2022 Tahun Suram Bagi Industri Getah, Tempuh Keadaan Permintaan Semakin Kecil

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — Susulan permintaan getah dan sarung tangan getah yang didesak oleh pandemik semakin berkurangan pada 2022, industri ini juga terpaksa menempuhi tempoh suram apabila kalangan pengilang melaporkan penggunaan kemudahan pengeluaran hanya pada 50 hingga 55 peratus, meskipun munculnya varian baharu COVID-19.

Data yang dijana oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) menunjukkan pendapatan eksport industri ini untuk 2022 bagi tempoh Januari hingga Ogos merosot 44.9 peratus kepada RM26 bilion daripada RM54.6 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan eksport bagi keseluruhan tahun dijangka berjumlah RM40 bilion, susut 44 peratus daripada RM71 bilion pada 2021, disebabkan kemerosotan nilai eksport produk getah, terutama harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah bagi sarung tangan getah.

Cabaran lain adalah ketidakstabilan atau harga getah yang tidak menarik serta kekurangan tenaga kerja.

Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata pengeluaran getah dalam sektor kebun kecil banyak bergantung kepada penoreh asing.

“Rekod kami menunjukkan 24.3 peratus daripada pemegang kad Permit Autoriti Transaksi-Getah (PAT-G) ialah pemilik tanah dan mereka berkemungkinan besar menggaji penoreh asing.

“Memandangkan hanya sebilangan kecil penoreh asing yang masuk ke negara ini disebabkan isu imigresen dan ringgit yang semakin lemah, sebilangan besar kawasan tanah masih belum ditoreh,” katanya kepada Bernama.

Penurunan ASP

Presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Dr Supramaniam Shanmugan berkata ASP melonjak semasa pandemik namun mengalami penurunan sejak awal tahun ini.

“Bagaimanapun, penurunan ASP sebenarnya adalah stabil. Oleh yang demikian, kami menjangkakan ASP meningkat secara perlahan-lahan namun konsisten, sehingga baki stok sarung tangan yang ada habis sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata walaupun eksport keseluruhan bagi 2022 dijangka menurun, tetapi nilainya masih lebih tinggi berbanding yang direkodkan pada 2019.

Bagi 2022 untuk tempoh Januari hingga Jun, industri getah mengalami penurunan kira-kira 18 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021 kerana terdapat stok yang masih dipegang oleh pembeli semasa pandemik memuncak, katanya.

Sehingga 30 Jun, sebanyak 116.7 bilion keping sarung tangan telah dieksport.

Supramaniam berkata persatuan itu juga menjangkakan eksport pada 2022 dan tahun-tahun berikutnya terus berada dalam aliran meningkat dengan kenaikan tahunan kira-kira 10 hingga 12 peratus tahun ke tahun.

Beliau berkata selain itu, industri juga masih berusaha untuk pulih daripada kesan pandemik global dan perang Rusia-Ukraine di samping isu di peringkat tempatan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menghalang beberapa rancangan pengembangan serta usaha yang diperlukan untuk menjajarkan industri dengan Piawaian Buruh Antarabangsa (ILO).

“Kita bersyukur kerana sejak penarikan balik PKP, kerja-kerja telah disambung semula dan kami dapat terus meneliti usaha untuk meningkatkan beberapa langkah ini dan terus bekerjasama dengan ILO.

“Baru-baru ini kita telah menyelesaikan bengkel mengenai Piawaian Buruh Antarabangsa dan Undang-undang Buruh di Malaysia bersama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri untuk ahli,” katanya.

‘Underweight’ bagi Kaunter Sarung Tangan Getah

Firma pembrokeran CGS-CIMB Securities Sdn Bhd berpandangan bahawa saham sarung tangan dalam sektor ini mempunyai, pada asas wajaran pasaran, syor mutlak negatif atau ‘underweight;

Menurutnya tempoh sukar masih berlaku dan kalangan syarikat tersenarai memerlukan satu hingga dua tahun untuk kembali mencatatkan tahap keuntungan sebelum pandemik berlaku.

“Walaupun pembuat sarung tangan di seluruh dunia memperlahankan rancangan peningkatan kapasiti mereka secara ketara namun, dinamik industri kekal diterajui bekalan dengan permintaan yang berkurangan, dan banyak bekalan diagihkan semasa pandemik memuncak bagi tempoh 2020 hingga 2021.

“Pada pandangan kami, sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun diperlukan untuk meredakan keadaan lebihan bekalan, sebelum pendapatan pembuat sarung tangan kembali kepada tahap sebelum pandemik,” katanya.

Ia menjelaskan secara positif, semua syarikat sarung tangan disokong oleh kedudukan tunai bersih yang kukuh (RM600 juta hingga RM2.8 bilion), yang boleh menyokong keperluan aliran tunai dalam jangka panjang.

Prospek

Menurut LGM industri getah Malaysia diunjurkan mengalami pertumbuhan sederhana pada 2.5 peratus tahun depan dengan merekodkan pendapatan eksport berjumlah RM41 bilion berbanding RM40 bilion pada tahun ini.

Badan kawal selia industri itu menjelaskan kebanyakan sektor dijangka mencatatkan peningkatan nilai eksport seperti sektor produk getah (meningkat tiga peratus kepada RM32 bilion) dan produk getah lain (menokok dua peratus kepada RM1.9 bilion).

Bagaimanapun nilai eksport sektor getah asli berkemungkinan susut 3.7 peratus kepada RM7.15 bilion.

“Secara keseluruhan, prestasi industri ini pada 2023 dijangka lebih baik daripada tahap sebelum COVID-19 berlaku (2019:RM31.1 bilion).

“Dari segi pengeluaran getah pula, ia diunjurkan mencecah kira-kira 420,000 tan pada tahun depan, lebih tinggi daripada pengeluaran pada 2022,” tambahnya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/2022-tahun-suram-bagi-industri-getah-tempuh-keadaan-permintaan-semakin-kecil/

Previous ArticleNext Article

56 Peratus Isi Rumah PPR Cuma Ada Simpanan Hingga 3 Bulan, 17 Peratus Langsung Tiada

KUALA LUMPUR: Lebih separuh isi rumah yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di Lembah Klang hanya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka antara satu hingga tiga bulan sekiranya berdepan kejutan kewangan.

Menurut laporan ‘From Roof to Resilience: A Social Assessment of Malaysia’s Public Housing’ oleh Think City, 56 peratus isi rumah mempunyai simpanan bagi tempoh berkenaan, manakala 17 peratus lagi langsung tidak mempunyai simpanan.

“Dapatan ini menggambarkan sebuah komuniti yang berada dalam keadaan ekonomi tidak kukuh, di mana kejadian seperti masalah kesihatan, kerosakan kenderaan atau kehilangan sumber pendapatan boleh memberi kesan negatif yang serius kepada isi rumah.

“Bagi kebanyakan keluarga, sumber utama dana kecemasan adalah melalui simpanan peribadi atau keluarga, selain terpaksa mendapatkan bantuan daripada pajak gadai.

“Keadaan ini menunjukkan pilihan kewangan yang terhad serta mengukuhkan lagi kedudukan mereka yang serba rapuh dari segi ekonomi,” katanya.

Think City ditubuhkan pada 2009 oleh Khazanah Nasional Bhd, sayap pelaburan kerajaan Malaysia.

Kajian berkenaan membabitkan 2,884 isi rumah di 10 kawasan perumahan awam dan PPR di Lembah Klang sepanjang 2023 menerusi Program Kita-untuk-Kita (K2K) yang dibiayai Kementerian Kewangan.

Antara kawasan yang terlibat ialah PA Seri Selangor, PA Seri Sarawak, PA Hang Tuah, PA Seri Cempaka, PA Seri Kota, PPR Taman Mulia, PA Seri Sabah 3A, PPR Desa Tun Razak, PPR Kampung Baru Hicom dan PPR Lembah Subang 1.

Menurut Think City, hampir 40 peratus keluarga di kawasan kajian bergantung kepada seorang pencari nafkah sahaja, manakala kira-kira sembilan peratus isi rumah dilaporkan tidak mempunyai pencari nafkah.

Laporan itu turut mendapati tanggungjawab menjaga anak dan warga emas menjadi antara faktor yang mengehadkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan, sekali gus menyekat pertumbuhan pendapatan isi rumah.

Think City berkata, gabungan pendapatan yang rendah dan tidak stabil menyebabkan ramai penghuni perumahan awam sukar membina daya tahan kewangan walaupun terhadap kejutan ekonomi yang kecil.

Menurut laporan itu, kos sara hidup di sesetengah kawasan turut meningkat akibat faktor setempat seperti kerosakan lif yang kerap, isu keselamatan dan stigma terhadap kawasan perumahan berkenaan yang secara tidak langsung menjejaskan akses kepada peluang ekonomi.

Think City berkata, keadaan itu berisiko menjadikan perumahan awam sebagai perangkap kemiskinan sekiranya peluang mobiliti sosial dan ekonomi terus terbatas, sekali gus menyebabkan kelompok berpendapatan rendah kekal tertumpu di kawasan yang sama untuk tempoh yang panjang.

Kajian itu turut mendedahkan hampir satu daripada setiap 10 isi rumah (9 peratus) melaporkan bahawa mereka tidak mempunyai pencari nafkah.

“Dapatan ini membimbangkan kerana ia menunjukkan kewujudan kelompok kemiskinan yang ketara dalam komuniti berkenaan.

Kajian turut mendapati bahawa daripada isi rumah yang tidak mempunyai pencari nafkah, sebanyak sembilan peratus mempunyai ahli keluarga orang kurang upaya (OKU).

“Sehubungan itu, usaha menyasarkan golongan ini serta memastikan mereka mendapat akses kepada bantuan sosial yang sewajarnya perlu diberikan perhatian sebagai satu keutamaan dasar yang penting,” katanya.

— Berita Harian