
Sub Topik
Ekoran pandemik COVID-19 yang lalu, banyak betul syarikat besar, sederhana dan kecil yang terkesan. Namun, anda perlu tahu bahawa terdapat beberapa syarikat juga yang menjana pendapatan lumayan ekoran pandemik ini.
Antaranya adalah syarikat pembuatan sarung tangan lateks, syarikat pembuatan ubat-ubatan, syarikat perusahaan online dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan sememangnya terdapat syarikat yang membuat keuntungan yang banyak dan bertambah kaya raya ketika musim pandemik.
Dengan itu, banyak syarikat yang jualannya sangat memberangsangkan tersenarai dalam ‘Asian Best Under A Billion’. Di negara kita juga tidak ketinggalan di mana terdapat tujuh syarikat yang telah tersenarai dalam ‘Asian Best Under A Billion’. Syarikat berprestasi tinggi dengan jualan tahunan antara AS$10 juta (RM44.5 juta) hingga AS$1 billion (RM4.45 bilion).
Berikut adalah antara tujuh syarikat Malaysia yang disenarai ‘Asian Best Under A Billion’.
1. Kim Loong Resources

Syarikat pertama dalam senarai tujuh syarikat Malaysia disenarai ‘Asian Best Under A Billion’ adalah Kim Loong Resources. Kim Loong Resources merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam penanaman dan pemprosesan minyak sawit. Pada tahun 2021, jualannya mencecah USD$410 juta dan pendapatan bersihnya sekitar USD$33 juta.
Syarikat Kim Loong Resources diasaskan pada tahun 1967. Syarikat ini beribu pejabat di Johor Bahru dan bernilai sekitar RM1.89 billion.
2. UG Healthcare

UG Healthcare, syarikat pembuatan sarung tangan lateks asli dan sarung tangan pakai buang ini telah meraih jumlah jualan USD$251 juta pada tahun 2021 dengan pendapatan bersih berjumlah USD$88 juta. Syarikat ini diasaskan pada tahun 1989 dan beribu pejabat di Seremban, Negeri Sembilan. Syarikat ini bernilai kira-kira RM454 juta.
Untuk pengetahuan anda, UG Healthcare juga turut beroperasi di Brazil, Jerman, United Kingdom, China dan Amerika Syarikat. Syarikat ini menjual sarung tangan pakai buangnya di bawah jenama ‘Unigloves’. Ianya juga turut mengedarkan produk sampingannya seperti sarung tangan pakai buang pembedahan, topeng muka dan bahan pakai buang perubatan.
3. D&O Green Technologies

Syarikat pengeluar diod pemancar cahaya (LED) dan teknologi pelekap permukaan untuk pengeluar automotif ini telah mencapai jualan sekitar USD$204 juta pada tahun lalu. Pendapatan bersih syarikat D&O Green Technologies ini adalah berjumlah USD$27 juta.
4. ViTrox

Syarikat Malaysia yang turut tersenarai dalam ‘Asian Best Under A Billion’ juga adalah ViTrox. Untuk pengetahuan anda, ViTrox merupakan sebuah syarikat yang diasaskan pada tahun 2000 ini membangunkan dan menghasilkan sistem pengimbasan garis dan penglihatan tiga dimensi untuk pemeriksaan litar bersepadu semikonduktor. Jualan tahunan syarikat ini dianggarkan berjumlah USD$164 juta dan pendapatan bersih syarikat ini adalah sekitar USD$41 juta.
5. Greatech Technology

Greatech Technology Berhad terlibat dalam penyediaan penyelesaian secara pantas dan automatik. Syarikat itu menawarkan produk seperti skru automatik, pengendali air, robotik, dispenser cecair, semikonduktor, bateri, penghantar, penyusun, penguji dan produk lain yang berkaitan.
Greatech Technology Berhad telah diperbadankan pada 5 Mac 2018 dan berpangkalan di Kepala Batas, Pulau Pinang. Selain itu, syarikat ini juga turut menjadi syarikat pemegangan pelaburan saham yang menawarkan perkhidmatan pengurusan.
Untuk pengetahuan anda, Greatech Technology juga meluaskan sayapnya di beberapa negara seperti India, Ireland, China, Filipina, Singapura, Switzerland, Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Vietnam.
6. Tashin Holdings

Tashin Holdings Berhad telah ditubuhkan pada di Malaysia pada 14 Ogos 2017 di bawah Akta sebagai syarikat awam. Syarikat ini pada dasarnya adalah sebuah syarikat pemegangan pelaburan dengan anak-anak syarikat yang terlibat terutamanya dalam sektor berkaitan keluli yang merangkumi aktiviti pembuatan dan perdagangan.
Dari masa ke semasa, Tashin Holdings semakin berkembang pesat dan akan mengembangkan perniagaannya dalam masa yang terdekat.
Pendapatan bersih Tashin Holdings adalah RM31.49 juta. Jadi, dengan pendapatannya yang bagus, tidak hairanlah kenapa Tashin Holdings boleh tersenarai dalam ‘Asian Best Under A Billion’.
7. CE Technology

Akhir sekali, syarikat Malaysia disenarai ‘Asian Best Under A Billion’ adalah CE Technology. CE Technology memulakan karier dalam industri sarung tangan pembersih adalah pada 15 Julai 2002. Kini, CE Technology adalah antara pengeluar sarung tangan pembersih terbesar di dunia. CE Technology telah diasaskan oleh Encik Teoh Swee Sun secara kecil-kecilan di premis yang akhirnya telah menempah namanya di persada dunia.
Untuk pengetahuan anda, CE Technology telah memenangi pelbagai anugerah. Antaranya, ‘Golden Bull Award’ dan ‘Enterprise 50 Award’. Yang paling terbaru adalah ‘Asian Best Under A Billion’.
Kesimpulannya, kejayaan bagi tujuh syarikat Malaysia di atas perlu menjadi ikutan dan inspirasi bagi semua yang bergelar sebagai pemilik syarikat agar dapat memperoleh kejayaan yang sama seperti mereka.
Selain itu, kejayaan mereka dalam ‘Asian Best Under A Billion’ juga disebabkan oleh perancangan bisnes yang mantap serta didorong oleh perubahan faktor ekonomi pada pandemik COVID-19 yang lalu. Bagi anda yang masih belum meraih sebarang kejayaan, jangan pernah berputus asa dan teruskan usaha sehingga berjaya.
Rujukan










