Alliance Bank dan YaPEIM Bersama Membantu Mangsa Banjir di Sabah

Alliance Bank Malaysia Berhad (“Alliance Bank” atau “Bank”) telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM55,000 melalui SocioBiz, sebuah platform pengumpulan dana patuh syariah yang diusahakan oleh Bank, bagi membeli peralatan keselamatan dan bantuan untuk lebih 1,000 orang mangsa yang terjejas akibat banjir di Kampung Gurama dan Kampung Kuridak di Beaufort, Sabah.

Bank telah bekerjasama dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dalam usaha menyampaikan bantuan bagi membolehkan penyimpanan air bersih dan persediaan menghadapi banjir pada masa akan datang. Dana yang terkumpul telah menampung kos menyediakan empat tangki air dan empat buah bot penyelamat.

“Banjir besar yang melanda Beaufort telah menjejaskan kehidupan penduduk kampung. Paras air bah yang tinggi telah menutup laluan jalan raya ke kampung-kampung ini. Hal ini telah menyebabkan penduduk kampung terhalang daripada pergi ke tempat kerja seterusnya menjejaskan mata pencarian mereka. Keadaan ini diburukkan lagi oleh ketiadaan bekalan air bersih untuk kegunaan harian dan juga untuk diminum,” jelas En. Rizal II-Ehzan Azim, Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank.

“Kami harap peralatan yang dibeli dengan dana ini dapat menyediakan kemudahan air secara asas serta memberi keselamatan kepada mereka yang terjejas. Kami juga membantu komuniti ini supaya siap menghadapi sebarang malapetaka banjir pada masa akan datang,” tambah En. Rizal.

Empat buah bot penyelamat yang disumbangkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort akan dapat membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat-pusat pemindahan sementara dan juga menghantar barangan keperluan. Manakala empat buah tangki air dengan jumlah kapasiti sebanyak 36,000 gelen akan membekalkan air bersih kepada penduduk kampung.

Dato’ Haji Mohd Redza Shah Bin Abdul Wahid, Pengerusi YaPEIM berkata, “Kami di YaPEIM berharap usaha ini dapat membantu memulihkan dan meningkatkan kesejahteraan Ummah. Kami menyedari betapa penting untuk bekerjasama dengan pelbagai pemegang kepentingan untuk mencapai matlamat bersama. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Alliance Bank dalam projek ‘Bantuan Banjir untuk Sabah’ bagi memberikan bantuan makanan yang amat diperlukan oleh warga komuniti tempatan. Kami harap kerjasama ini dapat dipertingkatkan lagi dalam projek-projek lain pada masa hadapan.”

Kebanyakan penduduk kampung yang terjejas akibat banjir terdiri daripada penoreh getah dan pekebun kelapa sawit. Banjir yang menjejaskan mata pencarian penduduk merupakan suatu kelaziman di kawasan ini dan berlaku hampir tiga kali setahun.

Orang ramai dijemput untuk berganding bahu dengan Bank dalam inisiatif memperkasakan masyarakat dengan mengimbas kod QR atau melayari https://www.alliancebank.com.my/sociobiz.

Tentang Alliance Bank Malaysia Berhad

Alliance Bank Malaysia Berhad dan subsidiarinya, Alliance Investment Bank Berhad dan Alliance Islamic Bank Berhad, merupakan kumpulan perkhidmatan kewangan dinamik dan bersepadu yang menawarkan penyelesaian perbankan dan kewangan melalui perbankan pengguna, perbankan PKS, perbankan korporat dan komersil, perbankan Islam, perbankan pelaburan dan perniagaan pembrokeran saham. Bank menyediakan capaian mudah di seluruh negara melalui penyediaan perkhidmatan kepada pangkalan pelanggan yang luas melalui saluran penyediaan berbilang cabang termasuk cawangan runcit, Pusat Perbankan Privilege, Pusat Perniagaan dan cawangan Bank Pelaburan serta kemudahan perbankan mudah alih dan Internet.

Tentang Alliance Islamic Bank Berhad

Alliance Islamic Bank Berhad (AIS) ialah subsidiari milik penuh Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank). Ia menawarkan pelbagai pilihan  produk dan perkhidmatan yang patuh syariah untuk para pengguna dan perniagaan.  AIS merupakan promoter dan penyokong inisiatif yang mewujudkan impak positif kepada perniagaan, komuniti dan persekitaran.  

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Umum Pengarah Baharu Pasaran Modal Islam

Kuala Lumpur – Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) hari ini mengumumkan pelantikan Azizan Abdul Aziz (“Azizan”) sebagai Pengarah Pasaran Modal Islam (ICM), berkuat kuasa 1 Mei 2026.

Azizan akan memegang peranan baharu ini selain jawatan semasanya sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Bursa Malaysia. Pelantikan ini mencerminkan fokus berterusan Bursa Malaysia dalam memperkukuh penawaran pasaran modal Islamnya seiring dengan keutamaan strategik yang lebih luas.

Dato’ Fad’l Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, berkata, “Pelantikan Azizan memperkukuh fokus kepimpinan Bursa Malaysia terhadap Pasaran Modal Islam pada waktu pertumbuhan pasaran yang berterusan dan penyertaan antarabangsa yang semakin berkembang. Pengalaman, kepakaran kewangan dan pemahaman institusi beliau meletakkannya pada kedudukan yang baik untuk memberikan hala tuju strategik bagi keutamaan pasaran Islam kami, di samping terus memastikan pengurusan kewangan yang kukuh sebagai CFO.”

Pasaran modal Islam Malaysia kekal sebagai tonggak utama pasaran modal domestik, berkembang daripada RM2.2 trilion pada 2020 kepada RM2.7 trilion menjelang akhir 2025, dengan ekuiti patuh Syariah dan sukuk masing-masing menyumbang RM1.3 trilion dan RM1.4 trilion. Mencerminkan kedalaman pelaburan Syariah di peringkat tempatan, syarikat patuh Syariah merangkumi lebih daripada 80% syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia.

Dalam kapasiti beliau sebagai Pengarah ICM, Azizan akan menyediakan pengawasan dan hala tuju strategik bagi keutamaan berkaitan pasaran modal Islam Bursa Malaysia, dengan bekerjasama rapat bersama pihak berkepentingan dalaman dan peserta pasaran untuk menyokong pembangunan berterusan ekosistem ICM. Sebagai CFO, beliau akan terus menyelia fungsi kewangan keseluruhan Bursa Malaysia, termasuk pelaporan kewangan dan pengurusan, perancangan korporat serta penganggaran bajet.

Azizan membawa lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang kewangan, perakaunan, kewangan korporat dan nasihat. Sebelum menyertai Bursa Malaysia, Azizan berkhidmat sebagai CFO Kumpulan bagi Bank Islam Malaysia Berhad. Beliau juga merupakan Rakan Kongsi Penggabungan dan Pengambilalihan di Deloitte Southeast Asia Ltd., serta pernah memegang jawatan kanan di KPMG Financial Services Advisory di United Kingdom dan Malaysia, antara lain. Beliau memiliki ijazah dalam Perakaunan & Kewangan dari University of Plymouth, UK, dan merupakan ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA) serta felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).