Kempen Takaful4All Dorong Kadar Penembusan Takaful Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) — Kempen Takaful4All yang diperkenalkan oleh Persatuan Takaful Malaysia (MTA) hari ini bersedia untuk meningkatkan kadar penembusan takaful di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata sebanyak 18 pengendali takaful dan takaful semula akan menyertai kempen ini untuk meningkatkan kesedaran berhubung konsep dan manfaat takaful serta mempromosikan celik kewangan menerusi jerayawara, pertandingan dan libat urus merentasi pelbagai platform.

Pandemik Covid-19 pada asasnya telah meningkatkan kesedaran terhadap keperluan perlindungan melalui “jaringan keselamatan” bagi mengimbangi segala kemungkinan.

“Pada masa ini, kami mempunyai 20 peratus bahagian pasaran dalam takaful am dan keluarga. Kami berharap kempen ini akan membantu meningkatkannya secara lebih pantas dan memperoleh bahagian pasaran yang signifikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Takaful4All pada majlis rumah terbuka LipLapLipLap Raya di sini hari ini.

Menurut laporan tahunan MTA, perniagaan takaful am merekodkan kenaikan 21.1 peratus bagi jumlah sumbangan kasar perniagaan kepada RM4.64 bilion pada 2022 daripada RM3.83 bilion pada 2021.

Laporan itu menjelaskan, industri takaful keluarga mencatatkan kadar penembusan sebanyak 20.1 peratus pada 2022 berbanding 18.6 peratus pada 2021.

Mohd Radzuan berkata inisiatif Takaful4All tercetus selepas banjir melanda Johor pada tahun ini dan antara aktiviti yang dijadualkan bagi kempen tersebut adalah Takaful In Campus, Takaful Masuk Kampung dan Takaful Hi-5.

MTA turut memperkenalkan logo rasmi Takaful4All dan laman web baharunya untuk memperkukuh kehadiran digital persatuan itu dan menyediakan akses kepada maklumat dan sumber untuk ahli, pelanggan dan orang ramai.

Menurutnya laman web baharu itu akan menyediakan artikel dan alatan interaktif, daripada berita dan acara sehinggalah kepada sumber dalam talian untuk sesiapa yang berminat dalam industri takaful dan misi MTA.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.