Kutipan Cukai Tunjuk Trend Positif, Yakin Sasaran RM176 Bilion Dapat Dicapai – LHDN

CYBERJAYA, 10 Mei (Bernama) — Kutipan cukai tahun ini menunjukkan trend positif dengan kutipan harian mencatatkan 20 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Mohd Nizom Sairi.

Beliau berkata sekiranya trend positif ini kekal LHDN mampu mencapai sasaran kutipan hasil berjumlah RM176.1 bilion tahun ini atau melepasi sasaran tersebut.

“Kita berada pada tahap yang sangat memberangsangkan. Terima kasih kepada pembayar cukai yang terus mengekalkan tahap pematuhan yang baik,” katanya kepada media pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong, di sini, hari ini.

Mengenai sama ada kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus akan menjejaskan kutipan cukai, Mohd Nizom berkata ia kemungkinan akan memberi kesan secara tidak langsung namun tidak serta-merta.

“Mungkin (ada kesan) secara tidak langsung tetapi tidak secara immediate (serta-merta),” katanya.

Pada 3 Mei lepas, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus.

Tahun lepas, LHDN mencipta sejarah meraih kutipan cukai langsung tertinggi negara sebanyak RM175.4 bilion atau peningkatan 21.75 peratus berbanding 2021.

Mohd Nizom berkata pendekatan A.E.S (awareness-kesedaran, education-pendidikan dan services-perkhidmatan) yang diperkenalkan LHDN akan diperkemaskan bagi memartabatkan cukai sebagai aset negara secara berterusan demi mempertingkatkan kepercayaan rakyat.

Beliau berkata antara hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan adalah sekiranya pendapatan negara daripada sumber cukai langsung terus meningkat, kerajaan mampu memulangkan manfaatnya kepada rakyat.

“Sudah pasti pelbagai agenda bermanfaat untuk rakyat akan dapat direalisasikan. Taraf kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat akan dapat turut diperhebat melalui pelbagai projek pembangunan hasil daripada sumber pendapatan negara yang mencukupi,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.