Pemuliharaan Hutan Di Malaysia Antara Segmen Yang Berkembang Untuk Pelaburan

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) — Pemuliharaan hutan merupakan ruang yang semakin berkembang untuk tujuan pelaburan ke arah pengurangan pelepasan karbon di Asia Tenggara (SEA), khususnya di Indonesia dan Malaysia, menurut laporan oleh perunding global Bain & Company dan firma pelaburan Singapura, Temasek Holdings Ltd.

Segmen itu merupakan alat untuk mengurangkan pelepasan karbon terbesar di rantau ini dan akan menawarkan peluang pelaburan bernilai US$20 bilion (US$1= RM4.395) menjelang 2030, kata syarikat itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Ini berdasarkan laporan mereka “Southeast Asia’s Green Economy 2022: Investing behind new realities”, (Ekonomi Hijau Asia Tenggara 2022: Melabur di sebalik realiti baharu) yang turut menyaksikan sumbangan daripada Microsoft Corporation.

Selain pemuliharaan hutan, laporan itu mengenal pasti empat keutamaan lain yang menawarkan peluang kukuh untuk pelaburan hari ini yang akan memacu 60 peratus daripada rantau ini iaitu  — tenaga boleh diperbaharui (solar dan angin), mobiliti elektrik, pertanian mampan dan persekitaran binaan.

“Tenaga boleh diperbaharui (solar dan angin) mewakili peluang bernilai US$30 bilion menjelang 2030, yang mana solar mewakili US$20 bilion,” kata kenyataan itu.

Ia menyatakan bahawa pelaburan korporat dalam penyelesaian tenaga boleh diperbaharui semakin pesat di rantau ini dan menyumbang sekurang-kurangnya US$6.6 bilion dalam pelaburan hijau korporat sejak 2020.

Mengenai pertanian mampan, kenyataan itu berkata platform perkhidmatan petani dan pertanian yang tepat menawarkan potensi yang besar bagi memacu peningkatan hasil dan mengurangkan pelepasan karbon.

“Malaysia, Thailand dan Vietnam adalah negara yang paling menarik kerana kesediaan infrastruktur dan sokongan kawal selia yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, e-mobiliti kelihatan bersedia untuk dilaksanakan di Indonesia, Thailand dan Vietnam. Kenyataan itu menyatakan bahawa ini adalah terutamanya untuk pembuatan dan jualan kenderaan elektrik (EV) dua roda kerana kepakaran pembuatan automotif yang kukuh dalam pasaran tersebut.

Mengenai segmen pembinaan, ia berkata peluang paling menarik boleh didapati dalam penyelesaian penyejukan yang cekap, dengan potensi besar untuk bahan dan produk-produk binaan hijau.

Menurut kenyataan itu, lebih US$15 bilion pelaburan kemampanan terkumpul telah mengalir ke rantau ini sejak 2020, dengan 45 peratus digunakan pada tiga suku yang terakhir.

— BERNAMA

Berita asal : https://thekapital.my/pemuliharaan-hutan-di-malaysia-antara-segmen-yang-berkembang-untuk-pelaburan/

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.