
KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — Jualan automotif UMW Holdings Bhd melonjak kepada paras tertinggi baharu pada November 2022 apabila kumpulan menyerahkan 39,034 unit pada bulan itu, iaitu 11 peratus lebih tinggi daripada 35,130 unit yang dicatatkan pada Oktober 2022.
Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua mencatatkan rekod jualan berikutan kedua-dua syarikat terus memenuhi tempahan tertunggak masing-masing yang memberangsangkan.
Bagi tempoh Januari 2022 dan November 2022, UMW Group menyerahkan 341,390 unit iaitu 48 peratus lebih tinggi daripada 230,355 unit dicatatkan pada tempoh sama 2021 yang terjejas disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan penuh bermula 1 Jun hingga 15 Ogos 2021.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan UMW Holdings Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata UMWT dan Perodua telah menambah pengeluaran pada November dengan sokongan rantaian yang bekalan lebih baik dan akan terus meningkatkan pengeluaran untuk mempercepat penghantaran kereta kepada pelanggan.
“Menerusi jualan kukuh dicatatkan setakat ini, terutamanya berikutan pengecualian cukai jualan serta pengenalan model-model baharu, kami berupaya untuk mencapai sasaran jualan bagi 2022 pada November.
“Kami menjangkakan jualan akan kekal kukuh pada Disember berdasarkan tempahan yang menggalakkan,” katanya.
UMWT mencatatkan jualan tertingginya bagi 2022 menerusi penghantaran 10,442 unit pada November 2022 iaitu 13 peratus lebih tinggi berbanding 9,281 unit direkodkan pada bulan sebelumnya dan setakat ini bagi tahun ini, ia merekodkan 90,595 unit, pertumbuhan 44 peratus berbanding 63,105 unit dicatatkan pada tempoh sama 2021.
Perodua meraih jualan bulanan tertingginya dengan mencatatkan 28,592 unit pada November 2022 iaitu 11 peratus lebih tinggi daripada 25,849 unit dicatatkan pada Oktober 2022.
Bagi 11 bulan pertama 2022, jualan Perodua melonjak sebanyak 50 peratus kepada 250,795 unit daripada 167,250 unit dicatatkan bagi tempoh sama 2021 sekali gus melepasi sasaran jualannya pada tahun ini iaitu 247,800 unit.
— BERNAMA
Artikel asal: https://thekapital.my/umw-jual-39034-kenderaan-pada-november-2022/