Skuter Elektrik Pintar Berteknologi Tinggi Keluaran Blueshark Kini Tiba Di Malaysia

Ketibaan skuter siri R Blueshark bakal memacu penerimagunaan kenderaan elektrik beroda dua di
dalam negara.

Shah Alam, 21 Mac 2023 – Blueshark, anak syarikat Sharkgulf Technologies Group dan pembekal
skuter elektrik pintar yang tercanggih di dunia, secara rasminya telah merungkaikan skuter siri R
Blueshark yang meliputi R1 dan R1 Lite, untuk pasaran Malaysia pada hari ini. Skuter elektrik pintar Blueshark R1 membawakan teknologi bateri yang telah dipaten, di samping ciri-ciri perintis dan pelbagai opsyen pemilikan bagi menganjak paradigma kenderaan elektrik di Malaysia.


Jin Chan, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (ASEAN), Blueshark Ecosystem Sdn Bhd berkata,
“Skuter siri R Blueshark merupakan sebuah kemuncak dalam usaha kami untuk membawakan solusi-solusi yang lestari dan inovatif ke pasaran mobiliti urban. Berbekalkan teknologi penukaran bateri serta aneka teknologi perintis, kami sedang memperkenalkan sebuah produk yang lebih hebat, namun mampu milik, bagi meluaskan aksesibiliti skuter elektrik pintar untuk seluruh lapisan masyarakat. Visi kami adalah untuk mengubah kehidupan orang ramai, yakni dengan mengubah kaedah pengangkutan yang sedia ada, sambil memelihara kesihatan planet ini. Kami percaya bahawa Blueshark R1 memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan mobiliti urban hijau menerusi penerimagunaan kenderaan elektrik beroda dua (2WEV) secara massa.”

Blueshark juga telah merungkaikan hasil dapatan yang sulung bagi Program Rintis Blueshark, di
mana 50 penunggang khidmat penghantaran barangan/makanan telah membawa pulang skuter
elektrik pintar R1 untuk menguji keupayaannya selama satu bulan di jalan raya Malaysia, serta
menguji rangkaian Blueshark BlueStation (Stesen Penukaran Bateri) di stesen-stesen Petronas yang terpilih. Program ini ingin mendemonstrasikan kebolehlaksanaan platform elektrik Blueshark bagi kaedah pengangkutan singkat dan ekosistemnya, sambil memperkasakan pelbagai jenis organisasi untuk mencapai matlamat rendah karbon masing-masing.

Ahmad Razlan bin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif EP Manufacturing Bhd (EPMB)
berkongsi, “Semakin kami menginjak naik daripada peranan kami sebagai pembuat peralatan kepada pemilik sebuah jenama, siri R Blueshark merupakan satu permulaan sahaja, dan kami mempunyai tanggungjawab untuk terus menginovasi dan memperbaiki produk-produk kami serta cara penghasilannya untuk memenuhi keperluan dunia yang kian berubah. Transformasi bermula dengan idea, namun, transformasi yang sebenar dan yang berkekalan hanya dapat direalisasikan dengan amalan kita, dan EP Manufacturing Berhad bersedia untuk mengelektrifikasi hari esok, demi kepentingan kita semua dan juga syarikat ini, yang ingin memperkasa pemain-pemain industri lain untuk mencapai sasaran ESG mereka.

“Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri (MITI) atas peluang yang diberikan kepada EPMB untuk memasuki arena EV, termasuk pasukan kerja kami di EP Blueshark atas keringat dan dedikasi mereka dalam
membantu Blueshark mencapai aspirasinya. Kami berbangga untuk menyokong mandat kerajaan
dalam menggiatkan penerimagunaan EV serta penyahkarbonan industri pengangkutan di Malaysia.”

Jeff Chong, Ketua Pegawai Eksekutif (ASEAN), Blueshark Ecosystem Sdn Bhd, menyatakan,
“Kami percaya masa depan mobiliti urban akan berlandaskan kuasa elektrik, dan misi kami adalah
untuk memastikan kaedah pengangkutan yang lestari dapat diakses oleh seluruh masyarakat.
Blueshark akan meletakkan teknologi, kemudahan dan estetika EV yang terunggul dalam capaian
seluruh lapisan masyarakat, sambil menyelamatkan planet ini.”

“Dan pastinya, menunjangi semua ini ialah skuter elektrik pintar R1 di samping BlueStations kami,
yang dirumus untuk mengatasi isu waktu pengecasan yang membelenggu kenderaan elektrik, yakni dengan solusi penukaran bateri kami. Skuter elektrik pintar siri R Blueshark merupakan satu daripada banyak lagi produk yang kami akan perkenalkan kelak, dan kami yakin bahawa ia akan mencetus impak yang besar ke atas landskap mobiliti urban di dalam dan di luar Malaysia.”

Dengan skuter elektrik pintar Blueshark R1, penunggang dapat menikmati jarak operasi yang
mengagumkan, iaitu sejauh 110km setelah dicas penuh (NEDC), dengan kelajuan tertingginya yang mencecah 80km/j, berserta puncak tork bernilai 201Nm. Skuter elektrik pintar ini dikuasakan oleh motor magnet tetap elektrik 5000w yang berkelajuan tinggi di samping dua pek bateri litium besi fosfat (LFP) yang boleh ditukar ganti dengan segera di mana-mana stesen penukar bateri Blueshark (BlueStation) atau dicas penuh dalam tempoh 3.5 jam. Disediakan dengan lima mod tunggangan yang meliputi Walk Assist Mode (WAM) dan mod-mod Turbo, Blueshark R1 juga lengkap dengan sistem operasi pintar ArkRide®, dengan sambungan Bluetooth, navigasi GPS, pemain media, pengemaskinian OTA, perakam tunggangan dan banyak lagi, melalui papan pemuka HD IPS berwarna 10.4” yang mesra pengguna.

Untuk menaik taraf aksesibiliti ke atas mobiliti urban hijau buat seluruh rakyat Malaysia, skuter elektrik pintar Blueshark R1 akan ditawarkan bersama pelbagai opsyen pemilikan, ia termasuk pembelian terus di samping pakej-pakej langganan yang menarik bagi skuter elektrik pintar ini dan juga pek bateri yang boleh ditukar ganti.

  • Harga dan Pelan Langganan Skuter Siri R Blueshark

Pakej Pembelian (Kenderaan sahaja)

(atas jalan, tanpa insurans dan dengan pengecualian SST)

Blueshark R1: RM 9,390

Blueshark R1: Lite RM 7,190

Termasuk 1 pengecas + 2 sangga pengecas, 1 kunci Bluetooth

Bayaran tambahan sebanyak RM 79 sebulan untuk sewaan dua pek bateri

Pakej Sewaan Korporat (Kenderaan dan bateri)

(atas jalan, dengan pengecualian SST, termasuk penyelenggaraan berjadual dan penggantian bahagian haus-dan-terhakis)

Blueshark R1: RM 547 sebulan

Blueshark R1 Lite: RM 487 sebulan

Termasuk 2 bateri, 1 kunci Bluetooth dan kad Sim

Kit pengecasan rumah opsyenal dengan deposit boleh dikembalikan RM250

(pelanggan perlu memilih pelan langganan bateri BlueSwap untuk melengkapkan sewaan skuter siri R)

  • Pelan Langganan Bateri BlueSwap
  • BlueSwap Lite (RM 59/sebulan, sebanyak 36 pertukaran bateri)
  • BlueSwap Standard (RM 99/sebulan, sebanyak 70 pertukaran bateri)
  • BlueSwap Pro (RM 139/sebulan, sebanyak 120 pertukaran bateri)
  • BlueSwap Flex (RM 1.95, bayaran mengikut pertukaran)

Jika anda ingin mengetahui bagaimana Blueshark sedang merevolusi mobiliti urban hijau di Malaysia, sila layari www.blueshark.com.my.

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.