Transaksi Hartanah Kediaman Sekunder Dijangka Meningkat Tahun Ini – iProperty.com.my

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) — Pasaran hartanah dalam talian, iProperty.com.my yang sebahagian daripada PropertyGuru Group, menjangkakan jumlah transaksi hartanah kediaman sekunder meningkat tahun ini.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata permintaan terhadap unit bertingkat tinggi berharga kira-kira RM500,000 boleh terus meningkat  di Selangor dan Pulau Pinang.

“Susulan pengecualian setem penuh yang diumumkan baru-baru ini untuk pembeli rumah kali pertama, kami berharap aktiviti pasaran sekunder akan terus stabil di samping pembeli rumah mengambil kesempatan daripada insentif kewangan ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pembeli rumah kali pertama boleh mendapat manfaat daripada pengecualian duti setem penuh bagi rumah bernilai RM500,000 dan ke bawah sehingga akhir 2025 dan kadar pengecualian duti setem sebanyak 75 peratus untuk rumah bernilai daripada RM500,001 hingga RM1 juta sehingga 31 Dis, 2023.

iProperty.com.my menjelaskan rumah teres di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur; Bukit Sentosa, Serendah di Selangor; Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat di Pulau Pinang dan Taman Universiti, Skudai, di Johor adalah antara hartanah kediaman sekunder terlaris di empat negeri utama Malaysia — Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Ia termasuk hartanah kondominium di Seni Mont Kiara, Mont Kiara, Kuala Lumpur; Sg Long Residence, Selangor serta kediaman berperkhidmatan di The Tamarind, Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

Berdasarkan data transaksi yang diperolehi daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), projek bertanah dan bertingkat tinggi mencatatkan transaksi tertinggi bagi tempoh di antara Julai 2021 dengan Jun 2022, jelasnya.

Hartanah-hartanah tersebut menyalurkan maklumat penting mengenai keutamaan pembelian pengguna dalam tempoh pemulihan ekonomi pasca-pandemik di Malaysia, menurut iProperty.com.my.

Fernandez berkata kebanyakan hartanah terlaris dalam tempoh ini mempunyai hak milik pegangan bebas.

“Jumlah transaksi hartanah dalam pasaran hartanah kediaman sekunder di Selangor dan Johor, dengan saiz binaan melebihi 1,100 kaki persegi, adalah amat menggalakan.

“Di samping itu, hartanah paling laris khusus di Kuala Lumpur yang dilengkapi dengan kemudahan terbaik dalam persekitaran yang tenang dan hijau, menunjukkan kebolehidupan adalah faktor penting bagi pembeli rumah. Sementara itu, hartanah bertanah terus mendominasi di Johor,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Aktiviti Jual Beli Hartanah Berkurangan Pada Awal Tahun, Harga Rumah Stabil

Pasaran hartanah Malaysia memulakan tahun 2026 dengan momentum yang lebih sederhana apabila aktiviti transaksi menyusut susulan persekitaran ekonomi global yang lebih perlahan dan sentimen pasaran yang lebih berhati-hati.

Namun begitu, sektor kediaman terus menunjukkan daya tahan disokong oleh pertumbuhan harga rumah yang stabil, permintaan pemilik kediaman yang berterusan serta pelbagai insentif perumahan kerajaan.

Menurut Laporan Pasaran Harta Suku Tahun Pertama 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), jumlah transaksi hartanah keseluruhan menurun 8.0 peratus tahun ke tahun kepada 89,966 transaksi pada suku pertama 2026.

Nilai transaksi turut mencatat penyusutan marginal sebanyak 0.6 peratus kepada RM51.09 bilion. Walaupun prestasi ini lebih perlahan berbanding tempoh sama tahun lalu, aktiviti pasaran masih dilihat stabil dan trend yang dilihat sekarang merupakan suatu yang selaras dengan jangkaan dalam suasana ekonomi yang lebih mencabar.

Segmen kediaman kekal menjadi tunjang utama pasaran, dengan harga rumah terus meningkat meskipun momentum transaksi lebih perlahan.

Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun kepada 235.2 mata, menjadikan harga purata rumah di Malaysia sekitar RM507,533 seunit.

Pertumbuhan ini mencerminkan permintaan asas terhadap perumahan yang masih kukuh, khususnya di pusat bandar utama dan kawasan pinggir bandar yang berkembang pesat.

Kebanyakan negeri mencatat pertumbuhan harga rumah positif antara 0.3 peratus hingga 7.2 peratus, menandakan keyakinan pasaran yang masih baik walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi.

Dari segi jumlah transaksi kediaman, Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 10.7 peratus dengan 52,936 transaksi bernilai RM22.60 bilion.

Walaupun kebanyakan negeri mencatat penyusutan aktiviti transaksi, empat negeri masih merekodkan pertumbuhan positif iaitu Kuala Lumpur sebanyak 0.2 peratus, Pahang (4.3 peratus), Terengganu (3.1 peratus) dan Sabah (2.4 peratus).

Mengikut jenis kediaman, rumah bertanah terus menjadi pilihan utama pembeli. Rumah teres dan rumah berkembar mendahului pertumbuhan harga dengan peningkatan masing-masing sebanyak 2.2 peratus, mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap produk kediaman bertanah.

Unit kediaman bertingkat tinggi turut mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 1.3 peratus, didorong oleh permintaan di lokasi bandar dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Namun begitu, segmen pembangunan kediaman mula menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan dari segi bekalan. Pelancaran baharu kediaman menurun kepada 9,112 unit berbanding 12,498 unit pada tempoh sama tahun lalu, iaitu penyusutan sebanyak 27.1 peratus.

Pemaju dilihat lebih berhati-hati dalam memperkenalkan bekalan baharu susulan kos pembinaan yang meningkat dan pembeli yang semakin selektif.

Pada masa sama, isu lambakan unit siap dibina tidak terjual terus menjadi cabaran utama pasaran. Jumlah kediaman siap dibina tidak terjual mencecah 32,801 unit dengan nilai RM16.37 bilion.

Apabila mengambil kira hartanah kediaman berstatus komersil seperti pangsapuri perkhidmatan dan SOHO, jumlah tersebut meningkat kepada 54,795 unit bernilai RM32.12 bilion pada suku pertama 2026.

Secara tahunan, jumlah lambakan meningkat 25.9 peratus dari segi bilangan dan 11.1 peratus dari segi nilai berbanding 43,510 unit bernilai RM30.71 bilion pada suku pertama 2025.

Mengikut julat harga, sebanyak 38.6 peratus unit tidak terjual terdiri daripada kediaman berharga antara RM200,001 hingga RM500,000 yang lazimnya dianggap dalam kategori mampu milik.

Sebanyak 23.4 peratus pula berada dalam julat RM500,001 hingga RM800,000, manakala hanya 13.2 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM1 juta.

Ini menunjukkan isu lambakan bukan semata-mata disebabkan faktor harga, tetapi turut dipengaruhi faktor lokasi, jenis produk dan padanan permintaan pasaran.

Subsektor pangsapuri perkhidmatan terus berdepan tekanan bekalan apabila unit siap dibina tidak terjual meningkat kepada 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion berbanding 18,246 unit bernilai RM14.61 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Lambakan pangsapuri perkhidmatan meningkat 5.6 peratus, mencerminkan cabaran berterusan dalam menyerap pembangunan bercampur dan berorientasikan pelaburan, khususnya di kawasan dengan bekalan yang tinggi seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Melihat ke hadapan, prospek pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal berhati-hati tetapi stabil. Walaupun ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global boleh mempengaruhi sentimen pelabur, pelbagai inisiatif kerajaan dijangka terus menyokong sektor perumahan.

Antaranya termasuk lanjutan pengecualian penuh duti setem bagi pembeli rumah pertama untuk rumah berharga sehingga RM500,000 sehingga akhir 2027.

Disokong oleh pembangunan infrastruktur dan inisiatif pembangunan berorientasikan transit di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pasaran kediaman negara dijangka terus berdaya tahan meskipun pertumbuhannya semakin sederhana dan akan bergerak seiring dengan paras kemampumilikan pembeli.

Penulis ialah Pengarah Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian