Bila Harga Barang Nak Turun Ni?

Angka terkini menunjukkan bahawa kadar inflasi negara Malaysia telah pun mencecah 4.4 peratus pada bulan Julai yang lalu. Ianya meningkat berbanding 3.4 peratus pada bulan Jun. Ianya juga tinggi berbanding kadar purata jangka panjang iaitu 2.4 peratus dari tahun 1985 sehingga tahun 2021.

Kenaikan harga makanan dilihat penyumbang utama disamping faktor asas yang rendah pada tahun lalu apabila kerajaan memberikan diskaun bagi bil eletrik bermula dari bulan Julai 2021 hingga September 2021.

Persoalannya, bagaimana permasalahan ini harus diselesaikan?

Sejujurnya, masalah inflasi atau kenaikan harga barang ini memang sukar untuk diatasi. Ini adalah kerana para peniaga tiada insentif untuk menurunkan harga barang meskipun kos perniagaan mereka turun. Sebabnya, harga yang mahal pun, pelanggan tetap membeli juga. Fenomena ini dipanggil “prices sticky downward” ataupun “menu cost” dalam fahaman New Keynes.

Justeru, jalan terbaik adalah mengembalikan penentuan harga ini kepada fitrahnya iaitu penawaran dan permintaan. Hadis Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Tarmizi, Ibnu Majah, ad-Darimi dan Abu Ya’la menyebut “Wahai Rasullullah, harga barang telah melonjak naik, maka tetapkanlan harga untuk kami!”.

Maka Baginda S.A.W bersabda “Sesungguhnya Allahlah yang menentukan harga, Yang menggenggam, Yang menghamparkan dan Pemberi rezeki. Dan sungguh aku berharap berjumpa dengan Allah sementara tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku kerana suatu kezaliman dalam hal darah dan harta”.

Hakikatnya dalam Islam, ianya memberi kebebasan ke atas harga pasaran dan membiarkan tabiat pasaran untuk menentukan tingkat harga. Asalkan penentuan harga ini berlaku dalam keadaan yang adil dan telus serta bebas dari unsur-unsur manipulasi dan praktis perniagaan yang salah (perbuatan sorok atau hoarding dan seumpamanya). Oleh itu, tugas pemerintah adalah untuk memastikan mekanisme penentuan harga atau “price discovery mechanism” ini berlaku dengan cekap. Jadi ianya perlu dipantau dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang boleh membendung sebarang bentuk manipulasi harga.

Harga sebenarnya merupakan suatu isyarat atau “signal” bagi tujuan pengagihan sumber. Sekiranya harga meningkat mahal, pembeli akan mengurangkan pembeliannya manakala para pengeluar, mungkin berminat untuk menambahkan pengeluaran berikutan tingkat harga yang tinggi. Harga mungkin turun disebabkan banyaknya penawaran. Begitulah juga sebaliknya. Sekiranya ada unsur yang boleh mengganggu mekanisme penentuan harga, maka ia boleh memberikan isyarat yang salah. Sebagai contoh, dengan adanya kawalan harga, tahap penggunaan akan kekal tinggi kerana diminda masyarakat harga barang tersebut adalah “murah” tanpa mereka sedari. Walhal harga pasaran telah meninggkat. Jika perkara ini berlaku, para pengeluar tiada insentif untuk mengeluarkan barang tersebut. Isyarat yang salah ini juga mungkin akan mewujudkan pasaran gelap kerana para pengeluar akan cenderung untuk menjual dipasaran yang boleh mendatangkan untung yang lebih banyak.

Sehubungan dengan itu, persoalan penentuan harga barang dan perkhidmatan adalah suatu isu yang kompleks kerana ia melibatkan tabiat pengguna dan pengeluar. Oleh yang demikian, adalah penting untuk kembali kepada fitrah penentuan harga iaitu penawaran dan permintaan. Wallahualam

Sumber: Facebook Dr. Mohd Afzanizam

Previous ArticleNext Article

FLUX Himpunkan Pemimpin Perniagaan Malaysia Untuk Tangani Kos Ketegaran Dalam Ekonomi Tidak Menentu

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 — FLUX, platform teknologi automotif Malaysia, hari ini menghimpunkan Forum Perniagaan FLUX 2026 dengan kerjasama Malaysia German Chamber of Commerce & Industry di AICB Centre of Excellence. Bertemakan “Competing in an Uncertain Economy: The Cost of Rigidity”, perhimpunan tertutup itu bertujuan membangkitkan persoalan yang tidak dapat dielakkan: apakah sebenarnya yang diperlukan syarikat untuk berdepan ketidaktentuan global berterusan, dan di manakah kebanyakan organisasi masih gagal menyesuaikan diri dengan cukup pantas?

Menyampaikan ucaptama pembukaan bertajuk “Policy & Competitiveness in an Uncertain Economy: Capital, Talent and the Cost of Rigidity”, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata tempoh semasa secara asasnya berbeza daripada kejutan-kejutan terdahulu — Krisis Kewangan Asia 1997, Krisis Kewangan Global 2008, dan Covid-19. Apa yang membezakannya, menurut beliau, bukanlah skala satu-satu kejutan, tetapi tekanan serentak melibatkan tenaga, geopolitik, monetari dan perdagangan — serta hakisan sokongan dasar yang sebelum ini menjadi sandaran syarikat. Sistem perdagangan global berasaskan peraturan, tindakan terkoordinasi bank pusat, dan kepimpinan monetari Amerika Syarikat yang boleh dijangka tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti.

Ucaptama itu menjadi asas kepada sesi panel yang menterjemahkan gambaran makro kepada realiti operasi di peringkat lapangan. Wakil kanan termasuk Jacob Lee Chor Kok dari Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Benyamin Ismail dari AirAsia X, Ir. Shazwan Khalid dari Siemens Energy Malaysia, dan Marc Appelt dari MAN Truck & Bus Malaysia membincangkan di mana tekanan kos paling ketara dirasai, bagaimana dasar penyetempatan Malaysia dan realiti operasi saling bertentangan, serta perubahan yang telah dilakukan syarikat secara senyap dalam tempoh enam hingga dua belas bulan kebelakangan ini. Antara tema utama yang dibincangkan termasuk peningkatan semula kos tetap yang sebelum ini berjaya dikurangkan ketika Covid-19, tekanan modal kerja yang kini menjejaskan pengeluar Malaysia, dan geseran operasi berkaitan rangka kerja Employment Pass baharu sebelum ia dilaksanakan.

Forum itu diakhiri dengan perkongsian kajian kes oleh Pengasas & CEO FLUX, Aziz Ayman, yang menyatakan bahawa komitmen kos tetap jangka panjang adalah pendekatan era lama. Syarikat yang berfikiran ke hadapan pada tahun 2026 kini menuntut ketangkasan dalam struktur kos mereka. Menggunakan mobiliti korporat sebagai kajian kes sebenar, Aziz memperkenalkan FLUX sebagai model peralihan daripada kos tetap kepada fleksibel — satu cara untuk “Netflix-kan” armada korporat, dengan pertukaran atas permintaan, kos menyeluruh yang boleh diramal dan kecekapan cukai terbina dalam.

“Dalam pasaran hari ini, satu-satunya kepastian ialah perubahan — dan syarikat bertindak balas dengan menuntut fleksibiliti dalam mobiliti korporat mereka. Perniagaan yang bekerjasama dengan kami tidak membuat keputusan hari ini yang mengikat mereka untuk dua atau tiga tahun akan datang. FLUX menukar CAPEX mobiliti kepada perbelanjaan operasi supaya pelanggan boleh membesarkan, mengecilkan atau menukar armada mereka mengikut perubahan perniagaan. Syarikat yang tangkas tidak memiliki apa yang boleh mereka akses. Dalam ekonomi tidak menentu, akses berbanding pemilikan bukan lagi pilihan kewangan — ia kini satu strategi.” — Aziz Ayman, Pengasas & CEO, FLUX

Forum Perniagaan FLUX mencabar syarikat untuk kekal tangkas dalam tempoh yang ditandai pelbagai kejutan serentak. Organisasi yang paling bersedia untuk bersaing ialah mereka yang telah melakukan usaha disiplin untuk menghapuskan ketegaran daripada model operasi mereka — sebelum gangguan seterusnya memaksa persoalan tersebut.