Pelaburan: Nak Belajar Sendiri Atau Pergi Kursus?

Terdapat pelbagai instrumen pelaburan di Malaysia seperti pelaburan saham di Bursa Malaysia, Futures Crude Palm Oil (FCPO) di Bursa Malaysia Derivatives, Unit Trust, ASB, Wahed Invest dan pelbagai lagi instrumen yang lain.

Persoalannya, bagaimana cara belajar yang sesuai untuk orang yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dengan pelaburan? Adakah belajar secara kendiri atau berguru dengan sifu saham? Di sini, kami akan kongsikan perbezaan belajar secara kendiri dan mengikut kursus pelaburan.

Pembelajaran Secara Kendiri

Bolehkah seorang trader baharu atau newbie belajar melabur secara kendiri? Jawapannya adalah boleh. Seseorang itu boleh sahaja belajar secara kendiri kerana terlalu banyak informasi yang boleh didapati secara percuma melalui media sosial seperti Facebook, Youtube, Google dan lain-lain. Pelabur juga boleh belajar dengan pembacaan buku fizikal atau e-book untuk mempelajari pelaburan.

Antara cadangan lain untuk seorang pelabur belajar secara kendiri adalah pelabur semestinya bijak dan tidak sewenang-wenangnya  mengikut buy call daripada kawan-kawan atau ‘sifu’ saham. Pelabur tersebut mestilah membuat kajian sendiri tentang sesuatu saham atau instrumen yang ingin dimasuki olehnya.

Satu lagi tips bagi pelabur yang belajar secara kendiri adalah tidak menggunakan wang sebenar untuk membeli saham atau instrumen pada permulaan melabur. Sebaiknya melabur menggunakan wang olok-olok sebagai permulaan untuk tidak terdedahkan diri daripada risiko kehilangan duit modal daripada kesilapan melabur dalam saham atau instrumen lain.

Walaupun pembelajaran secara kendiri tidak perlu mengeluarkan kos, ia mengambil masa yang lama untuk seseorang itu mahir dalam pelaburan. Jika anda ingin mahir dalam bidang pelaburan dengan cepat, tidak ada cara yang lebih baik selain daripada mengikuti kursus atau kelas pelaburan. Ini akan menyelamatkan anda daripada melakukan banyak kesilapan dalam pelaburan.

Bahkan itu, dengan mengenali metodologi dan kefahaman yang kukuh tentang pelaburan, anda dapat menjimatkan lebih banyak wang dalam jangka panjang melebihi daripada kos kursus pelaburan yang anda bayar untuk menyertai kursus pelaburan. Oleh itu, anda tidak seharusnya melihat kos itu sebagai perbelanjaan tetapi sebagai satu pelaburan.

Pembelajaran Melalui Kursus Pelaburan

Terdapat banyak perkara yang anda boleh dapat dari kursus pelaburan. Pertama sekali, kursus dan bengkel pelaburan semestinya akan dikendalikan oleh pelabur-pelabur yang telah lama menceburkan diri dan mahir dalam bidang pelaburan. Ini akan memberi peluang kepada pelabur baru untuk berhubung secara terus dengan mereka yang pakar untuk bertanyakan soalan tentang pelaburan.

Pelabur mahir akan sentiasa memberikan anda pengetahuan mendalam tentang pelaburan kerana mereka dianggap pakar dalam bidang pelaburan. Ini adalah kelebihan belajar melalui kursus pelaburan yang tidak ada pada pembelajaran sendiri atau pembelajaran melalui Internet.

Selain itu, kursus pelaburan membolehkan pelabur baru mendapatkan alatan dan bahan pembelajaran dengan cepat dan mudah daripada mencari satu per satu bahan di Internet. Kebiasaannya, peralatan pelaburan telah disediakan bagi mereka yang menyertai kursus seperti perisian pelaburan, manual, bahan rujukan dan sebagainya. Ini akan membantu pelabur baru untuk berlatih secara langsung dengan alatan yang sedia ada.

Kursus pelaburan juga akan menjimatkan kos anda buat jangka masa panjang. Jurulatih profesional akan mengenakan bayaran untuk menyertai kursus yang dianjurkan bagi membantu dalam melabur, jadi pembayaran yuran hanya perlu dilakukan sekali sahaja untuk pendapatan seumur hidup.

Bagi mereka yang belajar sendiri, pengeluaran kos adalah berkali-kali kerana mereka perlu menjalani proses “trial and error” dalam memilih strategi yang betul. Ramai orang yang memilih untuk mendapat kerugian dalam pelaburan tetapi tidak mahu untuk membayar yuran untuk belajar melabur dengan mereka yang mahir dalam pelaburan.

Tidak ada jawapan yang betul dan salah dalam cara belajar melabur. Ia adalah persepsi dan pilihan individu itu sendiri sama ada untuk meneruskan pembelajaran kendiri atau menghadiri kelas pelaburan. Anda sememangnya boleh melakukan pembelajaran secara kendiri tetapi ia mungkin memerlukan anda bekerja keras selama bertahun-tahun untuk mahir dalam pelaburan.

Penulis boleh dihubungi di:

Muhammad Mujahid bin Haron ([email protected])
Ahmad Akma Razin Bin Ahmad Daud ([email protected])
Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi Dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

RUJUKAN:

  1. S. (2021, November 30). Can You Learn to Trade by Yourself Without a Course? (With Steps). THE ROBUST TRADER. https://therobusttrader.com/learn-to-trade/
  2. A. (2019, January 2). How to learn trading in stock market? Self-learning vs learning from professional –. Sway Charts. https://swaycharts.com/how-to-learn-trading-in-stock-market-self-learning-vs-learning-from-professional/

Previous ArticleNext Article

Bagaimana Caranya Untuk Tidak Terciduk Dalam Unit Trust?

Pelaburan Unit Trust adalah sah sebagai medium pelaburan kerana Syarikat Pengurusan Unit Trust dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Dapatkan senarai syarikat dan dana di laman web SC.

Adakah anda percaya bahawa pelaburan dalam Unit Trust mampu memberikan kadar keuntungan yang tinggi?

Jika jawapan anda YA, anda perlu mengambil langkah yang lebih berhati-hati. Tidak semua dana daripada unit trust mampu memberikan pulangan yang tinggi. Ada sesetengahnya yang telah melabur bertahun-tahun tetapi masih belum nampak sinarnya.

Hari ini, pasaran Unit Trust di Malaysia sangat luas.
Ada lebih kurang 40 syarikat pengurusan dana dan ratusan dana yang ditawarkan kepada pelabur.

Setiap dana mempunyai:

  • fokus pelaburan yang berbeza,
  • tahap risiko yang berbeza,
  • strategi pengurusan yang berbeza dan kos yang berbeza.

Contohnya, ada dana yang fokus dalam Malaysia, ada yang melabur dalam pasaran global.
Ada yang agresif, ada yang konservatif.
Ada yang patuh syariah, ada yang konvensional.

Pendek kata:

Dana tak sama. Pengurus dana tak sama. Prestasi pun mestilah tak sama.

3 Sebab Kenapa Ramai Masuk Melabur Dalam Unit Trust.

1. Consultant tu kakak cantik atau abang sado
2. Terpesona dengan janji % % % %
3. Tak perlu keluar cash, ada pilihan untuk guna duit KWSP

Jangan marah, kami gurau saja.

Tapi rasanya sebab #3 tu paling kuat.

Bagaimana caranya untuk anda tidak terciduk teruk dalam pelaburan Unit Trust?

1. Fahami Konsep Unit Trust

Sebelum anda mengambil tindakan untuk melabur dalam Unit Trust, pastikan anda telah fahami segala konsepnya. Baca lagi Apa Itu Unit Trust.

Dalam Unit Trust, kita melabur dalam bentuk unit, dan harga unit ini tidak tetap, ada masa turun, ada masa naik. Jadi, kalau naik, untunglah, kalau turun, rugilah.

Maka fahamlah kita bahawa Unit Trust juga terdedah dengan kerugian.

“Dekat mana Unit Trust tu laburkan duit kita?”

Contoh : Apabila kita kita beli dana Unit Trust yang berasaskan ekuiti, sebenarnya duit kita dilaburkan ke dalam pasaran saham (Bursa Malaysia atau pasaran saham global). Cuma yang tolong jual beli saham tu adalah Fund Manager yang dilantik oleh Syarikat Pengurusan Unit Amanah (Unit Trust Management Company, UTMC).

Baca juga 4 Tanda Seorang Pengurus Dana (Fund Manager) Yang Hebat

Mindset nak untung besar dan cepat ini akan buat anda kecewa dengan Unit Trust. Meskipun ada dana yang YTD dah cecah lebih 20%, tak semestinya dana lain mempunyai prestasi yang sama.

2. Fahami Caj-Caj Terlibat

Semua pelaburan di Malaysia ada caj-caj yang perlu dibayar. Baik saham, hartanah, mahu pun Unit Trust. Caj-caj ini akan digunakan untuk membiayai kos-kos operasi pelaburan.

Secara asasnya caj-caj ini dalam pelaburan unit amanah ni boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu caj yang dikenakan secara langsung dan caj yang dikenakan secara tidak langsung. Contoh caj langsung adalah:

  • Caj belian (Sales Charge)
  • Caj penjualan (Redemption/Exit Charge)
  • Caj pertukaran dana (Switching Charge)
  • Caj pengurusan tahunan (Management Fee) dan caj prestasi jika ada

Baca juga 6 Caj Berbeza Yang Terdapat Dalam Unit Trust

3. Survey Beberapa Dana Daripada Syarikat Berbeza

Apabila anda telah fahami konsep Unit Trust, anda boleh terus memulakan langkah yang seterusnya dengan survey dana-dana yang ada.

Terdapat banyak senarai dana yang pelbagai jenis. Ianya bergantung kepada risiko yang rendah, risiko pertengahan dan juga risiko yang tinggi. Paling penting, pilih dana yang PATUH SYARIAH.

Kunci kejayaan dalam pelaburan ialah asset allocation dan fund management. Kalau modal lebihan kita banyak, pecahkan mengikut syarikat, kelas aset, market cap dan geografi. Tetapi jangan pula semuanya dana Malaysia market. letaklah dalam dana global sikit (China, USA).

4. Baca Dokumen – Fact Sheet & Laporan Prestasi

Hari ini anda perlu jadi “pelabur pintar” bukan hanya ikut nasihat ejen: Pastikan fund manager menyatakan visi, strategi, dan risiko supaya anda tahu apa yang anda beli.

Baca Fund Fact Sheet: jenis aset, negara, sektor, risk rating. Semak prestasi 1 tahun, 3 tahun, 5 tahun dan banding dengan kategori sepadan (benchmark).

Dalam pelaburan Unit Trust, sama macam saham, tiada apa yang pasti. Prestasi semasa tidak menjamin prestasi pada masa akan datang. Namun begitu, jangan membabi buta memilih dana, dapatkan juga past performance data – berapakah pulangan sepanjang 3 / 5 / 10 tahun lepas.

Selalunya ramai akan percaya saja cakap ejen tetapi tak buat homework sendiri.

5. Padankan Matlamat Dengan Dana

Pelaburan anda harus selari dengan matlamat dan tempoh masa anda:

  • Jika anda perlukan akses dalam 1-2 tahun → pilih risiko rendah, mungkin dana bon atau seimbang.
  • Jika anda belanja untuk 10-20 tahun → boleh ambil risiko tinggi, dana ekuiti atau dana global.

Dalam pelaburan, tiada tempoh masa jangka pendek jika anda ingin lihat kadar keuntungannya. Ini kerana, pelaburan sentiasa ada turun dan naiknya. Pertimbangkan juga “Dollar-Cost Averaging” (DCA) iaitu melabur secara konsisten bulanan supaya tidak terlalu terdedah kepada pilihan masa yang salah.

6. Timing

Bila sudah jumpa dana yang nampak bagus, anda kena tahu juga bila masa paling sesuai nak masuk melabur. Logiknya waktu harga murah paling sesuai. Kalau harga unit dah tinggi boleh labur juga ke? Boleh, tapi lambat sikitlah nak untungnya.

“Memilih dana unit amanah bukan semata-mata ikut ejen, tetapi faham konsep, faham kos, faham matlamat dan buat kajian sendiri.”

Pelaburan unit trust boleh jadi salah satu batu loncatan ke arah kekayaan, tetapi bukan tiket pantas untuk kaya secara sekelip mata. Dengan pendekatan yang tepat, anda boleh melabur dengan lebih yakin, mengelak “terciduk” dan berpotensi mengejar pulangan yang sihat dalam jangka panjang.

7. Ejen Yang Bagus

Ejen yang bagus akan banyak bertanya, bukan banyak menjual. Soalan-saolan yang patut dia tanya:

  • Berapa umur?
  • Ada komitmen apa?
  • Tujuan pelaburan ni untuk apa?
  • Matlamat kewangan ni untuk siapa? (Diri sendiri, anak, ibu bapa)
  • Anggaran jumlah sasaran? (contoh: nak kumpul RM30,000 dalam 5 tahun)
  • Ada keperluan tertentu? (contoh: anak masuk universiti)
  • Tempoh pelaburan berapa lama?
  • Toleransi risiko macam mana?
  • Dah ada emergency fund belum?
  • Berapa kerap anda nak review portfolio? (3 bulan / 6 bulan / setahun)

Kalau dia terus cakap: “Bang pilih dana ni, memang confirm naik ni…” Baik cabut lari.
Itu bukan penasihat. Itu salesman.

Buat ujian ringkas (nak tahu ejen tu betul-betul faham atau tidak):

Tanya dia:

“Siapa Top 10 holdings dana ni?”
“Dana ni fokus sektor apa?”

Kalau dia blur dan jawab:

“Saya check sekejap ya…”

Tu tandanya ejen cuma hafal skrip. Bukan faham pun pasal dana tu.

Ramai orang cari unit trust terbaik sebab nak pilih yang memberikan pulangan baik, stabil, patuh syariah dan sesuai dengan matlamat hidup masing-masing. Tapi realitinya, tiada satu dana yang terbaik untuk semua orang. Yang ada ialah dana yang paling sesuai dengan profil risiko dan objektif anda.

Berikut merupakan senarai Syarikat Pengurusan Dana/Unit Trust yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysiasetakat 31 Ogos 2025:

Senarai Syarikat Pengurusan Unit Trust di Malaysia

  1. Abrdn Islamic Malaysia Sdn. Bhd.
  2. AHAM Asset Management Berhad
  3. AIIMAN Asset Management Sdn. Bhd.
  4. Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)
  5. Amanah Saham Sarawak Berhad
  6. AmanahRaya Investment Management Sdn. Bhd.
  7. AmFunds Management Berhad
  8. Areca Capital Sdn. Bhd.
  9. Astute Fund Management Berhad (dahulu Apex Investment Services)
  10. BIMB Investment Management Berhad
  11. BOS Wealth Management Malaysia Berhad
  12. Berjaya Mutual Sdn. Bhd. (dahulu Inter-Pacific Asset Management)
  13. Eastspring Investments Berhad
  14. Eq8 Capital Sdn. Bhd.* (dahulu i-VCAP Management)
  15. Franklin Templeton GSC Asset Management Sdn. Bhd.
  16. Hong Leong Asset Management Berhad
  17. KAF Investment Funds Berhad
  18. Kedah Islamic Asset Management Berhad
  19. Kenanga Investors Berhad
  20. Manulife Investment Management (M) Berhad
  21. Maybank Asset Management Sdn. Bhd.
  22. MIDF Amanah Asset Management Berhad
  23. Muamalat Invest Sdn. Bhd.
  24. Nomura Asset Management Malaysia Sdn. Bhd.
  25. Opus Asset Management Sdn. Bhd.
  26. Pengurusan KUMIPA Berhad
  27. Permodalan BSN Berhad
  28. PHB Asset Management Berhad
  29. Pheim Unit Trusts Berhad
  30. Phillip Mutual Berhad
  31. PMB Investment Berhad
  32. Principal Asset Management Berhad
  33. PTB Unit Trust Berhad
  34. Public Mutual Berhad
  35. RHB Asset Management Sdn. Bhd.
  36. RHB Islamic International Asset Management Berhad
  37. Saham Sabah Berhad
  38. Saturna Sdn. Bhd.
  39. TA Investment Management Berhad
  40. UOB Asset Management (Malaysia) Berhad
  41. M & A Value Partners Asset Management Malaysia Sdn. Bhd.*

* Nota: entiti bertanda asterisk dalam dokumen SC ditanda “currently managing exchange-traded funds (ETF) only.”