BOH Terima Pengiktirafan Jenama Terbaik 2021-2022 Di World Branding Awards

BOH Plantations Sdn Bhd (BOH), penanam teh terkemuka dan jenama teh pilihan di Malaysia, telah dinamakan sebagai Jenama Terbaik 2021-2022 bagi kategori Teh di World Branding Awards, anugerah berprestij yang berpangkalan di London.

Dikenali sebagai satu penganugerahan global yang unggul, World Branding Awards memberi pengiktirafan kepada jenama-jenama terbaik dunia atas usaha dan pencapaian mereka. Pemenang anugerah dinilai berdasarkan penilaian jenama, pengundian pengguna dalam talian dan penyelidikan pasaran. 

Bagi BOH, kemenangan ini adalah sumbangan peminat-peminat teh BOH “yang  menginspirasikan jenama itu untuk terus berkongsi pengalaman Ummph dengan secawan teh BOH yang lazat. Ada BOH, Ada Ummph adalah satu frasa yang sinonim dengan teh BOH dan menggambarkan koleksi tehnya yang tersendiri dengan rasa yang menyerlah dan penuh aroma,” kata Aina Ramly, Timbalan Ketua Pemasaran, BOH Plantations.

Legasi Teh Malaysia 

Legasi BOH bermula pada tahun 1929 apabila J.A. Russell, seorang usahawan berpandangan jauh, menyedari adanya permintaan terhadap teh berkualiti tinggi. Beliau terus mendapatkan sebidang tanah yang terletak 1,500 meter dari aras laut di Cameron Highlands, yang juga merupakan antara kawasan pertanian yang paling subur di negara ini. Di situ, beliau telah mewujudkan taman teh BOH yang pertama, dan sejak itu, segalanya menjadi satu sejarah.

Kini, setelah lebih 90 tahun berlalu, keluarga Russell meneruskan visi beliau.

Merupakan antara beberapa syarikat di dunia yang menanam, memproses, membungkus dan memasarkan sendiri jenama teh tanah tinggi tulen, BOH menyediakan teh segar ‘daripada pokok teh ke cawan’ dan telah menerima pelbagai pengiktirafan industri untuk standard tertinggi dalam kualiti produknya.

BOH memiliki 1,200 hektar kebun teh dan menghasilkan lebih 4.5 juta kilogram teh setiap tahun atau 5.5 juta cawan teh setiap hari. Dengan peredaran masa, BOH telah mempelbagaikan pilihan teh, daripada satu kebun teh tunggal kepada gabungan istimewa, untuk memenuhi pilihan dan cita rasa berbeza rakyat Malaysia dan peminat-peminat teh di seluruh dunia.

Pilihan terbaik BOH termasuk Cameronian Gold Blend, Garden Teas, Malay Herbs, Seri Songket dan Spa Infusions. Kebanyakan koleksi ini juga telah dipek khas, sesuai sebagai hadiah unik. Selain daripada teh hitam BOH yang terkenal, ia juga menyediakan teh berperisa, teh hijau, teh herba dan buah-buahan, campuran teh segera, campuran teh ais dan teh daripada sumber kebun tunggal.

Antara pilihan lazat teh BOH

Satu Pengamalan Deria 

Di Sungei Palas, Cameron Highlands, BOH menawarkan pengalaman deria ‘penemuan teh’ yang benar-benar unik menerusi Pusat Teh BOH.  Sebuah destinasi terkemuka yang menerima pelbagai pengiktirafan, Pusat Teh ini sering menjadi pilihan pengembara tempatan dan antarabangsa. Di sini, para pengunjung boleh menikmati pengalaman menenangkan ketika duduk di teres-teres dengan panorama ladang teh yang terbentang luas sambil menghirup secawan segar teh BOH dalam suasana dingin. Selain itu, pengunjung juga boleh melawati Kedai BOH untuk membeli pulang teh BOH kegemaran mereka.

Dikenali sebagai Home of BOH, Pusat Teh BOH telah diubah suai dua tahun lalu dengan tambahan sayap baharu yang dikenali sebagai Tristan’s Terrace sebagai menghargai jasa bekas Pengerusi BOH yang paling lama berkhidmat. Menerusi penambahan ini, Pusat Teh ini mampu menerima lebih ramai pengunjung serta menyediakan lebih banyak kemudahan yang berhadapan dengan keindahan panorama ladang-ladang teh BOH. Pada masa sama, tarikan ini juga dapat menyokong initiatif pelancongan Cameron Highlands. 

Pusat Teh BOH yang memenangi anugerah merupakan antara destinasi tumpuan pelancong tempatan dan asing di Cameron Highlands

Mengembalikan Jasa Khazanah Alam 

“Sebagai pengeluar teh, BOH sedar bahawa kehidupan dan kelangsungan perniagaan kami bergantung pada tanah subur dan cuaca dingin Cameron Highlands yang amat sesuai untuk penanaman teh. Oleh demikian, kemampanan teguh menjadi nilai teras perniagaan kami. BOH sentiasa berusaha melaksanakan amalan perniagaan yang bersifat mesra alam dan memastikan pembungkusan teh kami menggunakan lebih banyak bahan yang boleh dikitar semula dan dibiodegrasikan untuk mengurangkan sisa dan memelihara alam sekitar. BOH proaktif mengubah pembungkusan kami kepada penggunaan kotak boleh dikoyak bagi menyingkir penggunaan pembalut plastik. Uncang teh kami juga dibuat daripada bahan boleh dikitar semula,” tambah Aina.

Program-program Tanggungjawab Korporat BOH juga melibatkan sokongan terhadap pemeliharaan alam sekitar dan haiwan. Ia telah menjalin kerjasama dengan beberapa organisasi dan badan bukan kerajaan seperti Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC), Global Environment Centre (GEC), WWF-Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk menyokong inisiatif kelestarian dan menggalakkan masyarakat umum untuk meningkatkan usaha pemeliharaan alam dalam komuniti.

Bagi menyokong usaha kesenian, BOH telah menjadi penaja utama BOH Cameronian Arts Awards sejak diwujudkan pada tahun 2002.

BOH – Dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar

Untuk maklumat lanjut mengenai BOH, layari laman www.bohtea.com suka laman Facebook BOH dan ikuti Instagram BOH.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.