Top 10 Saham Bursa Malaysia Yang Memberikan Dividen Tinggi Untuk Tahun 2021

Syarikat mana yang berikan dividen banyak tahun ni ya?

Tahun 2021 merupakan tahun yang sangat mencabar untuk kita semua. Pasaran saham untuk tahun 2021 ini juga agak suram dan banyak juga aliran dana asing yang keluar daripada Malaysia. 

Namun, dalam kesukaran tersebut, masih ada sinar harapan untuk pelabur di Malaysia baik dari segi keuntungan capital gains mahupun keuntungan dividen. 

Mari kita lihat saham di Bursa Malaysia yang memberikan dividen yang banyak untuk tahun 2021 ini menurut Bursa Marketplace

1. Pelikan International Corporation Berhad

Sumber Carta: Malaysiastock.biz

Pelikan International Corporation merupakan syarikat di pasaran utama di Bursa Malaysia. Syarikat ini membekalkan peralatan menulis dan melukis di serata dunia.

Setelah sekian lama tidak memberikan dividen, pada 28 Disember 2021 syarikat ini memberikan dividen sebanyak RM0.20 untuk setiap unit saham pegangan pelabur. 

Harga saham ini pada 27 Disember 2021 adalah RM0.32 seunit. Menjadikan kadar dividen saham ini adalah sebanyak 62.5%

2. Top Glove Corporation Bhd

Sumber Carta: Malaysiastock.biz

Top Glove Corporation Bhd pula merupakan pengeluar sarung tangan getah terkemuka di dunia yang meraih keuntungan yang besar ketika pandemik yang melanda dunia.

Pada tahun 2021, syarikat ini telah memberikan dividen sebanyak RM0.651 untuk seunit saham mereka. 

Harga saham ini pada RM2.36 dan ini menjadikan kadar dividen saham ini untuk tahun 2021 adalah sebanyak 27.58%

3. Ewein Berhad

Sumber Carta: Malaysiastock.biz

Ewein Berhad merupakan syarikat sektor hartanah yang tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia. 

Untuk tahun 2021, syarikat ini telah memberikan dividen sebanyak RM0.07 untuk seunit saham yang dipegang pelabur mereka. Dividen kali ini merupakan yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

Harga saham ini pada 27 Disember 2021 pula adalah sekitar RM0.265 sesaham. Ini menjadikan kadar dividen syarikat Ewein pada tahun 2021 adalah 26.41%

4. Kossan Rubber Industries Berhad

Sumber Carta: Malaysiastock.biz

Kossan Rubber Industries Berhad juga merupakan salah satu syarikat yang terlibat dalam pengeluaran sarung tangan di Malaysia. 

Pada tahun 2021, syarikat ini telah memberikan dividen sebanyak RM0.36 sesaham kepada pemegang saham syarikat mereka. 

Harga saham syarikat ini pada 27 Disember 2021 pula adalah pada RM1.84 sesaham. Ini menjadikan kadar dividensaham ini adalah sebanyak 19.57%.

5. Naim Holdings Berhad

Sumber Carta: Malaysiastock.biz

Naim Holdings Berhad juga merupakan sebuah syarikat hartanah yang tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia.

Untuk tahun 2021, syarikat ini telah memberikan dividen sebanyak RM0.079 untuk setiap unit pegangan pelabur mereka. Harga saham ini pada 27 Disember 2021 pula adalah pada RM0.610 seunit

Ini menjadikan kadar dividen Naim pada tahun 2021 adalah 12.95%.

6. Innoprise Plantations Berhad 

Sumber Carta: Malaysiastock.biz

Innoprise Plantations Berhad merupakan syarikat dalam sektor perladangan di pasaran utama Bursa Malaysia. 

Syarikat ini telah berikan dividen sebanyak RM0.16 sesaham untuk pemegang saham mereka. Harga saham ini pada 27 Disember 2021 pula berada pada RM1.27 seunit.

Ini menjadikan kadar dividen tahun 2021 untuk saham Innoprise ini adalah 12.60%

7. ES Ceramics Technology Bhd

Sumber Carta: Malaysiastock.biz

ES Ceramics Technology Bhd merupakan syarikat yang membuat seramik dan barangan buatan tangan yang tersenarai di pasaran Ace Bursa Malaysia. 

Untuk tahun 2021, syarikat ini memberikan dividen sebanyak RM0.05 untuk setiap unit saham yang dipegang oleh pelabur. Harga saham ini pada 27 Disember 2021 pula berada pada RM0.405 seunit. 

Ini menjadikan kadar dividen saham ini pada tahun 2021 adalah pada 12.34%

8. Hartalega Holdings Berhad

Sumber Carta: Malaysiastock.biz

Hartalega Holding Berhad juga antara pengeluaran sarung tangan yang terbesar di dunia selepas Top Glove. 

Syarikat ini telah memberikan dividen sebanyak RM0.5095 sesaham untuk tahun 2021. Harga saham ini pada 27 Disember 2021 pula adalah pada RM5.60 seunit.

Ini telah menjadikan kadar dividen saham ini pada tahun 2021 adalah pada 9.10%

9. Ta Ann Holdings Berhad

Sumber Carta: Malaysiastock.biz

Ta Ann Holdings Berhad merupakan syarikat di sektor perladangan yang terlibat dalam pembalakan di Malaysia dan penghasilan pelbagai jenis kayu.

Syarikat ini telah memberikan dividen sebanyak RM0.30 untuk setiap unit saham yang dimiliki pelabur mereka. 

Harga saham Taan pada 27 Disember 2021 adalah pada RM3.43 seunit. Ini menjadikan kadar dividen syarikat ini pada tahun 2021 adalah pada 8.74%

10. Tek Seng Holdings Berhad

Sumber Carta: Malaysiastock.biz

Tek Seng Holdings Berhad yang terlibat dalam pembuatan PVC, Non-Woven dan solar. Syarikat ini disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia. 

Syarikat ini telah memberikan dividen sebanyak RM0.03 untuk setiap unit saham yang dipegang oleh pelabur mereka. 

Harga saham syarikat ini pada 27 Disember 2021 pula adalah sekitar RM0.395 seunit. Ini menjadikan kadar dividensyarikat ini pada tahun 2021 adalah pada 7.59%

Baca: Saham Yang Berikan Dividen Lebih Daripada 5% Setahun

Diatas adalah kadar dividen dengan membagikan dividen sesaham yang diberikan dengan harga saham pada 27 Disember 2021. 

Kadar dividen pelabur mungkin berbeza jika pelabur membeli saham tersebut pada harga yang lain. 

Baca: Cara Kira Kadar Dividen Yang Anda Terima Dengan Betul

Artikel asal ditulis oleh Hazim Rosman di TheKapital.my

Previous ArticleNext Article

Di Sebalik Status Patuh Syariah: Bagaimana SC Menilai Sesebuah Syarikat?

Bagi pelabur Muslim di Malaysia, memilih saham patuh Syariah bukan sekadar memenuhi keperluan pelaburan, tetapi juga memastikan setiap keputusan pelaburan selari dengan prinsip-prinsip Islam.

Hari ini, lebih 70% daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia diklasifikasikan sebagai patuh Syariah. Namun, pernahkah anda tertanya-tanya bagaimana sesuatu syarikat boleh mendapat status tersebut? Adakah ia hanya bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan atau terdapat proses penilaian yang lebih menyeluruh?

Hakikatnya, status patuh Syariah tidak diberikan secara automatik. Setiap syarikat yang tersenarai akan melalui proses saringan yang sistematik oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggunakan metodologi yang telah ditetapkan. Semakan ini bukan sahaja menilai aktiviti perniagaan syarikat, malah turut melihat kedudukan kewangan dan beberapa aspek kualitatif yang lain.

Dalam artikel ini, kita akan memahami bagaimana proses saringan tersebut dijalankan dan mengapa ia penting kepada setiap pelabur.

Siapa Yang Menentukan Status Patuh Syariah?

Di Malaysia, pihak yang bertanggungjawab menentukan status patuh Syariah bagi syarikat yang tersenarai ialah Majlis Penasihat Syariah (MPS) di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

MPS terdiri daripada pakar dalam bidang Syariah, kewangan Islam dan pasaran modal yang bertanggungjawab memastikan sekuriti yang diklasifikasikan sebagai patuh Syariah memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Senarai sekuriti patuh Syariah akan dikemas kini dua kali setahun, lazimnya pada bulan Mei dan November, berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini syarikat. Ini bermakna status sesebuah saham boleh berubah mengikut perkembangan aktiviti perniagaan dan kedudukan kewangannya.

Mengapa Perlu Ada Proses Saringan?

Tidak semua syarikat menjalankan aktiviti yang sepenuhnya patuh Syariah. Sebagai contoh, terdapat syarikat yang:

  • memperoleh sebahagian kecil pendapatan daripada faedah konvensional,
  • menyewakan premis kepada perniagaan yang tidak patuh Syariah,
  • atau mempunyai hutang berasaskan faedah.

Jika tiada proses saringan, pelabur akan sukar menentukan sama ada sesuatu saham benar-benar sesuai untuk dilaburkan.

Oleh itu, MPS menggunakan metodologi yang mengambil kira bukan sahaja aktiviti utama syarikat, tetapi juga sumbangan pendapatan daripada aktiviti tidak patuh Syariah dan struktur kewangan syarikat.

Secara umum, metodologi saringan saham patuh Syariah di Malaysia dibahagikan kepada tiga komponen utama:

  1. Penilaian aktiviti perniagaan.
  2. Penilaian nisbah kewangan.
  3. Penilaian kualitatif.

Ketiga-tiga komponen ini saling melengkapi bagi memastikan syarikat benar-benar memenuhi prinsip Syariah.

1. Penilaian Aktiviti Perniagaan

Langkah pertama ialah melihat sumber pendapatan syarikat. Jika aktiviti utama syarikat jelas bercanggah dengan Syariah, syarikat tersebut tidak akan diklasifikasikan sebagai patuh Syariah.

Antara aktiviti yang tidak dibenarkan termasuk:

  • perbankan konvensional,
  • insurans konvensional,
  • perjudian,
  • arak dan aktiviti berkaitan,
  • produk berasaskan khinzir,
  • makanan dan minuman yang tidak halal,
  • hiburan yang bercanggah dengan Syariah,
  • tembakau dan rokok,
  • serta aktiviti lain yang diputuskan tidak mematuhi prinsip Syariah oleh MPS.

Walau bagaimanapun, terdapat syarikat yang menjalankan aktiviti utama yang patuh Syariah tetapi mempunyai sedikit pendapatan daripada aktiviti sampingan yang tidak patuh. Dalam keadaan ini, MPS akan menggunakan penanda aras tertentu bagi menentukan sama ada sumbangan tersebut masih berada dalam had yang dibenarkan.

Penanda Aras 5%

Aktiviti yang dianggap jelas bercanggah dengan Syariah tertakluk kepada penanda aras 5%. Ini bermaksud sumbangan pendapatan daripada aktiviti tersebut mestilah kurang daripada 5% daripada jumlah pendapatan kumpulan.

Sebagai contoh:

Sebuah syarikat memperoleh pendapatan keseluruhan sebanyak RM500 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM10 juta datang daripada faedah bank konvensional.

Pengiraannya ialah:

RM10 juta ÷ RM500 juta × 100%

= 2%

Oleh kerana jumlah tersebut berada di bawah penanda aras 5%, syarikat masih boleh dipertimbangkan sebagai patuh Syariah, tertakluk kepada syarat-syarat lain.

2. Penilaian Nisbah Kewangan

Selain melihat aktiviti perniagaan, MPS turut menilai struktur kewangan syarikat. Tujuannya ialah memastikan syarikat tidak terlalu bergantung kepada unsur riba dalam operasi kewangannya.

Dua nisbah utama yang dinilai ialah:

a) Tunai Konvensional Berbanding Jumlah Aset

Pengiraan ini hanya mengambil kira tunai yang disimpan dalam akaun atau instrumen konvensional. Tunai yang ditempatkan dalam instrumen Islam tidak diambil kira. Nisbah ini mestilah kurang daripada 33%.

b) Hutang Berfaedah Berbanding Jumlah Aset

Nisbah kedua melihat jumlah hutang yang dikenakan faedah berbanding keseluruhan aset syarikat. Pembiayaan Islam dan sukuk tidak termasuk dalam pengiraan ini. Sekiranya hutang berfaedah melebihi had yang ditetapkan, syarikat mungkin gagal memenuhi syarat patuh Syariah. Penanda aras yang digunakan juga ialah kurang daripada 33%.

3. Penilaian Kualitatif

Walaupun sesebuah syarikat memenuhi syarat dari segi angka, MPS turut menilai aspek kualitatif.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah:

  • imej syarikat,
  • persepsi umum terhadap aktiviti syarikat,
  • sama ada operasi syarikat bercanggah dengan nilai dan prinsip Islam,
  • serta unsur yang boleh menimbulkan keraguan kepada pelabur Muslim.

Ini menunjukkan bahawa penilaian patuh Syariah bukan sekadar bergantung kepada formula matematik, tetapi turut mengambil kira maqasid dan semangat Syariah.

Contoh Situasi

Bayangkan terdapat dua syarikat.

Syarikat A menghasilkan makanan halal dan memperoleh hampir keseluruhan pendapatan daripada jualan produknya. Namun, sebahagian kecil wang tunainya disimpan dalam akaun konvensional dan jumlahnya masih berada di bawah had yang ditetapkan.

Syarikat B pula menjalankan perniagaan utama yang sama, tetapi sebahagian besar pendapatannya datang daripada aktiviti yang tidak patuh Syariah.

Walaupun kedua-duanya menjual produk yang hampir sama, keputusan saringan mungkin berbeza kerana sumber pendapatan dan struktur kewangan mereka tidak serupa.

Inilah sebabnya pelabur tidak boleh menilai status patuh Syariah hanya berdasarkan nama atau jenis perniagaan sesebuah syarikat.

Mengapa Status Patuh Syariah Boleh Berubah?

Ada pelabur yang terkejut apabila mendapati saham yang dibeli sebelum ini tidak lagi berada dalam senarai patuh Syariah.

Perkara ini boleh berlaku kerana:

  • perubahan model perniagaan,
  • peningkatan pendapatan daripada aktiviti tidak patuh,
  • perubahan struktur hutang,
  • atau perubahan kedudukan kewangan syarikat.

Oleh sebab itu, pelabur disarankan menyemak senarai terkini yang diterbitkan oleh SC setiap kali kemas kini diumumkan.

Adakah Saham Patuh Syariah Menjamin Keuntungan?

Jawapannya ialah tidak. Status patuh Syariah hanya menunjukkan bahawa syarikat memenuhi garis panduan Syariah yang ditetapkan oleh MPS.

Ia bukan petunjuk bahawa harga saham akan meningkat atau syarikat pasti mencatat keuntungan. Sebelum membuat keputusan pelaburan, pelabur masih perlu melakukan analisis fundamental, analisis teknikal (jika berkaitan) serta menilai prospek industri dan tahap risiko syarikat. Patuh Syariah dan prestasi pelaburan ialah dua perkara yang berbeza.

Bagaimana Pelabur Menyemak Status Patuh Syariah?

Pelabur boleh menyemak status sesuatu saham melalui senarai rasmi yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Senarai ini dikemas kini dua kali setahun dan menjadi rujukan utama kepada pelabur individu, pengurus dana Islam, syarikat broker Islam serta institusi kewangan Islam.

Kesimpulan

Metodologi saringan saham patuh Syariah di Malaysia dibangunkan bagi memastikan pelabur Muslim mempunyai panduan yang jelas dalam memilih sekuriti yang mematuhi prinsip Syariah. Proses ini bukan sahaja menilai jenis aktiviti perniagaan syarikat, malah turut mengambil kira struktur kewangan dan aspek kualitatif bagi memastikan penilaian dibuat secara menyeluruh.

Sebagai pelabur, memahami bagaimana sesuatu saham diklasifikasikan sebagai patuh Syariah akan membantu anda membuat keputusan pelaburan dengan lebih yakin dan berinformasi. Pada masa yang sama, jangan menganggap status patuh Syariah sebagai satu-satunya faktor dalam memilih saham. Analisis terhadap prestasi kewangan, prospek syarikat, pengurusan dan risiko pelaburan tetap perlu dilakukan.

Akhir sekali, sentiasalah menyemak senarai terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia kerana status patuh Syariah boleh berubah mengikut perkembangan aktiviti dan kedudukan kewangan syarikat. Dengan gabungan ilmu Syariah dan ilmu pelaburan, anda bukan sahaja berpeluang membina kekayaan, malah dapat melabur dengan lebih tenang dan bertanggungjawab.