Bank Muamalat Lancar Platform Pelaburan Emas Digital, ‘EasiGold’

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) — Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) telah melancarkan platform pelaburan emas digital berasaskan Syariah yang pertama, EasiGold, yang akan  membolehkan pelanggan melabur dalam emas melalui aplikasi mudah alih.

Pengarah Perbankan Runcit Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abidin berkata platform itu, yang disediakan oleh ACE Capital Growth Sdn Bhd (ACE Capital) dijangka menarik sehingga 350,000 pelanggan Bank Mualamat dalam masa 12 bulan.

“Platform EasiGold hanya untuk pelanggan kami, mereka yang tidak mempunyai akaun dengan kami tetapi mahu menggunakan platform tersebut boleh menuju ke cawangan terdekat kami bagi pembukaan akaun Bank Muamalat.

“Platform ini menampilkan paparan harga emas masa nyata yang membolehkan pelanggan membeli serta menjual emas murni 999.9 yang diperakui oleh Persatuan Pasaran Emas (LBMA) pada harga semerta” katanya selepas pelancaran platform itu hari ini.

Bank Muamalat mahu mempromosikan emas sebagai pelaburan alternatif yang lebih selamat kepada semua lapisan rakyat Malaysia, menawarkan tahap-tahap harga dengan penyebaran serendah 1.5 peratus, bergantung kepada keadaan pasaran.

Beliau menjelaskan EasiGold melengkapkan penawaran produk emas sedia ada bank itu selain memenuhi trend semasa ke arah akses mudah alih.

Menurut Zury Rahimee, platform pelaburan emas digital ini adalah satu -satunya platform yang mana bank berkenaan menjadi ejen pemasaran tunggal tanpa penglibatan pihak ketiga dan emas disimpan oleh pihak bank.

“Butiran pelanggan disimpan selamat mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi 2012 dan keseluruhan prosesnya adalah patuh Syariah.

“Oleh itu, kami percaya bahawa orang ramai akan mempunyai lebih banyak keyakinan untuk membeli emas dalam talian EasiGold kerana ciri -ciri keselamatannya yang lebih dipercayai serta terjamin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengarah Eksekutif ACE Capital Fong Pok Yee berkata syarikat itu berasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan Bank Muamalat, yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang boleh dipercayai dalam perniagaan emas.

“Dengan platform ini, perdagangan emas kini berada di hujung jari dan kami berharap platform tersebut akan mampu menarik golongan milenium dan demografi Gen Z,” kata Fong.

Pelanggan boleh memuat turun dan memasang aplikasi EasiGold melalui Google Play Store atau Apple App Store.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/bank-muamalat-lancar-platform-pelaburan-emas-digital-easigold/

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

Harga Emas Tinggi Jejas Permintaan Terhadap Barang Kemas – Tomei

KUALA LUMPUR: Harga emas mencapai kemuncak awal tahun ini sebelum pembetulan dan kini dijangka kekal dalam lingkungan harga yang sama sehingga terdapat kepastian dalam pasaran.

Pengarah Urusan Tomei Consolidated Bhd, Datuk Ng Yih Pyng, berkata walaupun Tomei kekal positif terhadap emas dalam jangka masa panjang, harga yang tinggi menjejaskan permintaan barang kemas kerana pengguna menjadi lebih sensitif terhadap harga, manakala permintaan untuk produk pelaburan emas seperti wafer, syiling dan bar kilo telah meningkat.

“Dari segi margin, Tomei membuat jualan berasaskan nilai pasaran semasa dan tidak mengamalkan lindung nilai untuk inventorinya, selain syarikat membeli semula kuantiti emas yang setara setiap hari selepas jualan dibuat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan ke-21 syarikat itu

Sementara itu, beliau berkata platform emas digital Tomei, GoldNow yang dilancarkan secara tidak rasmi sebelum Tahun Baru Cina telah mencatatkan pengambilan yang menggalakkan walaupun sumbangannya kekal kecil iaitu kurang daripada satu peratus daripada jumlah perolehan kumpulan.

Dalam perkembangan lain, Tomei menjangkakan bakal mencatatkan peningkatan bersih daripada satu cawangan kepada dua cawangan menjelang akhir tahun ini, memandangkan peruncit barangan kemas itu mengambil strategi perluasan yang berwaspada namun selektif di tengah-tengah persekitaran pasaran yang tidak menentu.

Yih Pyng berkata, syarikat itu kini mengendalikan 63 cawangan dan sedang berbincang dengan beberapa pusat beli-belah untuk potensi pengembangan.

Bagaimanapun, beliau berkata Tomei mungkin menangguhkan beberapa pembukaan yang dirancang dan turut mengkaji semula prestasi cawangan sedia ada.

“Kami sedang berbincang dengan beberapa pusat beli-belah mengenai pengembangan tetapi mungkin perlu menangguhkan sebahagian daripada pengembangan berikutan situasi semasa di Asia Barat.

“Kami mungkin membuka beberapa outlet dan menutup beberapa cawangan yang tidak berprestasi, namun peningkatan bersih tidak akan lebih daripada satu atau dua,” katanya.

Beliau berkata, Tomei kekal berhati-hati mengenai prospek jangka pendek, memandangkan suku kedua dan ketiga dijangka lebih perlahan susulan musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya telah berakhir.

Menurutnya, sentimen pasaran juga telah menjadi lebih perlahan, tetapi syarikat akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memperkenalkan rangkaian produk baharu untuk menyokong permintaan.

Sementara itu, Pengerusi Tomei, Raja Tan Sri Aman Raja Ahmad, berkata kumpulan itu kekal fokus untuk mengekalkan nisbah hutang yang sihat dan aliran tunai kukuh dan menilai peluang perniagaan baharu dengan lebih teliti.

“Menggunakan analogi bola sepak, ini adalah fasa bertahan bukannya fasa menyerang untuk menjaringkan gol. Kami perlu memastikan nisbah hutang berada dalam keadaan baik dan aliran tunai kekal kukuh,” katanya.

-BERNAMA