Brahim’s Yang Dinyah Senarai Masih Beri Khidmat Katering Untuk 35 Syarikat Penerbangan Asing

SEPANG, 22 Jun (Bernama) — Ia seperti sudah jatuh ditimpa tangga bagi syarikat katering dalam penerbangan Brahim’s Holdings Bhd (BHB) yang telah dinyah senarai baru-baru ini dan bakal pula kehilangan kontrak selama 25 tahun dengan Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Syarikat PN17 itu telah dinyah senarai pada 3 Jun, 2023, selepas Bursa Malaysia menolak rayuan untuk lanjutan masa bagi menyerahkan pelan regularisasinya.

“Risiko sentiasa ada,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Mohd Fadhli Abdul Rahman, sambil mengakui perkhidmatan katering dalam penerbangannya, Brahim’s Airline Catering Sdn Bhd (BAC) sangat bergantung kepada MAB, yang menyumbang 50 peratus daripada hasilnya.

Selebihnya adalah daripada 35 syarikat penerbangan asing dan BHB mengintai empat lagi, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dilaporkan bahawa syarikat induk MAB, Malaysia Aviation Group (MAG) dan BAC tidak bersetuju dengan terma apabila mahu memperbaharui kontrak.

PN17, COVID-19 dan kekal berdaya maju

BHB diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada 2019 dan usaha pemulihannya dijejaskan oleh pandemik COVID-19. Nota Amalan 17 (PN17) diberikan kepada syarikat yang mengalami masalah kewangan.

Kapasiti katering BAC ialah 60,000 hidangan. Ia menghasilkan purata 55,000 hidangan sehari sebelum dilanda pandemik. Ini merosot kepada 218 hidangan sehari semasa pandemik walaupun telah meningkat semula kepada 32,000 hidangan sehari pada hari ini, kata Fadhli.

MAB menyumbangkan hasil bulanan sebanyak kira-kira RM12 juta dari 2003 sehingga hari sebelum COVID-19 dengan pelarasan harga minimum berbanding RM8 juta pada hari ini, jumlah yang akan hilang sekiranya MAG menamatkan kontrak pada 30 Jun, 2023.

Kombinasi katerer asing menyumbang RM6 juta sebulan, katanya.

Rancangan sedia ada untuk berunding dengan vendor dan pihak pengurusan akan kembali semula ke rancangan asal mengenai perbelanjaan bukan nilai tambah lain, katanya.

“Kami juga sedang meninjau untuk meneroka perniagaan lain seperti pasaran runcit dan komersial bagi memastikan perniagaan kekal mampan,” kata Fadhli.

Adakah MAB akan melupuskan 30 peratus kepentingannya? 

Adalah sangat jelas, perpisahan dengan MAB bukanlah keputusan yang diingini BHB, kata Fadhli.

“Ini bukan hasil yang saya inginkan pada mulanya. Jika boleh, kami mahu terus membekalkan katering kepada MAB,” katanya.

Pada masa yang sama, BHB tidak dapat menyambung kontrak jangka pendek antara dua dan enam bulan yang menjejaskan operasi dan hasil BAC, katanya.

MAB masih memiliki 30 peratus kepentingan dalam perkhidmatan katering syarikat itu.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2023, BHB mengecilkan kerugian bersihnya kepada RM4.84 juta daripada RM6.92 juta. Hasil bagaimanapun meningkat kepada RM16.19 juta daripada RM7.14 juta.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.