Penerbangan Laluan KL-Brisbane Digantung Di Bawah Pelan Rasionalisasi Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) — Malaysia Airlines akan menggantung penerbangan laluan Kuala Lumpur-Brisbane berkuat kuasa 27 Mac 2023 di bawah proses rasionalisasi laluan yang akan dijalankan pada suku pertama tahun depan sebagai sebahagian daripada kajian terhadap perniagaannya yang sedang berjalan sekarang.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan hari ini berkata operasi penerbangan tanpa henti antara Kuala Lumpur ke empat destinasi Australia sedia ada lain iaitu Adelaide, Sydney, Perth, dan Melbourne akan diteruskan tanpa sebarang perubahan, menyediakan sehingga 43 perkhidmatan penerbangan terus dalam seminggu antara Australia dan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Izham Ismail berkata syarikat penerbangan itu telah membuat keputusan sukar untuk menggantung operasinya ke Brisbane bagi memastikan ia dapat beroperasi dan menggunakan armadanya pada tahap optimum serta memaksimumkan hasil bagi setiap laluan penerbangan ketika menghadapi cabaran daripada kenaikan dalam kos bahan api, pertukaran asing dan kadar faedah.

Beliau juga berkata tempahan untuk bandar raya Australia yang lain adalah sangat menggalakkan dengan permintaan yang kukuh sehingga dan selepas suku pertama 2023 dengan jumlah tempahan jauh melebihi daripada tempoh yang sama pada 2019.

“Kami kekal fokus untuk meningkatkan rangkaian kami untuk mencapai pemulihan sepenuhnya menjelang tahun 2024.

“Setakat ini, kami telah menggunakan kapasiti pada 76 peratus sehingga kini dan menjangkakan menamatkan tahun ini dengan kapasiti 82 peratus tahap prapandemik di seluruh rangkaian tetapi Australia telah pulih lebih cepat, ia tidak termasuk penggantungan penerbangan laluan Brisbane. Rangkaian Australia Malaysia Airlines akan berada pada kapasiti 98 peratus tahap prapandemik menjelang Mac 2023,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata pelanggan yang mengembara ke Brisbane boleh memanfaatkan perkongsian kodnya dan rakan kongsi oneworld Qantas dan menyambung dari Sydney dan Melbourne ke Brisbane selepas penggantungan penerbangan terus Kuala Lumpur-Brisbane.

“Malaysia Airlines terus mengekalkan kesalinghubungan yang stabil antara Malaysia dan Australia dan membina semula trafik antara kedua-dua negara dengan pantas untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyokong perniagaan dan perdagangan,” kata Malaysia Airlines.

Penerbangan terakhir penerbangan laluan tersebut akan berlepas dari Brisbane ke Kuala Lumpur pada 26 Mac 2023 melalui pesawat MH134.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/penerbangan-laluan-kl-brisbane-digantung-di-bawah-pelan-rasionalisasi-malaysia-airlines/

Previous ArticleNext Article

Türkiye Umum Prestasi Sektor Pelancongan 2025: Terima Kehadiran 64 Juta Pengunjung, Negara Jana AS$65 bilion Hasil Pendapatan Pelancongan, Catat Rekod Tertinggi 

KUALA LUMPUR, 6 FEBRUARI 2026 – Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Türkiye, Mehmet Nuri Ersoy, mengumumkan prestasi sektor pelancongannya bagi tahun 2025 pada sidang akhbar yang diadakan di İstanbul. Beliau menyatakan bahawa bilangan pengunjung ke Türkiye sepanjang tahun 2025 adalah seramai 64 juta manakala hasil pendapatan pelancongan pada tahun lalu adalah sebanyak AS$65,231 bilion. 

Menteri Ersoy menekankan bahawa sektor pelancongan Turki kini sudah menjadi kuasa bukan sahaja pada skala serantau tetapi juga di peringkat global, menurut data daripada Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-bangsa Bersatu. Beliau mengingatkan pada tahun 2017, Türkiye berada pada kedudukan kelapan dalam kalangan negara yang menerima kunjungan paling ramai pelancong di dunia, namun menjelang 2024 ia meningkat pada kedudukan keempat. Ersoy turut menyatakan, dari segi hasil pendapatan pelancongan, Türkiye berada pada kedudukan ke-15 pada tahun 2017 tetapi meningkat ke tangga ketujuh pada 2024, dan beliau mengumumkan sasaran sebanyak AS$68 bilion bagi tahun 2026.

Menteri Ersoy berkata, Türkiye kini memiliki tahap kepekaan yang kuat dan pengalaman serius dalam menguruskan krisis. Malah beliau menyatakan bahawa sektor pelancongan Türkiye telah melangkah lebih jauh, bukan sekadar pelancongan berorientasikan laut, pasir dan matahari. Terdapat kepelbagaian yang semakin berkembang dalam bermacam bidang seperti pelancongan budaya dan kepercayaan, pelancongan alam semula jadi dan eko, pelancongan arkeologi, kesihatan dan tenaga haba, pelancongan gastronomi, kongres dan festival, pelancongan pelayaran serta pelancongan musim sejuk.

Menteri Ersoy berkata, visi ‘Warisan untuk Masa Hadapan’ dan projek Muzium Malam adalah antara beberapa pencapaian di dunia yang mampu disempurnakan oleh sebilangan kecil negara, dan Türkiye menjadi salah satu contoh negara yang paling berjaya dalam bidang ini. Model “miniseries’ yang digunakan dalam strategi promosi turut mencapai kejayaan di peringkat global, dan menurut beliau, satu episod berkenaan iaitu “An Istanbul Story’ mencapai 32 juta tontonan, malah kandungan yang paling kurang disaksikan pula mencatat 10 juta tontonan. 

Ringkasan prestasi pelancongan Türkiye 2025:

 Pertumbuhan 2024-2025Pertumbuhan 2017-2025Pertumbuhan 2024-2025
Bilangan pengunjung:63.941.000+2.7%+68%
Pendapatan pelancongan:65,231 billion USD+6.8%+109%
Perbelanjaan satu malam:100,0 USD+3.6%+36%

3 pasaran terbesar Türkiye:

1.      Persekutuan Russia: 6.90 Juta

2.      Jerman: 6.75 Juta

3.      UK: 4.27 Juta