iProperty.com.my Dedah 10 Kawasan Di Malaysia Dengan Jumlah Carian Tertinggi Oleh Pembeli Rumah Pada 2021

iProperty.com.my telah mengeluarkan senarai 10 kawasan di Malaysia dengan jumlah carian tertinggi oleh rakyat Malaysia yang sedang mencari hartanah kediaman. Kawasan-kawasan ini mencatatkan jumlah carian tertinggi oleh para pengunjung yang melayari senarai hartanah “Untuk Dijual” di iProperty.com.my dari Januari hingga November 2021. Terma carian ini ditakrifkan sebagai seseorang pengguna melakukan carian untuk sesuatu hartanah di sesebuah lokasi dan tiba di halaman hasil carian iProperty.com.my. 10 kawasan ini disusun secara menaik dan jumlah carian ditunjukkan dalam peratusan (%).

Salah satu tema utama 2021 ialah keyakinan dalam pasaran hartanah di Malaysia yang kian meningkat sementara negara kita berusaha untuk beralih kepada fasa endemik. Pengurus Negara Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Shylendra Nathan mengulas, “Kini apabila orang ramai sudah dapat menerima hakikat untuk hidup bersama-sama dengan pandemik COVID-19, lebih ramai pemburu hartanah berminat untuk mengambil kesempatan daripada kadar faedah rendah pinjaman perumahan yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia. Secara keseluruhannya, sentimen pengguna semakin bertambah baik pada separuh kedua 2021 dan kami berharap ianya akan berterusan pada tahun hadapan memandangkan ekonomi negara semakin pulih.”

Berikut adalah kawasan-kawasan yang berjaya memasuki senarai tahun ini:

10. Cyberjaya 

Peratusan carian: 6.67%

Cyberjaya sememangnya sinonim dengan Koridor Raya Multimedia (MSC). Dalam soal bangunan berstatus MSC, Cyberjaya sememangnya tiada tandingannya. Bangunan berstatus MSC membenarkan pengambilan pekerja berpengetahuan dari kalangan warga tempatan dan asing tanpa had. Prima, Century Square, Enterprise Building, Quil, SME Technopreneur Centre dan Emerio adalah sebahagian daripada senarai panjang syarikat-syarikat  antarabangsa yang mempunyai anak syarikat berpangkalan di Cyberjaya.

Terdapat hikmah di sebalik penularan pandemik COVID-19 dan ianya adalah penggunaan teknologi yang lebih meluas. Pertumbuhan bilangan syarikat pemula atau start-up di Cyberjaya dan kawasan sekitarnya serta peningkatan minat pencari hartanah telah membolehkan Cyberjaya memasuki senarai ini pada 2021. Ia menunjukkan pertimbangan orang ramai untuk berhijrah ke Cyberjaya bagi mencari peluang pekerjaan dan para pelabur juga berminat untuk memanfaatkan potensi ledakan pasaran sewa untuk golongan ekspatriat.  

9. Ampang

Peratusan carian: 6.77%

Walaupun jatuh tiga anak tangga berbanding tahun lalu, Ampang kekal popular di kalangan pemburu hartanah. Ampang terletak bersebelahan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, ia menjadi alternatif terbaik untuk mereka yang mencari suasana meriah di waktu malam di bandar raya  dan kemudiannya kembali ke kawasan kediaman yang sunyi.

Walaupun pada umumnya agak murah berbanding Kuala Lumpur, Ampang terkenal dengan pelbagai pembangunan kediaman mewah dengan harga mencecah RM720 hingga RM750 setiap kaki persegi, kira-kira RM300 lebih murah berbanding Pusat Bandaraya Kuala Lumpur. Ampang turut menempatkan sejumlah pembangunan mewah berpagar dan dikawal (gated and guarded) seperti Laman Oakleaf, Taman Andaman Ukay dan Taman Saujana.

8. Kota Damansara

Peratusan carian: 7.05%

Kota Damansara mencatatkan prestasi lebih baik pada 2021 berbanding tahun lalu dengan pendakian yang membanggakan daripada tangga ke-10 kepada tangga ke-8. Salah satu faktor pendorong ialah penyempurnaan hab e-dagang Malaysia yang pertama EmHub. Ruang seluas 669,000 kaki persegi hab itu jelas sekali telah menarik perhatian para pelabur yang menjangkakan terdapat peningkatan permintaan rumah daripada para pekerja yang bakal bekerja di kawasan itu. 

Para pembeli dan pelabur rumah juga sedang memerhatikan beberapa pembangunan kediaman akan datang di Kota Damansara seperti The Estana dan sebuah pembangunan bercampur oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

7. Pusat Bandaraya Kuala Lumpur

Peratusan carian: 7.62%

Membuat kemunculan semula sejak 2018, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur layak memasuki senarai tahun ini  setelah mencatatkan 7.62% carian di iProperty.com.my. Pusat Bandaraya Kuala Lumpur merupakan kawasan yang istimewa kerana ia menempatkan Menara Berkembar Petronas yang ikonik dikelilingi oleh sejumlah pangsapuri perkhidmatan mewah seperti The Grid, 6 Stonor, The Binjai, One Stonor, The Oval, Desa Kudalari, Binjai 8 dan Le Nouvel KLCC. Harga sewa untuk unit-unit tersebut boleh mencecah sehingga RM15,000 sebulan.

Banyak lagi projek mewah yang telah memasuki pasaran  baru-baru ini, termasuklah Ascott Star KLCC dan Eaton Residences. Harga setiap kaki persegi kediaman mewah di Bandaraya Kuala Lumpur telah merosot sedikit daripada RM1,005 – RM1,056 pada 2020 kepada RM1,000 – RM1,040 pada 2021, ini mungkin menjadi punca kemunculannya di dalam senarai ini. Memandangkan ketika ini pelbagai sektor perniagaan telah kembali dibuka, minat terhadap kediaman mewah di lokasi strategik di ibu kota  turut meningkat secara beransur-ansur.

6. Subang Jaya

Peratusan carian: 9.07%

Subang Jaya pernah menduduki senarai ini pada 2018 dan 2019, tetapi tidak pada 2020. Meraih 9.07% jumlah carian, kawasan pinggir bandar ini telah memikat semula hati para pemilik rumah dan pelabur. Subang Jaya menawarkan beraneka jenis hartanah, daripada komuniti berpagar dan dikawal hinggalah kepada bangunan tinggi dan unit SoHo. Ia juga berhampiran pusat membeli-belah ikonik seperti Sunway Pyramid, Empire Subang dan Subang Parade. 

Subang Jaya juga dikenali sebagai hab pendidikan tinggi kerana terdapat beberapa universiti dan kolej di kawasan tersebut seperti SEGi College, Inti International College dan Monash University. Oleh itu, Subang Jaya merupakan sebuah kawasan yang amat popular di kalangan pelajar dan golongan muda.

5. Puchong

Peratusan carian: 9.21%

Prestasi Puchong di dalam senarai 10 kawasan dengan jumlah carian tertinggi ini agak tidak menentu. Pada 2018, ia menduduki tangga kedua dan pada 2019, ia berada di tangga terakhir. Manakala, pada tahun lepas ia tidak termasuk dalam senarai.

Terdapat pelbagai pembangunan hartanah di Puchong yang dapat memenuhi semua peringkat pendapatan. Memetik data 2020 oleh brickz.my (laman sesawang yang memberikan data yang diperolehi daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta atau JPPH), sebuah rumah pangsapuri pegangan pajakan di suatu bahagian tertentu di Puchong telah dijual dengan harga RM40,000, manakala sebuah banglo pegangan pajakan telah dijual pada harga RM3.4 juta.

Ini hanyalah sebahagian kecil daripada  keadaan sebenar pasaran hartanah di kawasan perbandaran yang serba lengkap ini dan pemburu hartanah perlu membuat kajian yang lebih mendalam bagi mendapatkan pemahaman yang lebih baik.

4. Johor Bahru

Peratusan carian: 9.39%

Walaupun menjadi tumpuan pasaran hartanah di Malaysia dan menduduki tangga teratas senarai pada 2020, Johor Bahru (JB) kini jatuh ke tangga keempat pada 2021. Namun begitu, JB akan sentiasa berada di dalam radar pemburu hartanah kerana ia menawarkan pelbagai peluang daripada jutaan orang yang melintasi Tambak Johor setiap hari untuk bekerja, beriadah atau melancong di Singapura. Pada 2020, susulan pandemik dan penutupan sempadan dengan Singapura, pasaran hartanah JB telah mengalami sedikit kemerosotan. Menurut data suku ketiga 2021 daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Johor masih menghadapi masalah situasi rumah siap tidak terjual di mana 16,343 unit apartmen servis tidak terjual.

Walau bagaimanapun, permintaan untuk beberapa sektor hartanah kediaman masih mantap, berdasarkan kepada Analisis Permintaan Portal Separuh Pertama 2021 iProperty.com.my, terdapat minat yang ketara pada rumah bertanah luas (>2,000 kaki persegi) di Iskandar Puteri dengan harga sehingga RM1 juta.

3. Cheras

Peratusan carian: 14.56%

Cheras ialah sebuah kawasan kejiranan matang yang terkenal dengan restoran-restoran lama dan pusat membeli-belah baru seperti Sunway Velocity Mall, IKEA Cheras dan MyTOWN Shopping Centre, memberikan penduduknya daya tarikan seni bina lama dan kemodenan reka bentuk baru. Lebih menarik lagi ialah perjalanan untuk berulang-alik kini menjadi semakin mudah dengan adanya laluan MRT, di mana terdapat 11 perhentian MRT di dalam kawasan Cheras sahaja!

Dalam tempoh dua tahun yang lalu, terdapat 30 bangunan kediaman tinggi baru yang telah dibangunkan di Cheras. Walaupun kawasan itu sebelum ini terkenal dengan banyak taman perumahan dan hartanah bertanah yang kebanyakannya didiami oleh pasangan suami isteri dan keluarga, ia kini turut menjadi pilihan golongan profesional muda yang bekerja di bandar.

2. Shah Alam

Peratusan carian: 14.64%

Di tangga kedua ialah Shah Alam yang merupakan sebuah kawasan yang telah mengalami proses urbanisasi yang ketara dan pada masa sama masih mengekalkan keindahan alam semula jadi. Pembangunan di kawasan ini dilaksanakan dengan mematuhi Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) di mana seksyen 21B menyatakan bahawa cadangan pembangunan hendaklah memasukkan langkah-langkah untuk melindungi, memulihara dan menambahbaik persekitaran fizikal dan topografi semula jadi, tidak seperti beberapa lokasi lain di Lembah Klang yang memandang ringan perkara ini.

Shah Alam menawarkan pelbagai jenis hartanah kediaman, daripada kondominium tinggi hinggalah kepada hartanah bertanah oleh pemaju terkenal seperti Mah Sing Group Bhd, Sime Darby Bhd dan Gamuda Bhd. Rumah-rumah ini berdekatan dengan taman awam, tarikan tempatan serta sekolah-sekolah swasta dan universiti awam.

1. Petaling Jaya

Peratusan carian: 15.02%

Lebih dikenali dengan nama PJ di kalangan masyarakat tempatan, Petaling Jaya berjaya menduduki takhta senarai tahun ini. Ianya bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kerana PJ telah menunjukkan prestasi baik dalam tempoh beberapa tahun yang lalu. Ia menduduki tangga keenam pada 2019 dan kedua pada 2020.

PJ sememangnya popular di kalangan mereka yang berkeluarga kerana gaya hidup pinggir bandarnya, dengan pelbagai pilihan tempat makan, kafe hipster, taman keluarga, pusat membeli-belah dan sekolah di dalam kawasan kejiranan. Bandar ini turut mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia terletak bersebelahan dengan Kuala Lumpur, menjadikannya sebagai kawasan pilihan di kalangan pasangan muda yang bekerja di ibu kota juga.

Salah satu pembangunan akan datang yang perlu diberi perhatian ialah penambahbaikan jalinan pengangkutan awam PJ. Laluan LRT 3 yang dijadualkan siap pada 2024 akan memberikan PJ lima stesen LRT baru iaitu One Utama (MRT 1 Sungai-Buloh Kajang Line Interchange), Kayu Ara, BU11, Dataran Prima dan Kelana Indah.

PENAFIAN: Analisis yang dirakamkan di iProperty.com.my adalah berdasarkan kepada data yang terdapat pada tarikh  penerbitan dan mungkin tertakluk kepada semakan apabila terdapat data semasa yang lebih terkini. Para pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat bebas sebelum membuat sebarang pelaburan.

Mengenai iProperty.com.my

iProperty.com.my beribu pejabat di Kuala Lumpur dan mempunyai lebih 200 kakitangan.  iProperty.com.my adalah portal hartanah terkemuka dalam pasaran, menawarkan pengalaman carian dalam dua bahasa iaitu Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my turut menyediakan  penyelesaian untuk pengguna seperti LoanCare – petunjuk kelayakan pinjaman rumah, saluran Berita & Gaya Hidup – kandungan yang merangsang perjalanan pencarian hartanah pengguna, acara – menghubungkan pencari hartanah dengan ejen dan pemaju di luar talian, dan banyak lagi. Syarikat ini adalah sebahagian daripada  PropertyGuru Group, syarikat teknologi hartanah terkemuka di Asia Tenggara. 1 Untuk mendapatkan berita berkaitan iProperty.com.my, sila kunjungiwww.iproperty.com.my/newsroom dan terokai pelbagai maklumat terkini mengenai permintaan, trend, teknologi serta produk berkaitan hartanah dan banyak lagi.

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Lantik 3 ‘Otai’ Baharu Mantapkan Lembaga Pengarah

KUALA LUMPUR, 30 April 2026 – Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia”), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, pada 29 April 2026 telah mengumumkan pelantikan Datuk Shazril Imri bin Mokhtar dan Datuk Abdul Halim bin Hamzah sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, serta Encik Mano A/L Verabathran sebagai Pengarah Ganti kepada Datuk Abdul Halim bin Hamzah, berkuat kuasa mulai 1 Mei 2026.

Pelantikan ini mencerminkan komitmen Pos Malaysia untuk memperkukuh komposisi Lembaga Pengarah dengan kepimpinan berpengalaman dalam bidang telekomunikasi, perkhidmatan awam dan transformasi, selaras dengan aspirasi transformasi berterusan Kumpulan.

Datuk Shazril Imri bin Mokhtar membawa lebih 28 tahun pengalaman dalam telekomunikasi, strategi dan transformasi perniagaan, dengan rekod kukuh dalam menerajui perubahan organisasi berskala besar serta pengurusan perniagaan berorientasikan keuntungan. Beliau sebelum ini merupakan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, di mana beliau memimpin agenda transformasi syarikat, memperkukuh prestasi kewangan, keanjalan organisasi serta inisiatif berfokuskan pelanggan. Sepanjang kerjayanya, beliau turut memegang pelbagai jawatan kepimpinan utama termasuk Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif unifi, serta peranan strategik lain dalam pengurusan prestasi dan strategi.

Datuk Abdul Halim bin Hamzah pula membawa hampir tiga dekad pengalaman cemerlang dalam sektor awam, dengan kepakaran mendalam dalam tadbir urus, dasar serta pentadbiran di peringkat nasional. Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, jawatan yang disandang sejak 24 November 2025. Sebelum ini, beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) di Jabatan Perdana Menteri. Pengalaman luas beliau merentasi pelbagai agensi kerajaan akan memperkukuh perspektif Lembaga dalam aspek pematuhan regulatori, keutamaan nasional dan penglibatan pemegang taruh.

Encik Mano A/L Verabathran, yang kembali sebagai Pengarah Ganti, mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, dengan kepakaran dalam infrastruktur telekomunikasi, penyelarasan antara agensi serta dasar strategik. Beliau kini memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) di Kementerian Komunikasi. Antara jawatan terdahulu beliau termasuk Setiausaha Bahagian (Bahagian Antarabangsa), Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Perdana Menteri, serta Timbalan Setiausaha Bahagian di Kementerian Pengangkutan. Pelantikan beliau turut menyumbang kepada kesinambungan dan pemahaman institusi, memandangkan pengalaman beliau sebelum ini bersama Lembaga Pos Malaysia.

Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan Pos Malaysia dalam membina organisasi yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan, sejajar dengan tujuan kami untuk membina kepercayaan untuk menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang.