan; dan

(g) PKPP tidak melibatkan pendapatan yang terbit dari Malaysia yang tertakluk kepada cukai bagi tahun taksiran 2021 dan tahun-tahun taksiran seterusnya dan diremit atau dibawa balik dalam tempoh PKPP.

Selepas tamat tempoh tersebut, pihak HASiL akan menyemak dan meneliti maklumat-maklumat pendapatan pemastautin Malaysia yang disimpan di luar negara yang telah diterima melalui perjanjian pertukaran maklumat percukaian dengan negara-negara lain.

Sekiranya berdasarkan semakan, didapati pendapatan yang disimpan di luar negara yang berpunca dari Malaysia masih belum dilaporkan, taksiran tambahan boleh dibangkitkan berserta dengan penalti selaras dengan peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sehubungan itu, pihak HASiL menggalakkan pembayar cukai untuk menyertai program khas yang ditawarkan ini bagi mengemas kini kedudukan cukai mereka. Pihak HASiL akan mengeluarkan soalan lazim serta garis panduan berkaitan PKPP ini kepada umum yang boleh diperolehi di Portal Rasmi HASiL.

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Tarikh: 16 November 2021

SUMBER : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Tel: 03-8313 8888
Faks : 03-8313 7873
Hasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.