Airasia Ride Rancang Masuki Pasaran Singapura Menjelang Jun 2023

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — Capital A Bhd merancang melancarkan perkhidmatan e-hailingnya, airasia ride, di Singapura pada Jun tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Tony Fernandes berkata proses untuk mendapatkan lesen bagi perkhidmatan di Singapura sedang berjalan dan kumpulan itu menjangkakan bakal memperolehnya pada suku pertama tahun ini.

“Kita akan tawarkan perkhidmatan ke lebih banyak bandar di Malaysia dan seterusnya di Singapura pada Jun, kemudian kita sasarkan Filipina dan seterusnya,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penghargaan Rakan Penghantar dan Pemandu airasia Super App, di sini, hari ini.

Ketika ini, syarikat tersebut beroperasi di pasaran Malaysia, Thailand dan Indonesia. 

Fernandes berkata setakat ini, terdapat sekurang-kurangnya 400 pemandu sepenuh masa dengan airasia ride. 

“Begitu juga bagi airasia food, peningkatan jumlah rakan penghantar sepenuh masa, yang berjumlah kira-kira 100 orang pada masa ini, telah mencapai kadar menyelesaikan penghantaran (pesanan) yang lebih tinggi pada 85 peratus dan meningkatkan kepantasan penghantaran dengan ketara, katanya.

“Pada asasnya, program pekerjaan sepenuh masa untuk pemandu dan rakan penghantar kami bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan kecekapan tetapi juga mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan menyediakan kepada mereka keseimbangan kerja-kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau airasia ride, Lim Chiew Shan berkata kumpulan itu sedang mengkaji kombinasi pemandu sepenuh masa dan fleksibel bagi pasaran Singapura.

“Kami menyasar meraih keuntungan (bermula) tahun ini dan ada kemungkinan bahawa kami akan menjadi syarikat pandu-hailing pertama yang menjana keuntungan dalam tempoh dua tahun selepas dilancarkan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.