iMotorbike Sasar Pertumbuhan Jualan 10 Kali Ganda Menjelang Akhir Tahun

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) — Perintis platform e-dagang Asia Tenggara untuk membeli dan menjual motosikal, iMotorbike, mensasarkan untuk mencapai pertumbuhan jualan 10 kali ganda dan pendapatan tahunan sebanyak US$20 juta (US$1=RM4.283) menjelang akhir tahun.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Gil Carmo berkata syarikat itu telah menetapkan sasaran untuk menjana kira-kira US$2 juta setiap bulan, tahun ini.

“Kami yakin dengan keupayaan syarikat untuk menyasarkan angka ini kerana ia adalah sasaran konservatif untuk dicapai.

“Pertumbuhan bulanan pada 2022 sangat memberangsangkan untuk saiz perniagaan ini, kira-kira dalam julat hampir US$2.66 juta, justeru kami menjangkakan untuk mencapai lebih banyak lagi pada 2023,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Carmo berkata orang ramai pada masa kini mahu menjimatkan kos dan masa, mereka lebih suka menunggang motosikal berbanding kereta apabila berlaku kesesakan lalu lintas.

Beliau percaya bahawa faktor itu akan menjadikan 2023 sebagai tahun penggunaan motosikal.

“Dalam segmen Malaysia, hampir satu juta motosikal terpakai bertukar tangan setiap tahun, sehubungan itu iMotorbike berhasrat untuk memasuki pasaran ini dengan menambah nilai produk.

“Dengan keupayaan teknologi, platform kami menyediakan perkhidmatan yang tangkas dan lebih mudah diakses kepada pelanggan seperti infrastruktur bilik pameran dan pusat pemeriksaan kepada pelanggan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Carmo berkata syarikat itu sedang giat mencari seramai mungkin penggiat untuk bekerjasama dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

“Kami telah bekerjasama dengan beberapa pemain seperti penyedia perkhidmatan kewangan dan insurans di rantau ini untuk meningkatkan kepantasan dan kualiti perkara yang kami lakukan.

“Setiap hari, kami melakukan yang terbaik untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan akhir dan apa yang kami lakukan adalah ‘game changer’ (pengubah) daripada segi masalah yang kami selesaikan untuk pelanggan,” katanya.

Carmo berkata kebanyakan motosikal terpakai telah didagangkan dengan cara yang tidak berstruktur, tidak profesional dan bukan digital di rantau ini yang kebanyakannya merupakan jenis interaksi perniagaan pelanggan kepada pelanggan (C2C).

“Ramai orang sedang mencari platform yang membolehkan mereka memahami kualiti produk di kedua-dua belah pihak dan orang yang berinteraksi dengan mereka untuk mengelakkan penipuan.

“Kami akan menyediakan semua fungsi yang diperlukan termasuk melakukan pemeriksaan 170 mata penuh (pemeriksaan komprehensif) kepada motosikal dan menyediakan polisi pemulangan enam hari dengan jaminan wang dikembalikan sebanyak 100 peratus,” katanya.

Beliau juga berkata operasi perniagaan berkembang dengan cepat, menjana aliran tunai yang cekap dan memastikan ia berfungsi dengan betul kepada pemegang saham dan pelaburnya.

“Tahun ini, platform itu akan menjalankan pendekatan yang sama,yang menjamin setiap wang yang dibelanjakan membawa pulangan kepada semua termasuk pekerja, syarikat dan pemegang saham,” katanya.

— BERNAMA

TAG: iMotorbike, Gil Carmo, jualan

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.