Pendapatan Pelaburan Suku Pertama KWSP Naik Kepada RM15.16 Bilion

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) — Pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) naik tiga peratus kepada RM15.16 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 daripada RM14.77 bilion yang dicatatkan dalam suku tahun yang sama pada 2022. 

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah tersebut selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk suku tersebut.

Menurutnya pada suku yang dikaji, pendapatan daripada ekuiti meningkat kepada RM8.96 bilion, selepas mengambil kira turun nilai kos, berbanding RM8.75 bilion yang dicatatkan pada suku pertama 2022.

Katanya kelas aset ini kekal sebagai penyumbang pendapatan tertinggi pada 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

“Turun nilai kos bagi suku pertama 2023 adalah secara relatifnya minima pada RM0.44 juta berbanding RM1.09 bilion yang dicatatkan pada suku sama 2022, hasil daripada pengurusan portfolio aktif oleh pengurus dana KWSP.

“Turun nilai kos atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan oleh KWSP terhadap pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemah untuk memastikan portfolionya kekal sihat,” katanya.

KWSP berkata instrumen pendapatan tetap, yang berfungsi sebagai pengekalan modal, telah menjadi tunjang kepada KWSP dan terus memberikan aliran pendapatan yang stabil, di samping mengurangkan kesan daripada ketidaktentuan pasaran jangka pendek dan memberikan kestabilan kepada pendapatan keseluruhan KWSP.

Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS) serta pinjaman dan bon, menyumbang 32 peratus atau RM4.79 bilion kepada pendapatan pelaburan kasar bagi suku pertama 2023.

“Kedua-dua MGS dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) meningkat pada suku tahun tersebut berikutan hasil penanda aras keseluruhan telah merosot dengan jangkaan inflasi yang berkurangan di Amerika Syarikat, seterusnya memberikan peluang kepada KWSP untuk memanfaatkan keuntungan pelaburan,” katanya.

Sementara itu, hartanah dan infrastruktur mencatatkan peningkatan dalam pendapatan kepada RM920 juta pada suku pertama 2023.

Pendapatan daripada instrumen pasaran wang turut meningkat kepada RM490 juta daripada RM280 juta pada suku pertama 2022, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini.

Menurut KWSP, aset pelaburan keseluruhannya setakat Mac 2023 meningkat kepada RM1.04 trilion, dengan pelaburan luar negara menyumbang 37 peratus daripada keseluruhan jumlah aset.

“Pelaburan luar negara KWSP, yang sebahagian besarnya dalam ekuiti, terus mengatasi prestasi dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP, seterusnya menjana pendapatan RM7.04 bilion, mewakili 46 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan yang direkodkan,” katanya.

KWSP berkata pelaburan domestik KWSP menyumbang 63 peratus daripada jumlah aset, dilaburkan terutamanya dalam instrumen Berpendapatan Tetap Dipegang Hingga Matang yang terus memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui pendapatan faedah.

Portfolio ekuiti menumpukan kepada syarikat berdaya tahan dan mempunyai asas kukuh

Menurut KWSP, pihaknya  kekal komited untuk menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan terus memperuntukkan lebih 70 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.

“Sebanyak RM13.33 bilion daripada RM15.16 bilion pendapatan pelaburan dijana untuk Simpanan Konvensional dan RM1.83 bilion untuk Simpanan Shariah,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata walaupun KWSP mencatatkan pulangan positif setakat tahun ini, keadaan pasaran kewangan masih tidak menentu, dengan ketegangan geopolitik dan inflasi yang tinggi terus menjadi kebimbangan bagi pasaran utama di seluruh dunia.

Sebagai tindak balas kepada situasi ini, beliau berkata KWSP telah menumpukan strategi portfolionya ke arah syarikat yang berdaya tahan dan mempunyai asas kukuh yang membolehkannya untuk memberikan dividen yang stabil.

Amir Hamzah berkata adalah penting bagi KWSP untuk mempertimbangkan dinamik pasaran dengan lebih meluas bagi meningkatkan prospeknya untuk memberikan dividen yang konsisten kepada ahli.

“Suku tahun seterusnya akan menyaksikan KWSP memberi tumpuan kepada industri dan sektor yang dijangka pulih selepas tiga tahun pandemik, yang akan meningkatkan permintaan buruh,” katanya.

Menurutnya memandangkan Malaysia terus meningkatkan usaha pemulihan ekonominya, KWSP melihat peningkatan yang stabil dalam kadar penyertaan tenaga buruh Malaysia yang akan mewujudkan asas kukuh untuk mengekalkan perbelanjaan pengguna dan pembangunan ekonomi.

“Data keahlian KWSP, yang menunjukkan peningkatan berterusan bilangan ahli dan majikan yang mendaftar dengan KWSP, menyokong tanggapan bahawa permintaan buruh di negara ini sememangnya bertambah baik,” kata beliau.

Sehingga Mac 2023, KWSP merekodkan pendaftaran ahli baharu sebanyak 116,423, menjadikan jumlah ahli KWSP seramai 15.79 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8.45 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 16.81 juta tenaga buruh Malaysia.

Pendaftaran majikan baharu juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 24,281 dalam tempoh tersebut, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 595,730.

Jumlah caruman yang diterima meningkat daripada RM21.55 bilion pada suku pertama 2022 kepada RM25.83 bilion pada suku pertama 2023, caruman suku tahunan tertinggi setakat ini yang melepasi angka pra-pandemik.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menurun Sekali Lagi

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO melanjutkan fasa mendatarnya pada hari Isnin apabila ia menurun MYR63 untuk ditutup pada paras MYR4,534. Ia membuka sesi dagangan pada harga MYR4,620 dan tindakan pengambilan untung mengheretnya ke paras terendah intrahari pada MYR4,531. Komoditi ini kemudiannya ditutup pada harga MYR4,534, dengan menyasarkan paras sokongan MYR4,500 selepas menembusi paras sokongan sebelumnya pada MYR4,550. Meskipun penurunan berlaku, struktur trend kenaikan secara meluasnya masih bertahan, dengan garisan SMA 50 hari masih bergerak ke atas.

RSI pula terus bergerak lebih rendah, sekali gus mencerminkan rentak kenaikan yang mereda. Paras sokongan terdekat sekarang adalah pada MYR4,500, yang mungkin membataskan pergerakan menurun lanjut dan membuka ruang untuk lantunan teknikal ke arah paras rintangan MYR4,680. Melainkan FCPO jatuh bawah paras sokongan MYR4,400, penurunan yang berlaku baru-baru ini akan dianggap sebagai fasa koreksi yang baik dalam kerangka kenaikan. Pada ketika ini, kami tetap berpegang pada bias dagangan positif.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac (MYR4,367). Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan awal kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Bagi pergerakan menaik, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh paras ambang MYR4,800