Setel Menerajui Mobiliti Inklusif Dengan Fungsi Pengecasan EV

Sebagai langkah ke arah mobiliti yang  lebih inklusif dan lestari, Setel telah memperkenalkan fungsi terbaharunya yang membolehkan serta memudahkan pengguna mengecas kenderaan elektrik (EV) mereka melalui aplikasi Setel.

Pengguna EV dapat menemukan stesen pengecasan pilihan mereka berserta jenis pengecas, dan pengecas tersebut dapat diaktifkan dengan mudah hanya menggunakan aplikasi Setel. Pembayaran akan dibuat melalui Setel Wallet, lalu pengguna akan menerima mata ganjaran Mesra untuk setiap transaksi.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel berkongsi, “Tawaran kemudahan pengecas EV dalam ekosistem Setel membolehkan kami menjurus fokus ke atas aspek kelestarian. Kemudahan ini terlahir dengan mendengar keperluan para pelanggan kami dan ia juga merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang kami untuk terus menginovasi demi mobiliti inklusif, yakni bagi mendukung usaha global untuk menyahkarbon pengangkutan jalan raya. Didorong oleh penerimagunaan EV yang kian berkembang di Malaysia, kami berhasrat untuk meluaskan akses ke atas infrastruktur pengecasan awam di samping memudahkan proses pengecasan bagi pengguna EV, setanding dengan pengalaman mengisi petrol yang ditawarkan oleh Setel kepada para pengguna kenderaan.”

Setel telah bekerjasama dengan JomCharge sebagai pihak penyedia yang pertama, dengan rancangan untuk bekerjasama dengan lebih ramai penyedia EV dalam tempoh terdekat, termasuk Energise oleh PETRONAS. Dalam fasa pertamanya, pengguna EV boleh menggunakan aplikasi Setel untuk mengecas kenderaan elektrik mereka di lima lokasi rintis: Lotus’s Tesco Kepong, EV Connection Workshop di Petaling Jaya, Carsome PJ Automall, Rasa Sayang Resort milik Shangri-La di Pulau Pinang serta ibu pejabat ACO Group di Johor Bahru – dan banyak lagi lokasi yang akan menyusul secara berperingkat.

Muat turun versi aplikasi Setel yang terkini secara percuma di iOS dan Android melalui Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery. Maklumat lanjut mengenai Setel boleh didapati di https://www.setel.com/.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Umum Pengarah Baharu Pasaran Modal Islam

Kuala Lumpur – Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) hari ini mengumumkan pelantikan Azizan Abdul Aziz (“Azizan”) sebagai Pengarah Pasaran Modal Islam (ICM), berkuat kuasa 1 Mei 2026.

Azizan akan memegang peranan baharu ini selain jawatan semasanya sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Bursa Malaysia. Pelantikan ini mencerminkan fokus berterusan Bursa Malaysia dalam memperkukuh penawaran pasaran modal Islamnya seiring dengan keutamaan strategik yang lebih luas.

Dato’ Fad’l Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, berkata, “Pelantikan Azizan memperkukuh fokus kepimpinan Bursa Malaysia terhadap Pasaran Modal Islam pada waktu pertumbuhan pasaran yang berterusan dan penyertaan antarabangsa yang semakin berkembang. Pengalaman, kepakaran kewangan dan pemahaman institusi beliau meletakkannya pada kedudukan yang baik untuk memberikan hala tuju strategik bagi keutamaan pasaran Islam kami, di samping terus memastikan pengurusan kewangan yang kukuh sebagai CFO.”

Pasaran modal Islam Malaysia kekal sebagai tonggak utama pasaran modal domestik, berkembang daripada RM2.2 trilion pada 2020 kepada RM2.7 trilion menjelang akhir 2025, dengan ekuiti patuh Syariah dan sukuk masing-masing menyumbang RM1.3 trilion dan RM1.4 trilion. Mencerminkan kedalaman pelaburan Syariah di peringkat tempatan, syarikat patuh Syariah merangkumi lebih daripada 80% syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia.

Dalam kapasiti beliau sebagai Pengarah ICM, Azizan akan menyediakan pengawasan dan hala tuju strategik bagi keutamaan berkaitan pasaran modal Islam Bursa Malaysia, dengan bekerjasama rapat bersama pihak berkepentingan dalaman dan peserta pasaran untuk menyokong pembangunan berterusan ekosistem ICM. Sebagai CFO, beliau akan terus menyelia fungsi kewangan keseluruhan Bursa Malaysia, termasuk pelaporan kewangan dan pengurusan, perancangan korporat serta penganggaran bajet.

Azizan membawa lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang kewangan, perakaunan, kewangan korporat dan nasihat. Sebelum menyertai Bursa Malaysia, Azizan berkhidmat sebagai CFO Kumpulan bagi Bank Islam Malaysia Berhad. Beliau juga merupakan Rakan Kongsi Penggabungan dan Pengambilalihan di Deloitte Southeast Asia Ltd., serta pernah memegang jawatan kanan di KPMG Financial Services Advisory di United Kingdom dan Malaysia, antara lain. Beliau memiliki ijazah dalam Perakaunan & Kewangan dari University of Plymouth, UK, dan merupakan ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA) serta felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).