Lima Telco Meterai Janji Niaga Akses 5G Dengan DNB

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) — Lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu U Mobile Sdn Bhd, Celcom Networks Sdn Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd, menandatangani Perjanjian Akses (AA) dengan Digital Nasional Bhd (DNB) pada 30 Okt 2022 untuk menyediakan perkhidmatan 5G di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa memberitahu pada sidang media yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasminya awal hari ini bahawa lima daripada enam syarikat telekomunikasi telah menandatangani AA masing-masing dengan DNB.

Sementara itu, Maxis Bhd, yang tidak menandatangani perjanjian dengan DNB, berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa ia sedang menilai keperluan tadbir urus untuk perjanjian akses 5G dan komited untuk menyelesaikannya secepat mungkin.

U Mobile dalam kenyataan semalam berkata ia akan menyediakan perkhidmatan 5G kepada pelanggannya mulai 3 Nov 2022 dan selanjutnya selepas pemeteraian itu.

“Bermula 3 Nov dan seterusnya, pelanggan pelan pascabayar dan prabayar U Mobile berkeupayaan 5G akan dapat menikmati manfaat kesalinghubungan 5G apabila menggunakan peranti bersesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Wong Heang Tuck berkata U Mobile menyokong visi kerajaan bagi rangkaian borong tunggal untuk pelaksanaan 5G dengan semua pengendali akan mempunyai akses terhadap rangkaian yang sama tanpa pembezaan dari segi kelajuan dan kualiti.

“Kami percaya DNB akan memenuhi mandat untuk menyediakan liputan dan kapasiti 5G yang berkualiti dengan adil dan tanpa diskriminasi.

“Kami berharap dapat menyediakan perkhidmatan 5G daripada rangkaian tunggal DNB, meletakkan kami pada kedudukan sama seperti yang lain dalam industri bagi 5G,” katanya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axiata Group Bhd berkata anak syarikat milik penuhnya melalui Celcom Axiata Bhd, Celcom Networks telah menandatangani AA dengan DNB bagi membolehkan akses borong Celcom terhadap rangkaian 5G DNB.

Dalam kenyataan berasingan, syarikat telekomunikasi itu berkata pelanggan Celcom termasuk pelanggan Celcom Business yang mempunyai peranti berkeupayaan 5G dan melanggan pelan pascabayar dan prabayar Celcom terpilih akan mempunyai akses secara automatik ke atas perkhidmatan rangkaian 5G di kawasan liputan 5G mulai 1 Nov 2022.

Sementara itu, Digi.Com Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata anak syarikat milik penuhnya Digi Telecommunications telah memeterai AA dengan DNB bagi akses kepada rangkaian borong tunggal 5G pada 30 Okt 2022.

Dalam kenyataan berasingan, Digi berkata ia akan melanggan rangkaian borong 5G DNB untuk tempoh 10 tahun bagi membangunkan dan menawarkan perkhidmatan runcit pelanggan akhir termasuk kesalinghubungan 5G.

Terdahulu, TM dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata ia telah menandatangani AA dengan DNB pada 30 Okt 2022 untuk melanggan perkhidmatan 5G terkawal DNB termasuk, tetapi tidak terhad kepada, produk rangkaian borong 5G nasional.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/lima-telco-meterai-janji-niaga-akses-5g-dengan-dnb/

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama