4 Amalan Penting Untuk Tingkatkan Simpanan Anda

Bila masuk bab menyimpan duit, ramai yang masih terumbang-ambing dan mengelak untuk melakukan simpanan. Walaupun pada hakikatnya, kita sebenarnya mampu untuk menyimpan dengan jumlah yang lebih.

Habis itu, nak tunggu dilanda bencana dan musibah baru nak ada kesedaran nak menyimpan? Kalau dah kena baru nak sedar diri, ianya mungkin sudah terlambat. Kena mula dari sekarang dan bangkit untuk berhadapan dengan realiti kehidupan.

Bukannya terus membazir dan mensia-siakan masa muda yang kita ada dan masih jauh perjalanan hidup. Zaman sekarang ini adalah zaman di mana semua benda perlu pakai duit. Nak masuk tandas awam pun kena pakai duit juga.

Berikut merupakan 4 amalan penting untuk menggandakan simpanan anda.

1. Kaji Rekod Kewangan Lepas

This image has an empty alt attribute; its file name is purse-wallet-money-finances-waist-bags-pay-700x467.jpg

Apa yang dimaksudkan di sini adalah anda perlu menyemak semula rekod-rekod kewangan lalu dan mencari punca kewangan anda sering bocor sehingga menyebabkan anda tak mampu untuk menyimpan.

Adakah sebelum ini, gaya hidup anda yang mempengaruhi simpanan anda? Adakah perbelanjaan anda melebihi pendapatan? Atau adakah sikap boros anda yang menyebabkan poket anda sentiasa kosong sehingga tak dapat membuat simpanan?

Dengan membuat latihan ini, kita boleh tahu di mana terletaknya pembaziran dan boleh mula berjimat cermat. Cukup-cukuplah selama ini kita banyak habiskan duit untuk perkara yang tidak bermanfaat.

2. Lakukan Perubahan

Kemudahan yang ada di mana-mana pada masa kini telah menyebabkan ramai dalam kalangan kita telah tanpa sedar melakukan pembaziran. Antara pembaziran yang kerap anda lakukan tanpa sedar adalah tidak menggunakan kemampuan diri sendiri untuk mengerjakan suatu pekerjaan.

Contohnya seperti membasuh baju sendiri. Pekerjaan tersebut boleh dilakukan sendri di rumah, tapi mengapakah masih menggunakan kemudahan dobi yang ternyata menelan kos. Buang rasa malas dalam diri jika hendak membasuh baju yang banyak.

Dapatkan jalan penyelesaian yang terbaik. Jika pakaian anda banyak untuk dibasuh, ambil langkah bijak untuk basuh baju sendiri setiap hari.

Dengan cara ini, tidak perlu lagi untuk anda menghadap pakaian anda yang sebakul tidak berbasuh pada setiap hujung minggu. Bukankah kos dobi sudah dapat dijimatkan dan disalurkan pula kepada simpanan?

3. Jauhi Hutang

Elakkan diri daripada menangung hutang yang tidak perlu. Contohnya seperti berhutang membeli telefon bimbit. Lihat orang lain pakai telefon baru, kita pun nak beli juga. Simpanan dah cukup ke sampai nak berhutang untuk beli telefon baru yang kemudian harinya akan ditelan zaman dan menyusut nilainya.

Sentiasa beringat sebelum melakukan apa-apa tindakan, lebih–lebih lagi terhadap perkara yang bakal memberikan impak yang besar dalam kehidupan. Ukur baju di badan sendiri dan jangan mudah terjerumus ke lembah hutang-hutang jahat yang tiada berpenghujung.

4. Hidup Di Bawah Kemampuan

Masih terlalu ramai yang hidup dalam kemewahan palsu. Kalau boleh, dari atas sampai bawah hendak pakai barangan berjenama. Salah ke kalau pakai barangan yang tidak berjenama ataupun barangan terpakai?

Biar nampak hina di pandangan orang kerana tiada apa-apa, asalkan simpanan dalam bank berkepuk-kepuk jumlahnya. Jangan menjadi gempak di mata orang, sedangkan pada mata sendiri hanyalah kosong, kosong dan kosong.

Cuba tengok bilionaire terkaya dunia seperti Bill Gates, Mark Zuckerberg dan yang lain-lain. Tak perlu habiskan duit yang banyak untuk bergaya, walaupun mereka ini memang kaya-raya.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kantoi Beli Kereta dan Aset Tetapi Tidak Lapor Pendapatan Yang Betul

Merujuk kepada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bertarikh 20 Jun 2026, agensi tersebut mendedahkan bahawa seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran ke belakang.

Melalui pelaporan semula ini, jumlah keseluruhan pendapatan yang diisytiharkan adalah sebanyak RM4.07 bilion, dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.

Persoalannya: Bagaimana LHDN boleh “hidu” golongan yang culas ni? Dah tak boleh lari ke sekarang?

Jawapannya ada pada e-Invois dan model analitik data milik HASiL.

3 “Lubang” Yang Berjaya Dikesan Sistem Baharu LHDN

Berdasarkan kenyataan media rasmi HASiL, mereka kini menggunakan analisis data e-invois. Hasilnya, mereka berjaya mengesan tiga corak utama “anomali” atau transaksi mencurigakan pembayar cukai:

  • 1. Transaksi Aktif Tapi Rekod Cukai Kosong: Sistem mengesan individu yang transaksi kewangannya sangat aktif, tetapi apabila disemak dengan profil cukai sedia ada, datanya langsung tidak sepadan.
  • 2. Beli Aset Mewah Melebihi RM100,000: Sesiapa yang membuat pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan dan aset melebihi RM100k, automatik “lampu merah” akan menyala di sistem HASiL jika pelaporan pendapatan mereka sebelum ini mencurigakan.
  • 3. Buat Duit Melalui Ekonomi Digital: Aktiviti transaksi dalam talian (online) yang rancak tanpa pengisytiharan cukai yang sewajarnya juga kini berada dalam radar pemantauan rapat.

Kuasa Pendekatan “Nudging” (Cuitan Mesra)

Menariknya, 52,540 pembayar cukai ini bukanlah diseret terus ke mahkamah. HASiL menggunakan pendekatan “nudging” iaitu memberi teguran berasaskan bukti data, memberikan mereka peluang terakhir untuk tampil menyerah diri dan membetulkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun sebelum ini secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil.

Perkembangan Terkini e-Invois di Malaysia

Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sistem percukian negara telah mengalami anjakan digital yang sangat besar:

Statistik Utama Pelaksanaan e-InvoisAngka
Jumlah Pembayar Cukai Mengemukakan e-InvoisLebih 230,000 pembayar cukai
Jumlah Pengeluaran e-Invois Secara Keseluruhan1.505 bilion e-Invois

Malah bermula 1 Januari 2026, ketelusan sistem diperketatkan lagi di mana semua pembayar cukai wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barang atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000. Pembeli pula perlu memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor kad pengenalan (IC) kepada penjual untuk pengesahan tepat.

Nota Penting: Walaupun sistem semakin ketat, HASiL mendedahkan masih ada segelintir pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois dan pemantauan berterusan sedang giat dijalankan.

Kesimpulan

Zaman untuk “sorok” pendapatan atau buat-buat lupa bayar cukai nampaknya sudah semakin berakhir. Pengajaran daripada angka RM4.07 bilion ini mudah: Sistem cukai Malaysia kini semakin pintar. Sebelum “dicuit” mesra oleh LHDN, ada baiknya kita semak semula pelaporan cukai masing-masing.