Laluan Hijau Mampu Tangani Isu Kekurangan Buruh, Menurut MPN

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) — Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan penubuhan laluan hijau khas bagi mengurangkan birokrasi serta mempercepatkan kelulusan awal yang diperlukan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membolehkan mereka pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik COVID-19. 

Ahli Majlis MPN Datuk Kang Hua Keong berkata kebanyakan PKS menghadapi kesukaran dalam permintaan, mudah tunai serta pendapatan dan semua ini telah menjejaskan keupayaan mereka untuk beroperasi.

“Dua topik utama telah saya ketengahkan dalam mesyuarat majlis itu iaitu kekurangan tenaga kerja dan isu kewangan yang dihadapi PKS. Sepanjang dua tahun sekatan pergerakan, saya sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan tentang bagaimana kita boleh membantu PKS dalam menghadapi cabaran kewangan sehinggakan terpaksa membuang pekerja atau syarikat tidak mampu membayar upah pekerja mereka.”

Kang berharap kerajaan dapat mengeluarkan dasar-dasar bagi membantu PKS bertahan daripada muflis dan gangguan dalam operasi.

Bercakap kepada pemberita dalam satu taklimat media hari ini, Kang berkata kebanyakan PKS bakal  berdepan dengan tindakan perundangan sebaik sahaja kerajaan mengumumkan penyambungan semula semua operasi sektor ekonomi. 

“Adalah menjadi harapan majlis agar kerajaan dapat mengeluarkan dasar bagi mengatasi tindakan undang-undang yang diambil terhadap PKS yang menghadapi masalah kewangan daripada segi pembayaran balik pinjaman. Sekurang-kurangnya, berikan mereka tempoh satu atau dua tahun kerana ini akan membantu mereka pulih, walaupun perlahan,” katanya.

“Terdapat banyak laporan mengenai syarikat akan bankrap semasa pandemik, dengan institusi kewangan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang tidak mampu membayar balik.  Sehingga hari ini, banyak perniagaan masih menghadapi masalah aliran tunai dan ada yang menerima notis kebankrapan kerana tiada pelan dasar untuk menyokongnya,” kata Kang. 

Masalah kecairan aliran tunai serta pembiayaan PKS telah menjadi fokus utama NRC.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam laporan pemulihan syarikat daripada COVID-19 di Malaysia, “Business Pulse Survey, Februari-Mac 2022”, menyatakan hanya 39 peratus syarikat di Malaysia mempunyai tunai yang boleh bertahan kurang daripada satu bulan manakala 23 peratus menghadapi masalah pembayaran tertunggak.

Menurut laporan itu lagi, 75 peratus menghadapi kelewatan pembayaran oleh pelanggan manakala 11 peratus telah memfailkan insolvensi.

MPN telah mengemukakan dua cadangan kepada kerajaan untuk menangani aliran tunai serta masalah kewangan PKS melalui penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Berhubung Isu Kekangan Aliran Tunai dan Pembiayaan di bawah KUSKOP. 

“Majlis juga mengesyorkan agar bank diberi kebenaran untuk meneruskan penjadualan program atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) bagi PKS,” kata Kang.

Kekurangan buruh asing jejas pemulihan ekonomi 

Beliau ketika mengulas mengenai penawaran berkata PKS mengalami pengurangan tenaga kerja asing yang ketara selepas majoriti mereka pulang ke negara masing-masing berikutan sekatan pergerakan.

Masalah kekurangan tenaga kerja dalam pelbagai sektor terutama perladangan menyaksikan kerugian berjumlah hampir RM20 bilion pada 2021.

MPN dimaklumkan sebanyak 1,152,276 permohonan kuota pekerja asing diterima bagi semua sektor sehingga September 2022. Bagaimanapun, hanya 467,223 (40.5 peratus) telah diluluskan.

“Sehingga 12 Sept 2022, hanya 76,000 pekerja asing dibawa masuk ke negara ini,” katanya sambil menambah rantaian bekalan terganggu, menyebabkan kekurangan alat ganti dan barangan perantaraan serta perkhidmatan.

Kang berkata kerajaan perlu memberikan kelulusan yang menyeluruh kepada tenaga buruh. Sebagai contoh, sesiapa yang memohon pekerja asing, mereka harus mendapat sekurang-kurangnya 50 peratus daripada permohonan mereka, yang perlu diluluskan segera oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pusat sehenti bagi mengurangkan birokrasi selain mempercepatkan kelulusan perlu diwujudkan supaya PKS boleh beroperasi dan perlahan-lahan pulih daripada kesan pandemik.

Tambahan pula, ketidakstabilan politik telah menjejaskan proses pemulihan di negara ini, dengan banyak dasar masih tidak dapat dilaksanakan akibat pertukaran kerajaan. 

Oleh itu, dasar kerajaan tersebut diperlukan sebagai platform untuk perniagaan pulih dan membantu meningkatkan ekonomi negara dengan lebih cepat. 

“Kami sebenarnya tidak terlalu mengharapkan bantuan kewangan tetapi kami (PKS) sedang mencari lebih banyak dasar atau langkah yang boleh membantu menangani masalah kekurangan tenaga kerja dan isu kewangan lain. Jika ini ditangani, barulah PKS boleh bergerak ke hadapan,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/laluan-hijau-mampu-tangani-isu-kekurangan-buruh-menurut-mpn/

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

CIMB Securities Kekal Saranan ‘Neutral’ Ke Atas Sektor Hartanah

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) — CIMB Securities Sdn Bhd mengekalkan saran an ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, terutamanya di Johor, susulan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, memandangkan keputusan itu memberikan mandat yang jelas kepada pentadbiran baharu untuk memastikan kesinambungan pembangunan.

CIMB Securities dalam nota penyelidikannya hari ini memaklumkan bahawa ia termasuk pengumuman rasmi pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada suku keempat 2026, dengan sokongan daripada kerajaan perpaduan persekutuan.

Bank pelaburan itu juga menjangkakan pelancaran projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) Johor Bahru bernilai RM7 bilion pada separuh kedua 2026, berikutan pemberian surat hasrat kepada konsortium DOM Industries-MMC Engineering-Nylex- BTS Group Holdings.

Bagaimanapun, projek infrastruktur rentas sempadan yang lain, termasuk cadangan Laluan Link 2 Sistem Transit Rapid (RTS) Tuas-Iskandar Puteri dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, masih menunggu kejelasan dasar yang lebih lanjut.

“Walaupun kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, pelan tindakan JS-SEZ yang akan datang dan permulaan Laluan Link RTS pada suku pertama 2027 akan menyokong permintaan bagi hartanah kediaman bertanah dan perindustrian di Johor, dengan kesan limpahan faedah kepada aset komersial dan runcit di koridor pertumbuhan utama,” menurut nota penyelidikan itu.

Nilai tanah industri utama dilaporkan telah meningkat dua kali ganda kepada RM150 bagi setiap kaki persegi daripada RM 70-RM80 bagi setiap kaki persegi pada 2024, didorong oleh permintaan berterusan berkaitan pusat data, dengan pencarian tanah semakin beralih ke luar Johor Bahru disebabkan oleh kekangan bekalan tenaga dan air.

Namun, CIMB Securities memberi amaran mengenai segmen kediaman bertingkat tinggi di Johor Bahru, di mana data suku pertama 2026 daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) menunjukkan stok sedia ada sebanyak 108,863 unit pangsapuri perkhidmatan, serta bekalan masuk dan dalam perancangan masing-masing sebanyak 41,832 dan 18,712 unit sehingga 2030/2031.

Ia meningkatkan risiko lambakan bekalan sekiranya permintaan gagal seiring dengan bekalan tambahan tersebut.

Dalam senarai analisisnya, UEM Sunrise kekal sebagai pilihan utama bagi peningkatan semula nilai tanah Johor, memandangkan simpanan tanah Iskandar Puteri yang luas dan pelan induk perindustrian Gerbang Nusajaya yang akan datang pada suku pertama
2027.

Pemaju lain yang mempunyai pendedahan ketara kepada kawasan sekitar Laluan Link R’TS termasuk Eco World, Mah Sing Sunway, SP Setia dan KSL Holdings.

Sementara itu, Perkhidmatan Tren Elektrik Kuala Lumpur-JB Sentral yang baharu telah meningkatkan ketersambungan dalam negeri dan membuka peluang pembangunan di daerah sekitar, sekali gus memberi manfaat kepada Matrix Concepts menerusi perbandaran Bandar Seri Impian miliknya di Kluang.

Dalam PRN diadakan pada 11 Julai, 2026, Barisan Nasional mengekalkan penguasaan di Johor dengan majoriti dua pertiga yang besar, selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi dipertandingkan.

BERNAMA