Perumahan Bermasalah Beri Kesan Tidak Langsung Kepada 125,000 Isi Rumah – Akmal Nasrullah

PETALING JAYA, 21 Mac (Bernama) — Sebanyak 125,000 isi rumah terkesan secara tidak langsung disebabkan projek perumahan yang lewat siap, sakit dan terbengkalai di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, melalui jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk meneliti isu-isu tersebut, pihak kementerian (KPKT) kini sedang giat berusaha membantu untuk menyelesaikan masalah pembeli dan pemaju perumahan dengan memberi tumpuan yang lebih berstruktur.

Pendekatan yang diambil adalah melalui ‘tracking the data (pengesanan data), resolve (membuat keputusan), preventive (pencegahan) dan forward modelling selection (pemilihan model untuk dibawa ke hadapan)’, bagi memastikan ia tidak akan berulang lagi pada masa depan. 

“Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh saya sendiri yang mana kita mahu data-data (bermasalah) yang diterima setiap bulan akan sentiasa dinamik, bergerak dan mempunyai kemajuan. Sebagai contoh di peringkat pemaju jika isunya berkenaan kelewatan kelulusan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), kita akan bantu untuk meleraikan atau mempercepatkan proses dan maklum balas tersebut. 

“Ini supaya projek-projek berkenaan tidak akan menjadi lebih teruk, yang akan menyebabkan kerajaan terpaksa campur tangan yang mana kita seboleh-bolehnya mahu elakkan.

Ïni kerana tanggungjawab projek-projek berkenaan adalah ditangan pemaju, dan kerajaan bertindak sebagai pemantau,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Perumahan Wilayah Institut Rehda 2023 di sini, hari ini.

Setakat 31 Jan, 2023, lebih 1,000 projek perumahan berdepan masalah iaitu merangkumi 166 projek yang lewat siap, 437 projek sakit dan 115 projek terbengkalai.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata kerajaan buat masa ini belum mempunyai perancangan untuk melancarkan produk baharu dalam sektor hartanah yang bersifat ‘Menu Rahmah’ selain Rumah Belia Madani (RBM) yang ditawarkan kepada golongan belia secara transit dan sewaan yang dilancarkan bulan lepas.

Ini kerana pembangunan sesuatu inisiatif perumahan perlu mengambil masa yang agak lama untuk diteliti dan direalisasikan. 

“There is no ‘quick menu’ (tidak ada menu segera) yang boleh kita tawarkan dan kita tidak boleh mengeluarkan sesuatu cadangan secara mengejut kerana industri ini meluas dan melibatkan ratusan pihak berkepentingan di sepanjang rantaian industri. 

“Bagaimanapun, melalui Belanjawan 2023 yang dibentangkan baharu-baharu ini oleh Perdana Menteri, kerajaan bersetuju untuk membina 13 projek perumahan rakyat (PPR), yang mana satu projek akan dibina di setiap negeri dalam jangka masa tiga ke empat tahun, berbanding kelaziman tahun-tahun kebelakangan ini yang hanya membina tiga atau empat projek sahaja,” jelas beliau. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip menggesa pihak berkuasa melakukan transformasi radikal dan perubahan dalam membangunkan perumahan sosial.

Sebagai contoh, ia meminta kerajaan memperkenalkan rangka kerja seragam mengenai sumbangan kewangan daripada pemaju hartanah sebagai ganti pengenaan kuota mandatori dan harga terkawal, kerana pada masa ini, ia sedang diamalkan menggunakan model yang berbeza di negeri yang berbeza.

“Sekiranya model sebegini dapat diperkemas secara seragam, ini akan membolehkan KPKT dengan bantuan Rehda menubuhkan dana berpusat (yang dibiayai oleh pemaju) untuk melancarkan dan menyampaikan projek perumahan sosial dengan skala ekonomi oleh sektor awam, yang membolehkan kos pembinaan lebih rendah jika teknologi moden dilaksanakan,” kata Ng.

Beliau menambah pelaksanaan rangka kerja seragam mengenai sumbangan kewangan sebagai ganti untuk perumahan sosial, akan memberikan lebih ketelusan dan konsistensi dalam pengurusan kos, membawa kepada proses perumahan yang lebih terurus di seluruh negara.

Selain itu, Institut Rehda juga menggesa kerajaan menangani isu subsidi silang harga rumah kerana apabila kuota rumah mampu milik diberikan pada harga tetap, peratusan projek lain yang tidak berada di bawah kuota itu akan diselaraskan pada harga yang lebih tinggi.

Keadaan itu katanya adalah tidak adil untuk mengimbangi kerugian yang dialami pemaju bagi unit-unit rumah mampu milik.

“Ini adalah di antara masalah asas yang kami hadapi dan kami meminta kerajaan mengadakan sistem yang lebih progresif dan mampan untuk sektor hartanah,” katanya.

Pada majlis itu, Institut Rehda turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bank Pembangunan Malaysian Bhd (BPMB) bagi membolehkan kedua-dua pihak menjalankan kerjasama penyelidikan merangkumi hartanah dan pembangunan hartanah, dasar perumahan, perbankan dan kewangan, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pembangunan bandar pintar.

“Kami akan menggunakan kemahiran dan keupayaan kami untuk mencari penyelesaian baharu yang mungkin, melihat dari sudut industri perbankan kerana kami mempunyai kaitan.

“Kami berharap boleh mengambil langkah seterusnya untuk mengemukakan cadangan, yang akhirnya mengesyorkan kepada kerajaan untuk diterima pakai jika boleh, dan melibatkan diri dengan kami jika mereka (kerajaan) ingin membuat sebarang perubahan bagi menjadikannya (sebarang cadangan) berfungsi ,” tambah beliau.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Aktiviti Jual Beli Hartanah Berkurangan Pada Awal Tahun, Harga Rumah Stabil

Pasaran hartanah Malaysia memulakan tahun 2026 dengan momentum yang lebih sederhana apabila aktiviti transaksi menyusut susulan persekitaran ekonomi global yang lebih perlahan dan sentimen pasaran yang lebih berhati-hati.

Namun begitu, sektor kediaman terus menunjukkan daya tahan disokong oleh pertumbuhan harga rumah yang stabil, permintaan pemilik kediaman yang berterusan serta pelbagai insentif perumahan kerajaan.

Menurut Laporan Pasaran Harta Suku Tahun Pertama 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), jumlah transaksi hartanah keseluruhan menurun 8.0 peratus tahun ke tahun kepada 89,966 transaksi pada suku pertama 2026.

Nilai transaksi turut mencatat penyusutan marginal sebanyak 0.6 peratus kepada RM51.09 bilion. Walaupun prestasi ini lebih perlahan berbanding tempoh sama tahun lalu, aktiviti pasaran masih dilihat stabil dan trend yang dilihat sekarang merupakan suatu yang selaras dengan jangkaan dalam suasana ekonomi yang lebih mencabar.

Segmen kediaman kekal menjadi tunjang utama pasaran, dengan harga rumah terus meningkat meskipun momentum transaksi lebih perlahan.

Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun kepada 235.2 mata, menjadikan harga purata rumah di Malaysia sekitar RM507,533 seunit.

Pertumbuhan ini mencerminkan permintaan asas terhadap perumahan yang masih kukuh, khususnya di pusat bandar utama dan kawasan pinggir bandar yang berkembang pesat.

Kebanyakan negeri mencatat pertumbuhan harga rumah positif antara 0.3 peratus hingga 7.2 peratus, menandakan keyakinan pasaran yang masih baik walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi.

Dari segi jumlah transaksi kediaman, Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 10.7 peratus dengan 52,936 transaksi bernilai RM22.60 bilion.

Walaupun kebanyakan negeri mencatat penyusutan aktiviti transaksi, empat negeri masih merekodkan pertumbuhan positif iaitu Kuala Lumpur sebanyak 0.2 peratus, Pahang (4.3 peratus), Terengganu (3.1 peratus) dan Sabah (2.4 peratus).

Mengikut jenis kediaman, rumah bertanah terus menjadi pilihan utama pembeli. Rumah teres dan rumah berkembar mendahului pertumbuhan harga dengan peningkatan masing-masing sebanyak 2.2 peratus, mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap produk kediaman bertanah.

Unit kediaman bertingkat tinggi turut mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 1.3 peratus, didorong oleh permintaan di lokasi bandar dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Namun begitu, segmen pembangunan kediaman mula menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan dari segi bekalan. Pelancaran baharu kediaman menurun kepada 9,112 unit berbanding 12,498 unit pada tempoh sama tahun lalu, iaitu penyusutan sebanyak 27.1 peratus.

Pemaju dilihat lebih berhati-hati dalam memperkenalkan bekalan baharu susulan kos pembinaan yang meningkat dan pembeli yang semakin selektif.

Pada masa sama, isu lambakan unit siap dibina tidak terjual terus menjadi cabaran utama pasaran. Jumlah kediaman siap dibina tidak terjual mencecah 32,801 unit dengan nilai RM16.37 bilion.

Apabila mengambil kira hartanah kediaman berstatus komersil seperti pangsapuri perkhidmatan dan SOHO, jumlah tersebut meningkat kepada 54,795 unit bernilai RM32.12 bilion pada suku pertama 2026.

Secara tahunan, jumlah lambakan meningkat 25.9 peratus dari segi bilangan dan 11.1 peratus dari segi nilai berbanding 43,510 unit bernilai RM30.71 bilion pada suku pertama 2025.

Mengikut julat harga, sebanyak 38.6 peratus unit tidak terjual terdiri daripada kediaman berharga antara RM200,001 hingga RM500,000 yang lazimnya dianggap dalam kategori mampu milik.

Sebanyak 23.4 peratus pula berada dalam julat RM500,001 hingga RM800,000, manakala hanya 13.2 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM1 juta.

Ini menunjukkan isu lambakan bukan semata-mata disebabkan faktor harga, tetapi turut dipengaruhi faktor lokasi, jenis produk dan padanan permintaan pasaran.

Subsektor pangsapuri perkhidmatan terus berdepan tekanan bekalan apabila unit siap dibina tidak terjual meningkat kepada 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion berbanding 18,246 unit bernilai RM14.61 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Lambakan pangsapuri perkhidmatan meningkat 5.6 peratus, mencerminkan cabaran berterusan dalam menyerap pembangunan bercampur dan berorientasikan pelaburan, khususnya di kawasan dengan bekalan yang tinggi seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Melihat ke hadapan, prospek pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal berhati-hati tetapi stabil. Walaupun ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global boleh mempengaruhi sentimen pelabur, pelbagai inisiatif kerajaan dijangka terus menyokong sektor perumahan.

Antaranya termasuk lanjutan pengecualian penuh duti setem bagi pembeli rumah pertama untuk rumah berharga sehingga RM500,000 sehingga akhir 2027.

Disokong oleh pembangunan infrastruktur dan inisiatif pembangunan berorientasikan transit di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pasaran kediaman negara dijangka terus berdaya tahan meskipun pertumbuhannya semakin sederhana dan akan bergerak seiring dengan paras kemampumilikan pembeli.

Penulis ialah Pengarah Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian