Bank Islam Terbit Sukuk Wakalah Sulung Bernilai RM500 Juta

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — Bank Islam Malaysia Bhd menerbitkan Sukuk Wakalah modal Tier-1 Tambahan sulungnya bernilai RM500 juta di bawah program Sukuk Wakalah dengan nilai nominal sehingga RM5 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, bank itu berkata sukuk tersebut adalah berdasarkan kepada prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

Bank Islam berkata tempoh sukuk itu adalah kekal, berkadar tetap lima tahun dan diberi penarafan A3/stabil oleh RAM Rating Services Bhd.

“Sukuk tersebut layak sebagai modal kawal selia Tier 1 Bank Islam sebagai mematuhi Rangka Kerja Kecukupan Modal Bank Negara Malaysia bagi Bank Islam (Komponen Modal).  

“Bank Islam merupakan penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama dan penasihat syariah bagi Program Sukuk Wakalah itu,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/bank-islam-terbit-sukuk-wakalah-sulung-bernilai-rm500-juta/

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.