CEO Bursa Malaysia Ambil Alih Jawatan Pengerusi CEO Action Network

KUALA LUMPUR, 5 Dis   (Bernama) — Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift kini mengetuai CEO Action Network (CAN), gabungan informal yang menumpukan kepada kemampanan pertama di Malaysia bagi CEO terkemuka dan pembuat keputusan korporat kanan, sebagai pengerusi jawatankuasa pemandu.

Ahli Pengasas dan bekas Pengerusi CAN Datuk Tengku Muhammad Taufik, yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), menyerahkan baton kepimpinan kepada Muhammad Umar dalam dialog jamuan tengah hari CEO anjuran Kelab Petroleum Malaysia baru-baru ini.

Tengku Muhammad Taufik yang berkhidmat selama dua tahun berkata, sejak penubuhannya pada akhir 2020, CAN telah muncul sebagai suara korporat Malaysia yang boleh dipercayai mengenai perniagaan mampan dan pembangunan mampan.

“Sebagai gabungan pemimpin yang mempunyai matlamat, usaha kami akan terus tertumpu kepada membina kapasiti terhadap kemampanan (dan) menggerakkan sumber serta peralatan yang diperlukan untuk menyokong usaha integrasi alam sekitar, kemampanan dan tadbir urus.

“Paling penting, (gabungan ini) ialah mencari penyertaan aktif peringkat CEO industri dalam membentuk dan/atau menyokong dasar kemampanan serta peraturan yang akan membantu Malaysia memenuhi komitmen globalnya terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Perjanjian Paris,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Muhammad Umar berkata bahawa CEO di Malaysia juga mempunyai cita-cita untuk mencapai matlamat global yang berkaitan seperti SDG PBB, tanpa mengabaikan keutamaan tempatan.

“Saya berharap untuk mengangkat CAN menjadi daya penggerak utama bagi amalan ESG yang baik, dengan rakan-rakan CEO yang memimpin melalui teladan dalam memperjuangkan tahap celik ESG yang lebih tinggi dan penumpuan ke arah penanda aras kemampanan bersama dalam kalangan korporat Malaysia daripada semua saiz dan industri,” kata bakal pengerusi itu. 

Dalam tempoh dua tahun lalu, ahli-ahli CAN telah berusaha untuk mengadakan 21 sesi meja bulat meliputi isu berkaitan kemampanan dan cadangan dasar untuk tujuh sektor industri kritikal, membantu membina kapasiti kepada hampir 1,000 pengamal kemampanan dan melancarkan 10 aset pembelajaran digital untuk perusahaan bersaiz kecil dan sederhana dalam rantaian bekalan organisasi anggotanya, kata kenyataan itu.

Ahli CAN juga telah memulakan proses untuk merangka dasar model dengan intervensi bagi menyokong ahlinya mengenai isu-isu kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman, katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/ceo-bursa-malaysia-ambil-alih-jawatan-pengerusi-ceo-action-network/

Previous ArticleNext Article

Moomoo Malaysia Perluas Jejak Runcit Dengan Pelancaran Dua Kedai Di 1 Utama Shopping Centre Dan Pavilion Bukit Jalil

Kuala Lumpur, 22 April 2026 — Moomoo Securities Malaysia Sdn. Bhd. (Moomoo MY), anak syarikat Futu Holdings Limited (NASDAQ: FUTU), mengumumkan pembukaan dua kedai fizikal baharu di 1 Utama Shopping Centre dan Pavilion Bukit Jalil, sekali gus menegaskan komitmennya untuk memperkukuh hubungan dengan pelabur tempatan serta mewujudkan ruang yang mudah diakses bagi komuniti moomoo berkumpul, berkongsi pengalaman, belajar antara satu sama lain dan memperdalam pengetahuan kewangan bersama.

Terletak di dua destinasi gaya hidup utama di Lembah Klang, Moomoo Stores baharu ini menandakan langkah seterusnya dalam pengembangan “phygital” jenama tersebut di Asia Tenggara menggabungkan keupayaan platform digitalnya dengan ruang fizikal yang direka untuk interaksi di luar skrin, di mana pelabur boleh berhubung, belajar dan berkembang.

Direka dengan mengambil kira keperluan pelabur rentas pasaran masa kini, kedai-kedai ini menawarkan sokongan secara langsung, demonstrasi aplikasi secara langsung serta alat pasaran masa nyata yang memudahkan akses kepada peluang tempatan dan global. Pengunjung juga boleh merasai sendiri ekosistem Moomoo yang lebih luas, termasuk Moomoo API Skills, yang membantu menterjemah idea pelaburan kepada pelaksanaan melalui ciri intuitif berasaskan data.

Walaupun pelaburan semakin bersifat digital, Moomoo menyedari bahawa interaksi bersemuka masih penting dalam membina kepercayaan, terutamanya bagi pelabur yang membuat keputusan lebih teliti merentasi pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Moomoo Malaysia, Ivan Mok berkata, “Jangkaan pelabur hari ini melangkaui sekadar akses pasaran. Ia semakin tertumpu kepada sejauh mana pengalaman pelaburan itu intuitif, bermaklumat dan memberi kuasa kepada pelabur. Kami melihat ruang fizikal sebagai pelengkap penting kepada platform digital kami khususnya dalam membantu pelabur menyusun pemikiran, memperhalusi strategi dan mendekati pasaran tempatan serta global dengan lebih jelas.

Pembukaan kedai baharu ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa masa depan pelaburan akan dibentuk oleh gabungan teknologi, pendidikan dan hubungan manusia visi phygital kami dalam tindakan.”

Lokasi baharu ini menyediakan satu lagi saluran kepada pengguna untuk mengakses sumber platform dalam suasana yang lebih berpandu dan diperibadikan. Dibina atas kehadiran Moomoo yang semakin berkembang di Malaysia, ia mencerminkan visi syarikat untuk menggabungkan inovasi digital dengan interaksi fizikal yang bermakna.

Dengan Pavilion Bukit Jalil dan 1 Utama, dua pusat beli-belah bandar dengan trafik tinggi di Lembah Klang kini menjadi sebahagian daripada rangkaiannya, Moomoo Malaysia terus menyokong lebih ramai rakyat Malaysia meneroka pelaburan dengan lebih mudah dan selesa.

Kepimpinan Pasaran dan Pertumbuhan Pelabur yang Berterusan

Pengembangan ini juga membina momentum berterusan Moomoo Malaysia dalam pasaran, termasuk pengiktirafan terbaharu di Bursa Malaysia Retail Salesforce Awards, di mana jenama ini mengekalkan kedudukannya selama dua tahun berturut-turut sebagai Broker Terbaik bagi Bilangan Akaun Baharu Tertinggi dan Nilai Dagangan Tertinggi daripada Akaun Baharu.

Pencapaian ini mencerminkan peningkatan penyertaan dalam pelaburan digital di Malaysia, apabila lebih ramai individu mengambil peranan aktif dalam mengurus kewangan mereka. Seiring pertumbuhan komuniti ini, pengenalan kedai fizikal berfungsi sebagai sokongan tambahan dengan menyediakan lebih banyak titik sentuhan bagi pelabur memperdalam pemahaman mereka terhadap platform dan pasaran.

Platform digital Moomoo, yang terkenal dengan akses lancar ke pasaran global utama termasuk Amerika Syarikat, China dan Hong Kong, telah membina komuniti lebih 29 juta pengguna di seluruh dunia. Sejak memasuki Malaysia pada awal 2024, Moomoo telah menjadi aplikasi dagangan No. 1 di negara ini, mencerminkan peranan Malaysia yang semakin penting dalam pelaburan digital serta kepentingan strategiknya dalam peluasan Moomoo di Asia Tenggara.

Kedai baharu ini menandakan fasa seterusnya dalam perjalanan tersebut, membawa model phygital jenama ini lebih dekat dengan kehidupan harian komuniti moomoo.

Pelaburan melibatkan risiko. Penafian penuh di https://www.moomoo.com/my/support/topic9_37. Iklan ini tidak disemak oleh Suruhanjaya Sekuriti.