Pemain Industri Getah Perlu Pelbagai Ke Segmen Bukan Perubatan Untuk Kekal Relevan

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) — Pemain industri getah perlu mempelbagaikan operasi ke segmen bukan perubatan untuk terus menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara pada masa depan. 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata semasa pandemik COVID-19, Malaysia muncul sebagai antara pengeksport utama global sarung tangan getah perubatan berikutan keupayaan negara untuk menampung lonjakan permintaan.

“Semasa tempoh kemuncak COVID-19,  komoditi kita mencatatkan prestasi baik, sama ada minyak sawit, getah, kayu, lada dan lain-lain. Pengeluaran sarung tangan getah kita menjadi nombor satu dalam negara disebabkan pandemik. 

“Tetapi sekarang dengan pandemik yang semakin mereda, mungkin kita boleh pelbagaikannya sedikit dan beralih ke segmen bukan perubatan,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran Pembiayaan Global bagi Inovasi Getah (GFRI), di sini, hari ini.

GFRI yang bertemakan “Memupuk Idea untuk Industri Getah Secara Global” merupakan inisitatif Majlis Getah Malaysia (MRC) bagi mewujudkan ekosistem yang lengkap untuk menyokong pembangunan industri getah dalam bidang yang berkaitan, seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Zuraida berkata MRC GFRI menyediakan dana permulaan berjumlah RM10 juta yang akan dianugerahkan sebagai dana penyelidikan penuh. 

“Dana penyelidikan ini terbuka kepada semua penyelidik tempatan dan luar negara dari pelbagai institusi penyelidikan awam dan swasta, universiti, institusi pengajian tinggi dan syarikat yang berpangkalan di dalam dan luar Malaysia,” katanya.

Menurutnya, satu Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada pakar industri dan teknikal dari sektor awam dan swasta telah ditubuhkan untuk menjalankan penilaian teknikal dan kewangan ke atas kertas cadangan penyelidikan yang menepati keperluan program pembiayaan.

Zuraida berkata objektif utama GFRI adalah untuk menggalakkan penjanaan idea, inovasi dan ciptaan bagi produk dan teknologi getah dengan daya pengkomersialan yang tinggi untuk menarik pelaburan dalam industri getah Malaysia. 

Beliau berkata produk getah Malaysia kini dieksport ke 189 buah negara di seluruh dunia dengan kadar eksport meningkat sebanyak 50.6 peratus daripada RM40.1 bilion pada 2020 kepada RM61.7 bilion pada tahun 2021.

“Industri, universiti, dan institusi penyelidikan merupakan pusat minda terbaik negara yang memiliki kumpulan pakar dari pelbagai bidang. Oleh itu, para penyelidik dari pelbagai organisasi memainkan peranan penting dalam menjana inovasi yang boleh menyumbang kepada kemakmuran ekonomi. 

“Dalam hal ini, Malaysia boleh menggunakan kepakaran teknikal dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun yang berpotensi memacu pembangunan teknologi yang pesat,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya akan terus menyokong inovasi pembangunan produk getah yang berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi negara selain komited dalam memastikan agar industri getah terus kekal berdaya saing di peringkat pasaran global.

— BERNAMA

Berita asal : https://thekapital.my/pemain-industri-getah-perlu-pelbagai-ke-segmen-bukan-perubatan-untuk-kekal-relevan-zuraida/

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee