CGS-CIMB Securities Raih Empat Anugerah FinanceAsia 2022

Selama tiga tahun berturut-turut, CGS-CIMB Securities telah diiktiraf sebagai broker terbaik di Singapura dan Malaysia oleh FinanceAsia. 

Tambahan pula, kumpulan berkenaan telah memenangi dua anugerah yang baru diperkenalkan bagi tahun 2022: Anugerah Impak Sosial Terbesar (Antarabangsa) dan Anugerah Penggunaan Teknologi Paling Inovatif untuk cawangan Thailand. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah organisasi bahawa kumpulan berkenaan telah dianugerahkan dengan empat anugerah oleh FinanceAsia. Sebagai broker No. 1 di Singapura dan Malaysia, serta broker yang terkemuka di ASEAN, CGS-CIMB mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri.

Pada tahun 2021, CGS-CIMB Securities telah menggiatkan usaha seluruh kumpulannya untuk menumpukan kepada Strategi Visi 25, iaitu rancangan lima tahun yang menggariskan peluang pertumbuhan yang tinggi khususnya dalam bidang keterpusatan pelanggan, segmen Milenia dan Wanita serta Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Dengan memanfaatkan golongan profesional kewangan syarikat yang berpengalaman dan pelbagai penyelesaian digital, CGS-CIMB Securities menyasarkan untuk memperkasa pelanggan dan komuniti bagi membuat keputusan bermaklumat tentang kewangan mereka demi masa depan yang lestari.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CGS-CIMB, Carol Fong: “Kami berbesar hati kerana sekali lagi FinanceAsia mengiktiraf kami sebagai Broker Terbaik di Singapura dan Malaysia serta menganugerahkan Anugerah Penggunaan Teknologi Paling Inovatif dan Anugerah Impak Sosial Terbesar. Anugerah-anugerah baharu ini mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan kami sebagai firma broker yang terkemuka dan dipercayai di Asia yang juga sejajar dengan matlamat organisasi kami.”

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.