Dunia Tidak Perlu US Dollar Lagi?

“Kebergantungan dunia kepada US Dollar bakal berakhir…”

US Dollar merupakan mata wang ekonomi gergasi dunia sangat bernilai di mata dunia suatu ketika dahulu. Pernah disandarkan harga emas per US Dollar dan kemudian harga minyak dunia juga turut bersandarkan kepada US Dollar yang dikenal sebagai Petrodollar

Petrodollar adalah mata wang yang disandarkan untuk berdagang minyak mentah satu dunia. Ini bermakna, dahulu jika kita mahu membeli dan menjual emas, transaksi perlu dilakukan dengan mata wang US Dollar. 

Tetapi kita bakal menyaksikan semua ini akan berakhir tidak lama lagi apabila dunia tidak bergantung kepada US Dollar lagi. Banyak usaha “de-dollarisation” sedang berlaku.

Tidak mudah untuk dunia menggantikan satu mata wang lain bagi menggantikan mata wang yang kukuh seperti US Dollar ini. Tetapi jika dilihat keadaan hari ini, saat ini adalah masa paling sesuai untuk menjayakan usaha de-dollarisation. 

Ekonomi US Sedang Gawat

Tidak cukup dengan kadar inflasi yang tinggi akibat daripada cetakan wang yang banyak ketika pandemik lalu, kini kerajaan Amerika Syarikat berusaha mengawal kadar inflasi yang tinggi ini dengan menaikan kadar faedah yang banyak disana. 

Gambar: Andrey Rudakov | Bloomberg | Getty Images

Belum habis dengan masalah inflasi, Amerika Syarikat berdepan pula dengan masalah sektor perbankan yang gulung tikar akibat daripada tekanan ekonomi semasa. 

Amerika Syarikat ibarat sudah jatuh ditimpa tangga sementara negara lain pula menyusun strategi untuk menghapuskan pengaruh besar US Dollar dalam ekonomi dunia.

China Sebagai “Mastermind” De-Dollarisation?

Gambar: South China Morning Post

China, sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia sememangnya sudah lama berbulu dengan Amerika Syarikat. Hubungan antara dua negara ini sangat tegang sehingga berlakunya perang dingin antara dua negara ini. 

China dilihat merancang dengan rapi strategi untuk menghentikan kebergantungan terhadap US Dollar. Disaat keadaan Amerika Syarikat yang berhempas pulas cuba untuk mengawal ekonomi negaranya yang rapuh, satu demi satu rakan dagangannya mula memihak kepada China.

Dengan penubuhan BRICS gabungan antara negara Brazil, Rusia, India, China dan South Afrika yang berhasrat menjadi negara dominan dalam pengeluaran dan pengedaran barangan mentah dunia pada masa akan datang, hal ini menguatkan lagi faktor untuk menghapuskan pengaruh US Dollar dalam perdagangan antarabangsa. 

Rusia Memilih Yuan Berbanding Amerika Dollar

Gambar: Geopolitical Economy

Hubungan Rusia dan Amerika Syarikat memang tidak sehaluan sejak dulu lagi. Kejadian perang antara Rusia dan Ukraine yang dicampur tangan oleh Amerika Syarikat ibarat menyiram minyak pada api membara!

Selain daripada itu, Rusia sememangnya sudah perlahan-lahan mengurangkan kebergantungan terhadap US Dollar sejak tahun 2014 lagi dan terkini, Rusia terus menghapuskan pegangan US Dollar dan menambah pegangan Yuan.

Laporan daripada CNBC melaporkan bahawa Rusia akan memindahkan semua aset negara yang bersandarkan mata wang US Dollar dalam negara tersebut. 

Selamat Tinggal Petrodollar

Gambar: Forbes

Arab Saudi juga kini terbuka untuk berdagang minyak mentah dunia dengan mata wang selain daripada US Dollar. 

Laporan daripada The Wall Street Journal menyatakan pihak Arab Saudi mempertimbangkan untuk membuat dagangan minyak mentah dunia dalam Yuan dan China juga sudah mengorak langkah untuk menjayakan misi ini sejak tahun 2018 lagi. 

Gambar: The Wall Street Journal

Hubungan baik antara China dan Arab Saudi sejak dua menjak ini menguatkan kemungkinan bahawa Petrodollar mungkin akan digantikan dengan Petroyuan pula kelak.

Apa Pendirian Malaysia Terhadap Kebergantungan Kepada US Dollar?

Gambar: SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

Dalam ucapan Perdana Menteri kesepuluh (PMX) di parlimen baru-baru ini, beliau berkata “Tidak ada sebab bagi negara seperti Malaysia untuk terus bergantung kepada dolar Amerika Syarikat (AS) dalam menarik pelaburan ke dalam negara,”.

Beliau juga memberitahu dewan bahawa kunjungan beliau ke China juga ada membincangkan tentang “Asian Monetary Fund” bersama Perdana Menteri China dan mendapat sambutan baik daripada Perdana menteri tersebut. 

Jika anda sebagai pelabur yang sedang membaca artikel ini, apakah tindakan yang anda akan lakukan seterusnya? Cuba kongsikan di ruangan komen. 

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee