KWSP Raih RM48.02 Bilion Pendapatan Pelaburan Kasar Bagi 9 Bulan Pertama 2021

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan RM48.02 bilion pendapatan pelaburan kasar untuk sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2021 (9B 2021), meningkat sebanyak 7.7%, atau RM3.42 bilion, berbanding RM44.60 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2020.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar untuk suku tahun ketiga berakhir 30 September 2021 (S3 2021) mencecah RM13.97 bilion, lebih rendah daripada RM17.33 bilion yang direkodkan pada suku tahun yang sama 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Pasaran ekuiti domestik dan pasaran baru muncul dalam suku tahun ketiga 2021 adalah tidak menentu, sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh kerisauan sekitar peningkatan kadar inflasi dan faedah. Pada masa yang sama, pemulihan berterusan ekuiti dalam ekonomi membangun di sebalik suasana yang tidak menentu telah menyediakan peluang kepada KWSP untuk memanfaatkan keuntungan tambahan.”

Ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak 54% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada RM7.50 bilion. Sebagai sebahagian daripada polisi dalaman dan langkah berhemah bagi memastikan kemantapan portfolio KWSP, sebanyak RM0.11 bilion turun nilai kos untuk ekuiti tersenarai telah dicatatkan dalam suku tahun ketiga, berbanding RM0.13 bilion pada suku tahun sama pada tahun lepas. Setelah mengambil kira turun nilai kos, sebanyak RM13.86 bilion pendapatan pelaburan bersih telah direkodkan pada S3 2021.

Secara kumulatif, sebanyak RM0.35 bilion telah diturun nilai untuk ekuiti tersenarai, lebih rendah daripada RM6.46 bilion untuk tempoh yang sama pada 2020, di sebalik pemulihan berterusan dalam pasaran ekuiti global, seterusnya menjadikan pendapatan pelaburan bersih RM47.67 bilion pada 9B 2021, berbanding RM38.14 bilion untuk 9B 2020.

Pelaburan dalam pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM5.00 bilion, atau 36% kepada pendapatan pelaburan kasar semasa S3 2021, iaitu lebih rendah berbanding RM8.18 bilion yang dijana pada S3 2020, berikutan keuntungan dagangan yang lebih rendah. Ini adalah selari dengan hasil pasaran yang lebih tinggi pada S3 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Datuk Seri Amir Hamzah menerangkan bahawa “tekanan inflasi yang berterusan dan peralihan agresif daripada bank pusat telah mendorong peningkatan hasil dalam suku tahun ketiga, lanjutan daripada jangkaan bahawa dasar monetari akan diketatkan. Suasana kenaikan kadar pulangan bon bukan sahaja telah memberi impak kepada pasaran bon, ia juga telah memberi kesan ke atas ekuiti”.

Hartanah dan Infrastruktur, serta instrumen pasaran wang, masing-masing menyumbang RM1.18 bilion dan RM0.29 bilion.

Setakat September 2021, aset pelaburan KWSP adalah pada RM988.55 bilion, di mana 36% telah dilaburkan ke dalam pelaburan luar negara. Kepelbagaian KWSP ke dalam kelas aset, pasaran dan mata wang yang berlainan, terus memberikan kestabilan pendapatan dan menambah nilai kepada keseluruhan pendapatan KWSP. Pada S3 2021, pelaburan luar negara telah menjana pendapatan sebanyak RM8.10 bilion, yang merangkumi 58% daripada keseluruhan pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.

Sejumlah RM1.40 bilion daripada RM13.97 bilion pendapatan pelaburan kasar telah dijana untuk Simpanan Shariah, dan RM12.57 bilion untuk Simpanan Konvensional. Simpanan Shariah memperolehi pendapatannya hanya daripada bahagian portfolio Shariah, manakala pendapatan untuk Simpanan Konvensional adalah daripada kedua-dua portfolio Shariah dan konvensional.

Tinjauan sepanjang tahun ini

Usaha pemulihan pasca pandemik terus berkembang pada kadar yang perlahan, walaupun kebimbangan sekitar polisi monetari dan inflasi masih kekal. Risiko kepada perkembangan ekonomi Malaysia dilihat lebih cenderung kepada penurunan pada faktor luaran dan dalaman berikutan keresahan COVID-19 yang masih berterusan.

“Kewujudan varian baru virus COVID-19 yang kalis vaksin merupakan salah satu daripada risiko utama yang boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasaran. Kebimbangan terhadap pengetatan polisi monetari akan terus menyebabkan ketidakpastian dan ketidaktentuan pada kedua-dua pasaran ekuiti dan bo n,” kata Datuk Seri Amir Hamzah.

“Walaupun dalam suasana yang mencabar dan tidak dijangka, KWSP mengharapkan sentimen pasaran akan bertambah baik pada masa hadapan yang terdekat. Sebagai dana jangka panjang, kami menangani ketidaktentuan, di samping mengambil kesempatan daripada kemerosotan dalam penilaian aset yang pada asasnya kukuh.”

Datuk Seri Amir Hamzah menambah bahawa pembukaan semula ekonomi Malaysia dijangka dapat menyokong pemulihan beransur-ansur sehingga 2022, dan seiring dengan itu, KWSP akan merancakkan usaha untuk membantu ahli membina semula simpanan persaraan mereka serta melebarkan jaringan keselamatan sosial dengan bekerja lebih rapat dengan Kerajaan dan agensi yang terlibat.

“Salah satu daripada inisiatif utama bagi KWSP pada 2022 adalah untuk mengemaskini mandat kami agar ianya relevan kepada lebih ramai rakyat Malaysia dalam sektor tidak formal serta pekerja kontrak untuk perkhidmatan yang kini merangkumi majoriti tenaga kerja negara. Ini penting kerana kami ingin memastikan mereka mendapat akses kepada taraf hidup minimum, walaupun dalam suasana yang tidak dijangka.”

Prestasi S3 2021 KWSP
Portfolio% Aset dalam Jumlah Aset PelaburanPendapatan Pelaburan Kasar (RM bilion)% Pendapatan
Ekuiti437.5054
Instrumen Pendapatan Tetap*465.0036
Instrumen Pasaran Wang50.292
Hartanah dan Infrastruktur61.188
Total10013.97100

* Sumbangan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
11 Januari 2022

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI