PNB Lancar ASN Sukuk Sempena MSAM 2022 Di Port Dickson

PORT DICKSON, 24 Nov (Bernama) — Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini melancarkan dana unit amanah pendapatan tetap, ASN Sukuk sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 di sini.

Pengerusi Kumpulan PNB Tun Arifin Zakaria berkata dana harga berubah baharu itu memfokuskan kepada pelaburan dalam pelbagai portfolio Sukuk (instrumen pendapatan Islam) dengan 80 hingga 99 peratus daripada Nilai Aset Bersih dana tertumpu kepada aset kelas tersebut termasuk Terbitan Pelaburan Kerajaan.

Katanya dana sukuk pertama itu diperkenalkan sejajar dengan usaha Kumpulan PNB untuk memperluaskan rangkaian penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelabur dalam negara.

“ASN Sukuk menyasarkan pelabur dengan tahap toleransi risiko konservatif yang cenderung kepada pendapatan stabil dan mampan dalam jangka masa sederhana hingga panjang.

“Dengan pelancaran unit amanah ini iaitu tambahan kepada unit amanah sedia ada, ASNB kini menawarkan pelbagai produk yang terdiri daripada dana harga tetap, dana ekuiti, aset campuran terimbang dan dana konservatif dan terkini dana pendapatan tetap,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran MSAM 2022 hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB Muzzaffar Othman berkata dana baharu itu mempunyai beberapa ciri termasuk pelaburan minimum RM10 dengan pelaburan tambahan serendah RM1.

Beliau berkata mulai esok, pelabur boleh melanggan ASN Sukuk secara dalam talian di portal dan aplikasi mudah alih myASNB, perbankan internet, ejen ASNB atau perkhidmatan kaunter di semua cawangan di seluruh negara dengan harga tawaran permulaan RM1 seunit semasa tempoh tawaran permulaan selama 21 hari.

“ASN Sukuk adalah produk yang sesuai pada masa ini kerana kita tahu ekonomi kurang memberangsangkan berikutan kesan COVID-19.

“Oleh itu, untuk masa sekarang kita lancarkan ASN Sukuk ini untuk mengurangkan risiko dan ia adalah waktu terbaik untuk mereka yang ingin memulakan pelaburan,” katanya.

MSAM 2022 yang merupakan acara literasi kewangan tahunan PNB berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini dan disertai oleh pelbagai syarikat strategik PNB termasuk Maybank Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan UMW Holdings Bhd.

Seramai 150,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan program yang bertemakan ‘Melestarikan Pelaburan Ke Arah Masa Hadapan Mampan’ selain pelbagai hadiah menarik bernilai hampir RM1 juta ditawarkan kepada pengunjung bertuah termasuk sebuah kereta elektrik Hyundai Kona e-Lite.

MSAM 2022 kali ini turut menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai kira-kira 50 pempamer daripada syarikat Kumpulan PNB, ejen ASNB, badan kawal selia serta agensi kerajaan negeri.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pnb-lancar-asn-sukuk-sempena-msam-2022-di-port-dickson/

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.