EUDR : Malaysia Dan Indonesi Mahu Penjelasan Lanjut, Pembabitan EC

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) — Malaysia dan Indonesia sedang membuat persiapan bagi misi dua hari ke Brussels mulai 30 Mei, 2023, untuk mendapatkan penjelasan berkaitan perkembangan di Kesatuan Eropah (EU), khususnya pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) yang menjejaskan industri sawit.

Malah, selain dua negara tersebut, Honduras turut menyatakan komitmen untuk menyertai misi bersama tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Misi ini bagi mendapatkan penglibatan Suruhanjaya Eropah (EC). Ini kerana walaupun Malaysia dan Indonesia telah melakukan semua inisiatif dari segi melindungi alam sekitar, industri minyak sawit sebaliknya terus berdepan cabaran akibat halangan yang dikenakan oleh pihak EU,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Menteri-Menteri ke-11 (MM11) Majlis Negara-Negara Pengeluaran Minyak Sawit (CPOPC) di sini, hari ini.

Fadillah turut menegaskan selain inisiatif, dua negara pengeluar utama minyak sawit itu juga telah mematuhi semua amalan baik yang setimpal dengan piawaian antarabangsa.

“Kita mahu menyampaikan mesej jelas dan tegas bahawa minyak sawit sebenarnya memberi banyak sumbangan, terutama dari segi pematuhan kepada Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu menangani isu kemiskinan yang telah kita capai.

“Oleh itu, apa juga tindakan yang diambil oleh EU tanpa rundingan dan tanpa melibatkan kita, sudah pasti akan memberi impak kepada pekebun kecil,” katanya.

Misi itu akan turut menumpukan aspek cadangan undang-undang lain yang sedang dipertimbangkan oleh EU seperti Peraturan Buruh Paksa, Arahan Tuntutan Hijau dan Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui II yang memerlukan perhatian pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit.

Bagi pasaran Malaysia, EU merupakan 9.4 peratus daripada jumlah eksport negara ini atau menyamai 1.47 juta tan minyak sawit.

“Ini satu angka besar dengan beberapa syarikat turut bertindak membuka kilang penapis di Eropah. Berikutan itu, EUDR boleh dianggap sebagai halangan dagangan yang memberi impak langsung kepada operasi serta perniagaan jangka panjang,” katanya.

Fadillah berkata, Kuala Lumpur dan Jakarta juga berharap EU akan mengiktiraf piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia dan Minyak Sawit Mampan Indonesia.

Sementara itu Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia Airlangga Hartarto yang turut hadir, juga menegaskan : “Anda (EU) tidak boleh memaksa piawaian anda dan menyatakan bahawa piawaian itu jauh lebih besar daripada yang lain.”

Menurutnya, minyak sawit juga terbukti menjadi antara penyelesaian bagi memastikan jaminan keselamatan makanan terutama dengan konflik geopolitik di Eropah, perang Rusia-Ukraine dan komoditi itu menjadi alternatif dalam rantaian bekalan makanan.

Dalam pada itu, Fadillah berkata CPOPC berkemungkinan meneliti kerjasama dengan sektor swasta dalam pelaburan pembangunan teknologi yang mampu membantu pekebun kecil, khususnya bagi mengurangkan kos pengeluaran serta meningkatkan pendapatan.

Ini sejajar dengan kepentingan peranan pekebun kecil dalam industri itu, malah di Malaysia terdapat kira-kira 450,000 pekebun kecil dan kerajaan perlu memastikan sumber pendapatan mereka terus dilindungi. 

“Pekebun kecil menyumbang kira-kira 40 peratus daripada pengeluaran minyak sawit global. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bukan sahaja untuk melindungi tetapi turut memperkasa mereka dengan ilmu serta mekanisme yang betul,” katanya.

Mengulas jangkaan terhadap komoditi itu, beliau berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi mengunjurkan niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) kekal kukuh bagi tempoh berbaki tahun ini dengan MSM kini diniagakan pada harga baik manakala permintaannya terus meningkat.

Hari ini merupakan hari terakhir bagi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ke-25 (SOM25) dan MM11 CPOPC di sini, sejajar dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi majlis itu bagi 2023.

Kalangan pegawai di SOM25 meneliti aspek kemajuan seperti Kempen Positif Minyak Sawit, Rangka Kerja Global bagi Prinsip Minyak Sawit Mampan (GFP SPO), status kemajuan pelaksanaan kajian-kajian di bawah Jawatankuasa Saintifik CPOPC, Program Kemajuan Pekebun Kecil selain hal-hal pentadbiran CPOPC seperti belanjawan dan perancangan kerja 2023 serta status keahlian majlis itu.

CPOPC merupakan organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan oleh Malaysia dan Indonesia pada 21 Nov, 2015, bagi mempromosi, membangunkan dan memperkuatkan kerjasama dalam penanaman serta industri sawit dalam kalangan negara-negara pengeluar minyak sawit. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Pemulihan Harga Yang Sementara

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO meneruskan lantunan teknikalnya untuk sesi kedua pada hari Selasa apabila menaik MYR23 untuk ditutup pada paras MYR4,496. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,461. Pada awalnya, ia jatuh kepada paras terendah bernilai MYR4,445 sebelum sentimen menaik membawanya lebih tinggi kepada paras MYR4,510. Walaupun penutupan dagangan positif, pergerakan menaik ini hanyalah dianggap sebagai satu koreksi harga dalam trend pasaran yang menurun. Komoditi ini terus berada di bawah garisan SMA 50 hari yang sekarang berperanan sebagai rintangan overhed yang dinamik.

Apabila harga menaik, paras rintangan kuat dijangka muncul pada paras MYR4,700. Berdasarkan pasaran teknikal ini, mereka yang menjangkakan penurunan harga masih mempunyai kelebihan teknikal. FCPO mungkin menyambung semula koreksi harga sebaik sahaja ia gagal menembusi paras rintangan overhed yang dinamik itu – garisan SMA 50 hari. Buat masa sekarang, kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama ialah MYR4,390, yang diikuti oleh paras MYR4,300. Sementara itu, paras rintangan pertama kini berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.