Kumpulan UOB Mengambil Alih Perniagaan Pengguna Citigroup; di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam

Anak syarikat United Overseas Bank Limited (UOB) telah menandatangani perjanjian untuk mengambil alih perniagaan perbankan pengguna Citigroup yang terdiri daripada portfolio pinjaman tidak bercagar dan bercagar, pengurusan kekayaan dan perniagaan deposit runcit (Perniagaan  Pengguna) di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam (Cadangan Pengambilalihan).

Sebagai  sebahagian daripada Cadangan Pengambilalihan ini, kakitangan Perniagaan Pengguna akan diserap oleh  UOB. Cadangan Pengambilalihan ini akan memperkukuh dan memperdalam lagi francais UOB di ASEAN. 

Perniagaan Pengguna Citigroup mempunyai nilai aset bersih agregat berjumlah kira-kira S$4.0 bilion dan  asas pelanggan lebih kurang 2.4 juta pada 30 Jun 2021, dan menjana pendapatan berjumlah kira-kira  S$0.5 bilion pada separuh pertama 2021. Tanpa memasukkan kos urus niaga sekali sahaja, Cadangan  Pengambilalihan ini dijangka akan menunjukkan pertambahan serta-merta kepada pendapatan sesaham (EPS) dan pulangan atas ekuiti (ROE) UOB. 

Jumlah pertimbangan tunai untuk Cadangan Pengambilalihan ini akan dikira berdasarkan premium agregat  yang bersamaan dengan S$915 juta ditambah nilai aset bersih Perniagaan Pengguna apabila selesai. Cadangan Pengambilalihan ini dijangka akan dibiayai melalui lebihan modal dan dianggar akan mengurangkan nisbah Ekuiti Lazim Tahap 1 (CET1) UOB sebanyak 0.7% kepada 12.8%, berdasarkan  kedudukan modalnya pada 30 September 2021. Kesan kepada nisbah CET1 dijangka tidak ketara dan  adalah dalam keperluan kawal selia. 

Penyelesaian pengambilalihan di setiap negara adalah tertakluk kepada kelulusan kawal selia berkenaan  yang diperoleh dari setiap negara dan di Singapura. Pengambilahan ini dijangka selesai antara  pertengahan 2022 dan awal 2024, bergantung pada kemajuan dan keputusan proses kelulusan kawal selia. Citigroup akan membantu UOB dan anak syarikatnya (secara kolektif Kumpulan UOB) dengan  penghijrahan pelanggan dan kakitangan Perniagaan Penggunanya bagi memastikan peralihan dijalankan  dengan lancar. 

Encik Wee Ee Cheong, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, berkata, “Pengambilalihan perniagaan runcit Citigroup dalam pasaran utama kami di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam  merupakan peluang hebat yang tepat pada masanya. UOB percaya akan potensi jangka panjang Asia Tenggara dan kami telah mengambil langkah berdisiplin, selektif dan sabar dalam mencari peluang yang  sesuai untuk berkembang. Tertakluk kepada kelulusan kawal selia, kami berharap untuk menyepadukan  portfolio Citigroup yang berkualiti dan juga mengalu-alukan pasukannya, selain mewujudkan nilai untuk  asas pelanggan, kakitangan dan pihak berkepentingan lain kami yang semakin bertambah. Perniagaan  yang diambil alih, bersama dengan francais pengguna serantau UOB, akan menghasilkan gabungan amat mantap yang akan meningkatkan perniagaan Kumpulan UOB di samping memajukan kedudukan kami sebagai bank serantau yang terkemuka.” 

Encik Peter Babej, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pasifik Citi, berkata, “Kami berbesar hati untuk  mengumumkan transaksi ini dengan UOB, sebuah institusi pan-Asia yang terkemuka. Kami yakin bahawa  UOB, dengan budaya yang kukuh dan cita-cita serantau yang luas, akan menyediakan peluang yang amat baik dan tempat kerja jangka panjang bagi rakan sekerja perbankan pengguna kami di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam. Memberi tumpuan kepada perniagaan kami melalui langkah ini akan memudahkan  pelaburan tambahan dalam bidang tumpuan strategik kami, termasuk rangkaian institusi kami di seluruh Asia Pasifik, justeru menghasilkan pulangan optimum untuk Citi.” 

Strategi runcit UOB termasuk mengambil kesempatan daripada kemewahan yang semakin meningkat di  Asia Tenggara, memperoleh dan menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan melalui platform  perbankan digitalnya, UOB TMRW, di samping memenuhi keperluan kewangan pelanggan melalui  pendekatan saluran omni apabila mereka bergerak ke atas dalam kontinum kekayaan. Cadangan Pengambilalihan ini akan mengembangkan ekosistem rakan kongsi UOB dan dijangka menggandakan  asas pelanggan runcit sedia ada UOB di empat pasaran, sekaligus mempercepatkan sasaran asas pelanggannya lima tahun lebih awal. 

Perniagaan Pengguna Citigroup mempunyai kira-kira 5,000 kakitangan, termasuk pengurusan kanan dan  pasukan yang dilengkapi pelbagai pengalaman. Penghijrahan kakitangan ini akan meningkatkan lagi  kecekapan Kumpulan UOB dan membuka peluang sinergi perniagaan. 

Kumpulan UOB mengalu-alukan pelanggan dan kakitangan Citigroup, yang akan sentiasa dimaklumkan  mengenai perkembangan terkini Cadangan Pengambilalihan pada bulan-bulan akan datang. 

Credit Suisse (Singapore) Limited akan bertindak sebagai penasihat kewangan kepada Kumpulan UOB  dalam Cadangan Pengambilalihan ini manakala Allen & Overy LLP (Singapura) merupakan penasihat  undang-undangnya.

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.